"Kongsikan Luahan Kisah Anda , Kerana Masih Ada Yang Peduli" "Individually, We Are One Drop. Together, We Are An Ocean"

Latest Post

14 Jun 2017

Masalah Hantaran Kahwin



Perkongsian yang sangat-sangat bermanfaat dari tuan zulfikarhazri. Semoga ini dapat dijadikan panduan untuk muda-mudi di luar sana dalam merancang untuk berkahwin nanti. Yang mana yang elok tu apa salahnya kita ikut. Untuk kesenangan kita juga nanti, tiada hutang piutang selepas berkahwin. Hidup pun tenang dan aman. Jom kita baca artikel yang sangat bagus ini

-Admin Laman Qaseh-
 
Assalamualaikum..

Biarlah aku ceritakan semua fasal hantaran kahwin sejujur dan seadil mungkin. Masalah hantaran kahwin ini isu klise, isu berbolak-balik sejak zaman pasca moden.

macam mana tah aku nak mula mengarang bagi flow dia cantik pasal hantaran ni entah? banyak sangat sudut yang nak dibincangkan. Dari sudut syarak, budaya, sejarah, kefahaman dan bahasa.

Dan pelik jika wanita itu dinilai dengan skrol ijazahnya, bukan pada kebaikan budi, akhlak ,dan kemahiran rumah tangganya.
1. Hantaran itu adalah wang yang diminta oleh pihak perempuan untuk belanja membuat kenduri perkahwinan di pihak perempuan.

2. Katalah kau nak menikah dengan Jummah, kau pergi meminang, masa meminang keluarga Jummah minta wang hantaran sebanyak RM 8,000. Itulah yang dinamakan Hantaran, Lazimnya duit hantaran ini digunakan oleh pihak perempuan untuk membuat kenduri kahwin di belah dia.

3. Mas Kahwin pula adalah mahar. Mahar/Mas kahwin disebut semasa akad nikah.
" aku nikahkan dikau dengan Syarifah Mazian binti Al Yahya dengan Mas Kahwinnya 300 ringgit tunai"
Ada negeri yang menetapkan nilai minimum Mas Kahwin, namun tidak menjadi kesalahan kepada sesiapa yang mahu meletakkan jumlah mas kahwin yang mereka mahu. RM300 adalah Mas kahwin bagi Negeri Selangor.

4. Yang menjadi keliru adalah hantaran ini dipisahkan dengan mas kahwin, tapi sebenarnya tak keliru pun, cuma ada sesetengah orang cuba provok masalah hantaran yang tinggi. mereka menyatakan kenapa perlu hantaran? sedangkan yang wajib hanyalah mas kahwin, seberkat-berkat mas kahwin adalah yang paling rendah.

5. Maksud rendah itu adalah relatif bagi aku, Jika di area Lembah Klang, khidmat katering paling rendah tapi sedap adalah RM9.00 / kepala, jadi jika anggaran jemputan adalah 700 orang maka jumlah keseluruhan makan kenduri adalah RM 6,300. Adillah bagi pihak perempuan kalau dia mintak hantaran dalam julat RM 7,000 ke RM 9,000.

6. Belum masuk sewa pelamin lagi, anggaran RM 600, photographer RM 400, sewa baju pengantin RM 200, bla bla bla bla jadi semuanya adalah dalam lingkungan RM10 - 12 ribu, maka munasabahlah duit hantaran yang diminta itu. Yang tak munasabahnya jika pihak perempuan gila meroyan mintak sampai RM18,000 - 20,000 - 30,000.. ni baru betul memang macam nak jual anak, sengaja meletakkan hantaran tinggi nak mati semata-mata nak menunjuk-nunjuk dan bermewah-mewah dengan kenduri.

7. " Tapi Zulfikar, yang wajib adalah mas kahwin, yang hantaran itu budaya melayu saja, why so serius?"

- Memanglah, sebab tu kalau kau nak islamikkan lafaznya, kau masukkan jumlah hantaran semua dalam akad mas kahwin itu. Pihak perempuan nak buat apa dengan duit itu, itu hak dia, jangan nak tanya-tanya lagi. Jangan nak tunjuk pandai jadi ustaz keluar cakap macam ni pula.
" Mas Kahwin adalah milik mutlak pengantin, jadi keluarga, pihak lelaki semua tak boleh usik"

- memanglah tak boleh usik, duit hantaran tu dah jadi milik perempuan, hak dia lah nak guna cara mana, nak simpan dalam ASB ke, nak bagi mak ayah untuk bantu meringankan beban kenduri kahwin ke, nak ikhlas belanja makan tetamu ke.

“ Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan ( isteri ) akan mas kahwin mereka itu sebagai pemberian ( yang wajib ). Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnnya, maka makanlah ( gunakanlah ) pemberian tersebut sebagai nikmat yang baik lagi lazat “  Surah An-Nisa Ayat 4
Takde hukum kata yang pihak perempuan tak boleh guna duit itu untuk diri dia sendiri, yang jadi masalah kalau dia tak redha duit dia dibelanjakan, yang jadi masalah kalau kau pihak lelaki lepas akad nikah pergi paw duit bini kau nak buat bayar installment kereta, itu memang tak bolehlah.

“ Apabila kamu telah memberikan kepada mereka itu ( isteri ) sepikul
mahar, maka jangan kamu ambil walupu sedikit daripada mahar itu" Surah Al-Nisa ayat 20
***********************************
8. "Tapi Zulfikar, aku punya bakal isteri ni pelik sikit, dia nak hantaran 7 ribu, pastu dia nak duit untuk buat majlis kenduri lagi, mahal nak mampus, mati lah aku mcm ni, nak jual anak ke apa mak bapak dia?"

- Itu salah kau, kau tak tegas masa aturcara tawar menawar masa set hantaran hari tu, sepatutnya berapa hantaran yang kau bagi pada pihak perempuan, itulah semua yang cover kenduri, pelamin, sewa baju pengantin semua, dari A sampai Z majlis kenduri pihak perempuan, Yang kau pergi nak berlagak gentlemant nak keluar duit lagi bayar pelamin, baju pengantin, photographer, itu la ini lah bajet remeh semua tu lagi kenapa? kau duduk diam-diam, sediakan hantaran, dulang hantaran dan mas kahwin sudah.

9. " Habis tu? let say lah kenduri kahwin perempuan dah setel, hantaran kahwin tu cover belanja kenduri belah pihak lelaki iaitu aku jugak ke?"

- Majlis kenduri pihak lelaki itu semuanya terbeban atas pihak lelaki, takde kena mengena dengan hantaran yang kau bagi pada dia, kalau kau ada belen saving RM 4,000, kau buatlah kenduri bajet-bajet dalam 4 ribu, kalau kau nak jugak buat grand, pandai-pandailah kau mintak sponsor dari mak ayah kau, adik beradik, sedara mara, bos, kawan-kawan, supplier dan sebagainya.

Sebab tu selalunya adat melayu kita, kenduri pihak perempuan yang buat Grand dan meriah, kenduri pihak lelaki buat kecik je atau ala kadar. Melainkan pihak lelaki itu anak orang ada-ada, kaya, kapal di laut gedung di darat, ada factory factory dan kilang kilang, rumah sewa dan stable lumba kuda. kaya kaya kaya.

10. " Ahhh Zulfikar, aku tak setuju dengan benda ni semua, sepatutnya aku bayar mas kahwin yang murah-murah je cukup, tanggungjawab buat kenduri kahwin tu terletak pada ayah atau wali pengantin perempuan, apesal pulak nak mintak belanja dari aku?"

- Laaa siapa pulak kata kau wajib bagi hantaran tinggi ni? hantaran atau hantaran yg dimasukkan sekali dalam mas kahwin itu adalah persetujuan dua pihak antara kau dengan pihak perempuan, kalau kau dapat bapak mertua jutawan, jenis tak mintak duit hantaran bertuahlah badan kau. Itu terpulang pada skill kau negotiate.

Kalau kau dapat bapak mertua kau jenis tak berapa nak kaya, pastu dia pulak sporting taknak mintak hantaran tinggi-tinggi pun bagus juga, tapi kau mesti adillah pada pihak perempuan, kalau pihak perempuan tak mampu buat kenduri, dia buat ala kadar pesen bagi bihun goreng dalam polisterin, bagi sorang sebungkus dekat pintu masjid lepas akad nikah, dan kau redha pula jamuan makan macam tu, Alhamdulillah, sama-sama dapat kata sepakat nak kenduri yang sederhana, moga dalam kesederhanaan itu membawa barkah.

Masalahnya, kau pun nak kenduri grand, bini kau pun nak grand. Tapi keluarga bini kau tak berapa nak ada duit, mintaklah kau tolong sikit sebanyak, bagi hantaran dalam enam tujuh ribu. Itu pun kau nak bising. Kenduri nak grand, belanja taknak keluar. Umpamanya pakai kereta nak Nissan GTR, tapi bayar nak Kancil mana boleh.

*********************************

11. "Tapi Zaman Rasulullah dulu Mahar senaskah Al-Quran saja, kan elok kalau macam tu, nanti aku kahwin aku nak hantaran senaskah Al-quran je lah, so sweet"

Zaman Rasulullah dulu takde hantaran senaskah Al-quran, ini semua adalah statement hyperbola semangat islamik tak kena tempat. Zaman Rasulullah saw dulu ada Mahar Sebentuk cincin besi, Baju besi, Hafazan satu surah, Kibas, Unta, ladang tanaman, emas, perak, dinar dan macam-macam lagi benda yang berharga.

Zaman Rasulullah Al-Quran belum dijilidkan atau dinaskahkan, macam mana pula nak bagi senaskah Alquran?

Abu Salamah menceritakan, "Aku pernah bertanya kepada Aisyah RA, 
"Berapakah mahar Nabi SAW untuk para isterinya?" 
Aisyah menjawab, 
"Mahar beliau untuk para istrinya adalah sebanyak 12 uqiyah dan satu nasy."
 Lalu Aisyah bertanya, 
"Tahukah kamu, berapa satu uqiyah itu?" 
Aku menjawab, "Tidak." 
Aisyah menjawab, "Empat puluh dirham." 
Aisyah bertanya, "Tahukah kamu, berapa satu nasy itu?" Aku menjawab, "Tidak."
Aisyah menjawab, "Dua puluh dirham." 
(HR. Muslim) nota : (12 x 40) + 20 = 500 Dirham.

Jika kita mampu, kita hargailah isteri kita semampu kita. mungkin 2 ribu, 3 ribu, 4 ribu, 5 ribu, ikut kemampuan, janganlah semangat sangat sampai kalau boleh nak bagi hantaran satu kitab al - quran je. Nabi SAW itu menjadi contoh kepada kita, kalau Nabi pun sedaya baginda bagi 500 dirham, kita pula yang nak zuhud melampau-lampau hyperbola melebih dari Nabi, Kalau betul-betul tak mampu itu lain cerita.

Macam beberapa kisah anak muda yang betul-betul pada dirinya tiada harta, Rasulullah saw bersabda bagi juga mas kahwin sekurang-kurangnya cincin besi. Ada yang disuruh bagi hantaran hafazan satu surah al-quran. Aku tak yakin antara kita anak muda sekarang ni langsung papa kedana  sampai nak keluar barang 3, 4 ribu pun takde. Kemon rasional lah sikit.

***********************************

12. Pengalaman aku pasal hantaran kahwin?

a- aku pernah ikut rombongan meminang pakcik aku, mulanya pihak perempuan mintak RM 6,000. lepas tu bapak aku sebagai jurucakap tawar menawar hantaran tu menurun sampai RM 2,000 sahaja, kenalah beradap masa tawar menawar, sembang elok-elok. Ini tidak belum kahwin lagi dekat blog, twitter, facebook berdegar-degar maki hamun pihak perempuan yang mintak hantaran.

b- aku pernah sembang dgn Adil, kawan aku di Jeddah sana, dia ckp hantaran/mahar kat Arab saudi terlalu tinggi, dia pernah dengar kawan dia kawin kena hantaran sampai 40 ribu riyal, sebijik kereta, seorang driver dan sebijik banglo. Last-last member tak tahan, balik Malaysia cari orang Malaysia buat Isteri. Siapa kata Mahar tinggi ni Budaya Melayu saja? Tanah arab boleh jadi tinggi berpuluh kali ganda dari Malaysia tau.

13. " kau ni Zul nampak macam nak popular je, beriya-iya defend sistem hantaran ni? kalau kau kahwin kau nak ke kena hantaran tinggi-tinggi?"

- Gila kau! kalau bakal bapak mertua aku letak hantaran RM500 je, syukur alhamdulillah! siapa tak suka kawin murah oi. Semua orang suka, tapi rasional lah sikit, sama-sama nak seronok, apa salahnya aku menghargai wanita bakal isteri aku itu semampu aku, kalau aku rasa aku mampu 8 ribu aku cakap terus terang ke dia 8 ribu, kalau aku mampu 7 ribu, aku cakap ke dia 7 ribu, tak perlu kau nak mengamuk-ngamuk sindir dekat blog hentam orang pasal hantaran ini. Kalau dah sampai 20 ribu, 30 ribu, tu melampau lah.. Bak kata mami penang...

" Kalau Takda empat puluh ribu, mati dalam cermin pun tak apa!" - Ini memang gila.

14. Kesimpulannya kalau tanya aku, semolek-moleknya masukkanlah keseluruhan belanja hantaran dan mas kahwin sekali dalam sebutan mahar masa akad. Hantaran yang rasional dan acceptable adalah dalam range RM 7,000 ke RM 10,000 ikut kemampuan pengantin lelaki dan perempuan. Period. Ceased fire.

Kata Kuncinya berserdahana, yang wajib itu nikahkan pengantin, kenduri pula yg termampu, ukur baju badan sendiri. Ini adalah hari perkahwinan adik perempuan aku sehari sebelum bersanding, tengok rumah aku takde ropol2 pun. Gambar bersanding takde soft copy pulak, nanti2lah..
**************tamat**************

P/S Susu nak minum tapi lembu taknak jaga, taknak jaga lembu, beli susu dekat pasaraya! - Ujang DMG 2012

P/S aku akan ingat kata-kata Zikry Zulkifli sampai mati, " aku ni ikar, yang penting bagi lepas pihak perempuan, semampu aku dalam 10 ribu tu aku gagah jugaklah, kenduri belah aku takyah buat pun takpe, aku pesan kat mak aku, aku nak buat kenduri bihun goreng bungkus dalam polisterin je Ikar, orang datang je bagi sorang satu, seytel"

P/S masa kenduri kahwin, ada salam keruk, salam keruk ni tetamu datang salam mak ayah pengantin, bagi sampul dalam ada 5ringgit 10 ringgit sampailah 50 ringgit ke atas, duit salam keruk ini lah yang cover belanja lebihan kenduri itu, kalau kawan-kawan kita jenis pemurah, faham kesusahan kita dapat lah collection byk sikit, lega, boleh masuk tabung balik. Aku harap kawan-kawan aku nanti kalau aku kahwin salam keruk ke aku atas pelamin terus, hadiah-hadiah ni belakang kira, salam keruk duit puluh2 itu yg didambakan adanya. haha

Kredit : zulfikarhazri

Hantarkan luahan kisah anda di sini ==> lamanqaseh/borang

No comments: