"Kongsikan Luahan Kisah Anda , Kerana Masih Ada Yang Peduli" "Individually, We Are One Drop. Together, We Are An Ocean"

Latest Post

4 Jun 2017

Kalau Dah Jodoh, Rujuk Semula Setelah Bekas Suami Nikah 3 Kali


 
Ini kisah 30 tahun lalu. Usia saya sekarang awal 60-an, berkahwin di usia muda dengan lelaki yang berpangkat dua pupu dengan saya ketika saya berusia 20 tahun dan suami Ghazali (bukan nama sebenar) berusia 24 tahun. Suami, seorang pegawai tentera dan saya seorang guru. Kami dikurniakan tiga orang anak, seorang perempuan dan dua lelaki yang sudah berkahwin dan mempunyai keluarga mereka sendiri.

Kami sangat bahagia di awal perkahwinan. Kerjaya suami sangat baik, sehingga membolehkan kami sekeluarga tinggal dan menetap di luar negara selama tujuh tahun. Sepanjang di sana, suami tidak menunjukkan perangai yang berbeza. Tahun kedua, saya sudah nampak perubahannya. Dia banyak bercuti ke negara berhampiran, tempat dia bertugas dengan alasan bertugas.

Memang betul, kadangkala dia diarah ke negara-negara berhampiran dan saya akur dengan keadaan tersebut. Setiap kali pergi bertugas, apabila balik, saya perasan ada yang tidak kena. Saya diamkan sahaja. Sebab tidak mahu bergaduh. Satu hari, dia diarahkan ke Itali. Saya siapkan pakaiannya untuk seminggu. Pakaian rasmi dan tidak rasmi. Memang begitulah yang saya selalu buat.

Saya langsung tidak ada perasaan curiga, jauh sekali untuk cemburu kerana saya tidak terfikir yang dia akan curang dengan saya. Memang sebelum ini, dia tidak pernah curang. Tetapi kuasa Allah itu mengatasi segalanya. Rahsianya terbongkar apabila di dalam beg pakaiannya terselit sekeping gambar dia dengan seorang wanita yang sangat mesra. Saya kenal wanita itu sebagai rakan sekerjanya.

Kali ini, saya tidak duduk diam, saya mengamuk dan minta dia perjelaskan apa yang berlaku sebenarnya. Desakan dan ugutan saya menyebabkan dia mengaku ada hubungan dengan wanita tersebut. Saya tidak boleh maafkan dia. Perkara ini berlarutan sampai empat tahun. Sepanjang tempoh itu, saya memendam rasa. Saya bersabar kerana tidak mahu anak-anak tahu masalah yang kami hadapi, lagi pun mereka masih kecil.

Setahun sebelum kembali ke tanah air, kami berpisah. Saya diceraikan dengan talak satu kerana saya tidak mahu lagi hidup dengan lakonannya yang semakin hari semakin memenatkan saya. Anak perempuan kami ikut saya dan dua anak lelaki kami mengikutnya. Dia akhirnya bernikah dengan wanita yang menjadi kekasih gelapnya itu di sana. Selepas tamat tugas di luar negara, dia pulang ke Malaysia.

Anak-anak tidak menunjukkan perkembangan yang baik selepas kami bercerai. Anak perempuam saya lari ke luar negara dan berkahwin di sana. Anak kedua dan ketiga juga tidak menjadi sebab diabaikan ayahnya semasa tinggal dengan ibu tiri mereka yang separuh mat saleh itu. Tiga tahun setelah berpisah, kedua-dua anak lelaki saya pulang dan tinggal bersama saya, sementara anak perempuan menetap di luar negara bersama suaminya.

Disebabkan kami bernikah dahulu dengan persetujuan keluarga, tambahan pula kami ada hubungan persaudaraan, saya dan suami tetap menjadi kawan. Kami selalu berjumpa di kampung di majlis kahwin atau kematian. Yang peliknya, bekas suami pula beberapa kali bertukar isteri apabila balik kampung. Saya tidak pernah bertanya dan tidak mahu ambil tahu. Memang dia popular dengan nikah cerai.

Hinggalah awal tahun 2015, saya dikejutkan dengan lamaran bekas suami untuk kembali hidup bersama saya sebagai suami isteri. Dia mahu rujuk semula. Alasan, dia sudah letih dengan hidupnya dan mahu berubah. Saya tidak terkejut dan tidak menolak, sebab saya tahu di antara kami masih ada rasa sayang. Cuma, sikap dan perangai dia yang membuatkan saya kecewa dan mengambil keputusan untuk berpisah semasa kami di luar negara.

Hujung 2015, kami kembali menjadi suami isteri. Anak-anak dan keluarga sangat gembira. Benar, bekas suami telah berubah, syukur kepada Allah. Tetapi saya harus terima hakikat, walaupun sudah menjadi suami isteri semula, hidup kami tidak seperti dahulu. Kami tinggal di bilik berasingan, dia buat hal dia, saya dengan hal saya. Tapi kami tetapi berkomunikasi dengan baik sebagai suami isteri. Selebihnya hanya Allah sahaja yang tahu. Saya masih dapat merasakan kasih sayangnya.

Namun, saya juga perlu terima kenyataan yang dia pernah bernikah sebanyak tiga kali selepas bercerai dengan saya. Mungkin dia perlukan masa. Dalam tempoh itu, saya menjanda selama tujuh tahun sebelum mengambil keputusan untuk kembali bersamanya. Pelik bukan? Tetapi itulah kehidupan saya. Walaupun masih tertekan dengan apa yang berlaku, saya terima takdir Allah. 

Saya reda dan akan menjaga perkahwinan kedua ini sebaik-baiknya sehingga ke hujung nyawa, tidak kira dalam apa juga keadaan. Semoga ada keajaiban akan berlaku dalam rumah tangga kami yang masih bersisa ini.

Kredit : UtusanMalaysia


Hantarkan luahan kisah anda di sini ==> lamanqaseh/borang

No comments: