"Kongsikan Luahan Kisah Anda , Kerana Masih Ada Yang Peduli" "Individually, We Are One Drop. Together, We Are An Ocean"

Latest Post

11 Jun 2017

Kerana Harta, Adik-Beradik Berbalah



SAYA cukup tertarik dengan kisah 'Mencari Keberkatan hidup' yang dipaparkan di ruangan ini beberapa minggu lalu. Tentang permaufakatan adik beradik atas harta tinggalan arwah ibu ayah mereka. Dan mereka lakukan yang terbaik untuk menambah pahala ibu ayah mereka. Malangnya adik beradik saya berbalah berebut harta hingga menyusahkan arwah ibu dan ayah di alam sana.

Saya bayangkan ditakdirkan kami berenam beradik boleh berpakat seperti itu tentu hidup kami lebih bahagia dan tentu arwah ibu bapa kami lebih tenteram di sana. Kami tidak ramai tetapi malangnya kami masih tidak dapat membuat keputusan tentang harta peninggalan arwah." Demikian cerita Siti Sara dalam emelnya.

Emak saya meninggal dulu daripada ayah. Walaupun sudah lapan tahun berlalu, tetapi baik ayah mahupun kami adik-beradik tidak dapat buat keputusan tentang harta peninggalan emak. Emak juga ada harta peninggalan arwah nenek atas nama emak tetapi dikongsi bersama adik-beradik emak yang lain. Pendek kata harta ada, tetapi pemiliknya bukan seorang, ada sangkut paut dengan orang lain. Kata kakak apa yang berlaku kerana emak tak mahu putuskan semasa hayatnya dulu, maka susahlah nak buat keputusan sekarang, sementara itu ada pula adik-beradik emak yang sudah meninggal dunia. Pendek kata memang sulit nak diputuskan.

Oleh kerana ayah masih ada maka perkara tersebut didiamkan begitu sahaja hinggalah ayah meninggal dunia setahun lalu. Barulah masing-masing bersuara tambahan pula tanah emak itu hendak dibeli oleh sebuah syarikat pemaju untuk dirikan projek mereka. Barulah masing-masing terbuka mata, barulah mahu 'ambil kuasa'.

Bab nak ambil surat kuasa atas tanah tersebut bukan mudah. Mesti ada persetujuan adik-beradik dan mestilah orangnya amanah dan mahu menguruskannya serta ada masa. Kami minta abang sulung usahakan ambil kuasa. Tapi abang sulung buat tak kisah. Sebab katanya, dia perlukan duit untuk urusan pindah milik dan turun lain ke pejabat tanah.

Malangnya dalam diam abang tetap teruskan usahanya, kerana dia telah dijanjikan jumlah wang yang banyak jika dia jual tanah emak kepada syarikat tersebut. Bila berita itu bocor, maka berlakulah bertengkaran antara adik dengan abang. Tuduh menuduh berlaku. Dan sudah pasti tidak ada kepercayaan antara mereka lagi. Keadaan menjadi lebih kacau bila isteri abang masuk campur, kerana beliau mahu tanah tersebut segera dijual.

Walaupun saya dan kakak cuba bawa mereka berunding, tetapi gagal kerana setiap kali berbincang kakak ipar masuk campur. Katanya bila minta duit untuk upah abang mengurusan 'ambil surat kuasa' untuk belanja turun naik pejabat tanah, tidak ada siapa nak bagi duit, semua abang belanja sendiri. Tetapi bila nak dapat duit semua nak minta duit. Perkataan kakak ipar kami itu sudah tentu menyakitkan hati dua orang adik lelaki saya. Maka tuduh menuduh berlaku, mereka pula mendakwa abang nak jual harta, nak makan sendiri tanpa memberitahu kami adik beradik.

''Bila kes terbongkar abang cuba jual untuk dirinya sendiri, abang pula mengamuk maka turuh-menuduh berlaku. Tetapi peliknya kami dapat tahu abang dah dapat duit pendahuluan untuk proses penjualan tanah tersebut. Namun abang dan isterinya menafikan. Saya tak tahu siapa yang betul. Sudah beberapa kami saya dan kakak berjumpa abang supaya selesaikan kes ini dengan segera, bukan kerana kami hendakkan hartanya, tetapi kami tak mahu adik beradik bergaduh kerana harta. Kata kakak jika sudah diuruskan surat ambil kuasa, abang boleh jualkan tanah tersebut dan bawa berbincang dengan adik beradik jumlah tawarannya.

Sedihnya hingga kini kes pembahagian harta pusaka emak dan ayah masih tak selesai peliknya tanah tersebut telah dipagar oleh pemaju untuk membangunkan projek mereka. Kami diam bukan kerana takut, tetapi tak mahu mereka bergaduh pasal tanah dan harta. Namun kami yakin memang ada kebenarnnya proses pembelian tanah tersebut telah berlaku, jika tidak takkan ada orang lain berani ceroboh tanah arwah emak kami. 

Beberapa bulan lalu adik-adik lelaki kami telah jumpa peguam untuk membincangkan masalah tanah arwah emak yang diambilalih oleh pemaju. Kami pasti akan berlaku lagi pertengkaran adik-beradik tentang harta tersebut. Inilah masalahnya jika emak tinggalkan harta untuk anak-anak pun susah, tak ditinggalkan harta pun susah. Semuanya kerana tidak ada kepercayaan antara adik-beradik, dan ditokok tambah pula dengan campur tangan ipar duai yang mempunyai kepentingan peribadi.

Peliknya mereka berebutkan tanah tinggalan emak, hingga mereka terlupa keadaan rumah emak yang ditinggalkan selepas kematian ayah. Keadaan rumah semakin teruk, bocor sana sini, rumput tak dipotong dan tak berjaga. Dulu saya bersihkan dan sewakan, duitnya saya kumpul dan diberi sama rata setiap enam bulan sekali. Tetapi adik-beradik lelaki bantah, katanya, sebagai anak lelaki mereka patut dapat dua bahagian. Jika gitu saya minta mereka saja uruskan, tetapi mereka tolak. Akhirnya saya minta adik bongsu tinggal di sana sementara beli rumah sendiri. Malangnya yang lelaki minta bayaran sewa. Kerana merajuk adik tinggalkan rumah tersebut selepas tiga bulan tinggal di sana. Kini keadaan rumah jadi teruk semula.

Pada pandangan saya ini semua terjadi kerana adanya sikap tamak antara adik beradik saya mereka rela rumah itu jadi lebih teruk dan bocor daripada disewakan atau dibenarkan adik sendiri tinggal di situ. Masalahnya hingga kini tentu pembaca dapat bayangkan harta peninggalan arwah emak dan ayah langsung tidak memberi faedah kepada kami anak-anaknya, kerana ada antara kami yang bersikap tamak dan mencurigai antara satu sama lain. Malah ada yang sanggup biarkan harta itu hancur daripada diberikan kepada adik untuk menjaganya.

Ada juga sanggup menjual tanah secara sembunyi untuk kepentingan diri. Sementara harta pemberian nenek kepada emak langsung tidak dipedulikan kerana mereka malas berusaha untuk mengambil kuasa. Sebab takut keluar duit sendiri.

Demikian cerita Siti Sarah panjang lebar tentang harta peninggalan arwah emak ayahnya yang langsung tidak digunakan sebaik mungkin oleh anak-anaknya. Jadi kepada pembaca semua ambillah iktibar daripada cerita Siti Sarah ini supaya harta pusaka anda bawa berkat setelah anda meninggal dunia.

Kredit : UtusanMalaysia

Hantarkan luahan kisah anda di sini ==> lamanqaseh/borang

No comments: