"Kongsikan Luahan Kisah Anda , Kerana Masih Ada Yang Peduli" "Individually, We Are One Drop. Together, We Are An Ocean"

Latest Post

22 Jun 2017

Kenangan Bersama Ayah Dan Ibu


Selalunya kita selalu rasa terharu bila mengenangkan kenangan manis bersama seorang ibu. Tidak ramai yang rasa terharu mengenangkan kenangan bersama seorang ayah. 

Saya ada beberapa kenangan bila saya teringat mengenainya, akan meleleh air mata tanpa disedari. Saya mahu berkongsi cerita, semoga ia dapat dimanfaati.

Saya dibesarkan dalam keluarga yang agak susah. Rumah kayu di kawasan setinggan di pinggir bandar Johor Bahru. Ayah dan ibu tidak ada pendidikan yang tinggi. Hanya lulusan darjah enam pada ketika itu, tahun 60an.

Ayah saya bekerja di Singapura sebagai pekerja kilang besi. Tugas hakiki beliau adalah sebagai pemandu jengkaut yang mengalihkan timbunan besi buruk masuk ke dalam kawah panas untuk meleburkan besi.

Beliau bekerja dalam tiga shift, sekejap shift pagi, kadang kala shift petang dan ada juga shift malam.

Tugas beliau yang sibuk menyebabkan kadang kala kerinduan kasih seorang ayah. Perasaan itu lebih kuat bila melihat ayah orang lain menemani anak mereka mendapatkan hadiah pelajaran. Makan bersama-sama. Kadang kala melihat mereka ketawa bersama.

Di sekolah rendah, saya merupakan antara pelajar terbaik. Selalu dapat nombor satu dalam peperiksaan akhir dan mendapat anugerah pelajaran. 

Seringkali saya akan naik sendirian ke pentas, bersalam dengan Ahli Parlimen ketika itu, Datuk Mohamed Rahmat untuk menerima hadiah pelajaran. 

Kemudian kembali berkumpul bersama kawan-kawan. Hanya guru darjah yang menemani saya dan mengucapkan tahniah.

Saya tidak mencari-cari wajah ayah atau ibu kerana saya tidak mengharapkan mereka datang. Saya tahu mereka sibuk. Tidak mudah meluangkan masa untuk saya. Kalau mereka datang, saya rasa mendapat hadiah berganda. 

Ibu saya sibuk menjaga adik-adik kecil. Dia tidak mempunyai, malah tidak tahu memandu kereta atau motorsikal. Paling mampu dilakukan ialah menunggang basikal sejauh 5km dari sekolah jika ingin menemani saya ketika itu. Itu belum dikira adik yang terpaksa ditinggalkan pada jiran.

Jadi saya faham dan redha, dengan keadaan keluarga saya. Pernah sekali ibu saya datang dengan basikal. Adik-adik ditinggalkan bersama jiran. Datang pun ketika majlis penyampaian hadiah telah bermula. 

Jadi bila saya turun dari pentas, saya seronok sangat melihat wajah ibu saya yang tersenyum melihat saya menjadi anak kebanggan mereka. 

Ya lah, kami orang miskin. Buat kerja sekolah pun guna lilin atau pelita minyak tanah. Tiada bekalan eletrik di kawasan setinggan. Berjaya dalam pelajaran adalah sesuatu yang amat disyukuri dan dibanggakan.

Dalam hati saya tidak mengharap kehadiran mereka. Saya faham keadaan keluarga kami yang miskin.

Tetapi apabila balik rumah, saya disambut sebagai hero oleh ibu saya. Saya bangga menunjukkn hadiah yang diberikan, walaupun hadiah berupa buku cerita yang murah harganya. 

Ayah pula akan memberikan beberapa puluh ringgit sebagai hadiah pelajaran darinya. Saya pegang sekejap kemudian ayah ambil balik untuk disimpan di pejabat pos. Pada masa itu tiada bank komersial yang menyediakan perkhidmatan perbankan. 

Yang paling seronok ialah ayah memberitahu, "Long jadilah doktor. Doktor boleh tolong orang sakit." sambil mengusap kepala saya. 

Jadi bila guru darjah merekodkan prestasi saya, ada soalan tentang cita-cita. Saya segera beritahu saya mahu jadi doktor. Sebab dengan jadi doktor saya boleh bantu orang sakit dan menjadi kebanggaan ayah dan ibu saya. 

Setiap kali ditanya, sama ada guru atau sanak saudara (pakcik dan makcik saya), saya dengan yakin menjawab saya mahu jadi doktor. Lepas itu saya dengar ada yang ketawa dan ada yang tersenyum. Saya tak perduli itu ketawa memerli, atau ketawa gelihati melihat saya yang cute-muit pada masa itu menjawab dengan yakin. 

Ayah saya pun senyum melihat telatah saya yang sangat yakin. Akhirnya saya tersenyum pula bila melihat ayah saya tersenyum.Itulah kenangan yang manis bersama ayah saya. Walaupun mungkin dia tidak mampu bersama saya ketika majlis penyampaian hadiah, tetapi dia menebus dengan masa untuk bersama saya, memberikan semangat dan dorongan.

Kata-kata semangat yang diberikan, membuatkan saya selalu ingat untuk rajin membaca dan membuat kerja sekolah. Hari ini saya tidak mengharapkan anak-anak saya mendapat nombor satu dalam peperiksaan mereka. Kalau dapat, saya kira satu bonus.

Tetapi saya akan cuba hadir, sebab saya percaya kehadiran saya adalah adalah hadiah yang paling berharga dan akan diingati bila saya sudah tiada lagi nanti. 

Apa lagi kenangan lagi yang boleh kita ingati bersama ayah kita. Banyak... masa kecil kita tidak merasakan itu semua. Apabila kita sudah menjadi ibu dan ayah barulah kita faham keadaan mereka ketika itu.

Ayah dan ibu... Jasa dan pengorbananmu tidak dapat kubalas... Hanya doa agar dirimu berada dalam rahmat Ilahi sentiasa. Amin...

Kredit : Fb Dr Zubaidi Hj Ahmad 

Hantarkan luahan kisah anda di sini ==> lamanqaseh/borang
 

No comments: