"Kongsikan Luahan Kisah Anda , Kerana Masih Ada Yang Peduli" "Individually, We Are One Drop. Together, We Are An Ocean"

Latest Post

12 Jun 2017

Wang Hantaran Kahwin Tinggi Hampir Pisahkan Kami



Bukan mudah untuk mendirikan rumah tangga di zaman serba canggih ini. Wang ringgit, persiapan dan gaya hidup turut memainkan peranan dalam mencari kebahagiaan yang diingini terutama dengan orang yang disayangi. Malah sungguh besar dugaan yang harus ditempuh oleh pasangan suami isteri baik sebelum bernikah atau setelah bergelar suami isteri sehinggakan kadang kala salah seorang terpaksa memendam rasa kerana tidak mahu masalah timbul di hari bahagia mereka. 

Sesungguhnya cinta yang terjalin tidak cukup untuk menguji kejujuran pasangan, lebih-lebih lagi apabila pasangan yang dipilih menjadi teman hidup serba sederhana. Yang penting niat untuk melamar gadis pilihan dimakbulkan Allah SWT. Begitulah yang terjadi dalam kehidupan Lili (bukan nama sebenar) dan pasangannya, Adi (bukan nama sebenar) yang melalui  saat genting sebelum menyambut hari perkahwinan mereka.
Ingin tahu apa cerita mereka, kita ikuti pengakuan Lili di dalam emelnya kepada saya.

Ini kisahnya.

“Saya berumur 32 tahun, seorang kerani di sebuah syarikat insurans sementara suami, Adi,  seorang  peniaga kecil-kecilan. “Kami berkawan sejak di bangku sekolah menengah. Hampir lima tahun kami berkawan. Di sekolah kami bukanlah pelajar pintar, kata orang cukup-cukup makan. “Tetapi syukur kerana keputusan itu membolehkan kami mendapat  pekerjaan yang boleh menyara kami. Setelah setahun bekerja, saya dilamar oleh Adi. “Sebagai perempuan, saya sangat gembira dengan keikhlasan Adi melamar saya. Tidak sia-sia saya menunggunya selama lima tahun. Sayangnya, ibu bapa saya meletakkan hantaran yang agak tinggi dan tidak mampu ditunaikan oleh Adi.

“Demi saya, Adi tidak menolak hantaran yang diletakkan itu dan meminta wakil keluarganya menerima keputusan keluarga saya tanpa bantahan. Saya memang risau kerana yakin Adi tidak mampu memberi hantaran yang tinggi. “Memang saya tidak menduga langsung yang bapa saya akan  meletakkan hantaran yang tinggi tetapi perkara sudah berlaku, saya kena reda jika tidak hajat untuk hidup bersama Adi tidak akan tercapai. “Keluarga memberi tempoh setahun untuk kami bertunang. Ertinya dalam tempoh itu, Adi perlu mencari sekurang-kurangnya RM20,000  untuk urusan perkahwinan kami.

“Selepas bertunang, saya berjimat cermat, begitu juga dengan Adi. Kami berusaha mengumpul wang untuk meraikan hari perkahwinan kami. Seperti pasangan lain, saya dan dia tentu inginkan yang terbaik dalam hidup kami kerana perkahwinan ini sekali seumur hidup.  “Dengan gaji saya sebagai kerani dan perniagaan kecil-kecilan Adi, agak mustahil kami dapat mencari wang sebanyak itu dalam tempoh setahun. Tetapi kami berusaha. “Keluarga saya terutama ayah dan mak selalu berpesan kepada saya supaya ingatkan Adi tentang duit hantaran itu. Saya hanya berkata ya..., dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu.

“Sebulan sebelum kami diijabkabulkan, saya mula tidak tidur malam. Duit hantaran hanya separuh sahaja yang ada, tidak termasuk perbelanjaan lain untuk hari bahagia kami itu. Siang malam saya menangis mengenangkan masalah yang kami hadapi. “Akhirnya, saya ajak Adi bersemuka dengan ayah dan mak dan menceritakan masalah kami yang sebenarnya. Saya dan Adi nekad akan menanggung segala risiko tentang pengakuan kami ini, yang penting kami ikhlas dan berterus terang. “Pada mulanya ayah agak marah. Suaranya meninggi dan dia langsung tidak mahu pandang muka Adi. Tetapi Adi seorang yang sabar dan sangat ikhlas. Dia ceritakan tentang masalahnya. Katanya untuk menunaikan hajat ayah dengan hantaran tinggi agak mustahil memandangkan dia hanya bekerja sendiri.

“Tetapi kata Adi, dia sangat ikhlas dengan cinta kami dan tidak akan mensia-siakan hidup saya nanti. Sebak saya dibuatnya kerana Adi sanggup buat apa sahaja untuk hidup bersama saya. Dia sanggup tebal mula menemui ayah saya kerana perkara ini. “Berlaku juga pertengkaran antara ayah dan Adi tetapi saya berdoa agar hati ayah akan lembut dan menerima penjelasan kami berdua. Syukur kepada Allah, akhirnya ayah setuju mengurangkan hantaran kahwin saya mengikut kemampuan Adi. “Saya menangis di hadapan ayah dan Adi. Mak tidak berkata apa-apa dan turut menangis. Saat itu, saya merasakan seluruh alam maya ini menjadi cerah, hati saya tenang dan gembira sangat.

“Saya bersyukur sangat kerana ayah faham dengan masalah Adi dan tidak memaksa kami untuk memenuhi impiannya. Akhirnya, saya dan Adi sempurna diijabkabulkan dalam suasana sederhana tetapi meriah pada tarikh dan tempoh setahun yang ditetapkan. “Menitis air mata saya mengenangkan hal ini. Kini telah lima  tahun berlalu, saya dan Adi hidup bahagia. Kami telah dikurniakan seorang anak lelaki berusia empat  tahun. “Benarlah kata orang..., soal jodoh, pertemuan dan maut adalah ketentuan Allah, tidak boleh ditolak.Begitu juga dengan saya dan Adi. Jodoh kami sangat kuat dan akhirnya hajat kami untuk hidup bersama Allah makbul.

“Bayangkan, jika saya tidak bertindak tegas mengajak Adi bersemuka dengan ayah saya dahulu, kemungkinan saya tidak jadi kahwin dengan Adi atau pun kami kahwin tetapi menghadapi masalah kerana berhutang. “Alhamdulillah, Allah bagi kami ketenangan selepas kejadian itu. Walaupun saudara mara mengata dan bercerita tentang kami dahulu, hari ini perkara itu sudah tidak kedengaran lagi. “Sebaliknya, Adi menjadi pujian kaum keluarga kerana telah mampu membuka sebuah pasar raya mini, hasil usaha dan doa kami yang tidak pernah putus minta dimurahkan rezeki dan hidup bahagia. “Ayah? Dia paling gembira dengan kehidupan kami sekarang. Adi menjadi menantu kesayangan. Apa  sahaja ayah akan rujuk kepadanya untuk meminta pandangan dan pendapat.

“Sebagai anak dan isteri, saya sangat bersyukur dengan keadaan ini. Inilah yang saya harapkan dalam perkahwinan kami. Memang pahit di permulaan tetapi lama kelamaan Allah bagi jalan dan kita hanya perlu  berusaha menanganinya dan mencapai apa yang kita ingini. “Saya berdoa semoga Allah terus melimpahkan rahmat-Nya kepada kami sekeluarga dan murahkan rezeki kami. Kepada suami tersayang, Adi jika terbaca catatan ini terima kasih abang kerana sanggup berkorban apa sahaja untuk saya. “Pengorbanan dan kasih sayang abang akan saya hargai dan semoga Allah lindungi rumah tangga kita hingga ke jannah,’’ begitu Lili menamatkan ceritanya.

Alhamdulillah, syukur dengan kebahagiaan yang Allah kurniakan kepada Lili dan Adi sekarang. Saya kagum dengan keberanian  mereka untuk membina kebahagiaan  dengan cara mereka sendiri. Ibu bapa juga harus melihat kehidupan anak menantu selepas mereka bernikah. Jangan bebankan mereka dengan hantaran tinggi dan majlis perkahwinan mewah jika tidak mampu. Yang penting ijab kabul. Masih adakah pasangan yang ingin berkahwin memiliki keberanian seperti Lili dan Adi? Saya mendoakan generasi muda hari ini yang ingin berkahwin merancang perkahwinan mereka dengan teliti, sementara ibu bapa pula perlu bertimbang rasa dalam meletakkan hantaran buat bakal menantu anda.

Setiap ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka tetapi biarlah jangan sampai membebankan. Bertolak ansur adalah cara paling baik memenuhi impian anak-anak dalam perkahwinan. Menamatkan catatan, pesanan ikhlas saya, setiap pengorbanan walaupun kecil,   Allah telah sediakan ganjarannya, hanya masa jadi penentu.

Salam


Hantarkan luahan kisah anda di sini ==> lamanqaseh/borang

No comments: