"Kongsikan Luahan Kisah Anda , Kerana Masih Ada Yang Peduli" "Individually, We Are One Drop. Together, We Are An Ocean"

Latest Post

4 Jun 2017

Jangan MALU Jika Anak Ada Masalah Pembelajaran


Jangan MALU jika anak ada masalah pembelajaran.

Aku guru tahun 1. Menjadi guru tahun 1 dah masuk 12 tahun pun. Maka banyak kisah yang aku lalui bersama budak-budak. Antaranya bersama murid yang mempunyai masalah pembelajaran. Murid yang sangat perlahan dan 'slow' dalam belajar. Susah ingat sesuatu nombor dan perkataan. Tidak boleh mengikuti pelajaran seperti rakan mereka yang lain.

Maka pernah aku syorkan pada ibubapa mereka supaya bawa murid ini jalani ujian doktor untuk pengesahan. Jika disahkan mereka ada masalah pembelajaran, aku minta ibubapa pindahkan anak mereka ke kelas pendidikan khas.

Di sini bermula masalah. Ibubapa pantang betul mendengar KELAS PENDIDIKAN KHAS. Respon mereka biasanya berbunyi, " Cikgu. Anak saya normal. Bukan cacat. Bukan syndrome down!" Keras memarahi kami para guru. Tidak mahu mengakui, kerana mereka malu. Malu anak mereka berada di kelas pendidilam khas. Kononnya hanya untuk murid cacat.

Ibubapa.

Kau dengar sini aku nak cakap sikit. Kau buang persepsi lapok dan mitos itu. Kelas pendidikan khas bukan hanya untuk murid cacat. Ingat tu!


Ibubapa.

Kau dengar sini. Jangan sesekali malu untuk bawa anak buat pemeriksaan doktor jika mereka amat 'slow' dalam pelajaran. JANGAN MALU.


Ibubapa.

Kau dengar sini. Kelas pendidikan khas ini, diperuntukkan seorang guru untuk ajar 7 orang. Satu nisbah tujuh tahu tak? Apa maknanya?


Maknanya anak kau diberi perhatian lebih. Sedangkan aliran perdana biasa guru terpaksa ajar sekelas hingga 40 orang. Mana mungkin guru mampu nak tumpu perhatian pada anak kau seorang. Guru perlu mengajar secara kelas, bukan secara individu. Itu aliran perdana. Kalau kelas pendidikan khas, tumpuan individu dapat cikgu mereka bagi. Anak kau cepat faham dan pandai.

Bila mereka dah laju, guru pendidikan khas akan masukkan mereka ke kelas aliran perdana semua. Kan bagus tu.Malah ada murid inklusif (murid asal dari kelas pendidikan khas dan diterap ke aliran perdana) mendapat keputusan cemerlang dalam SPM. Lebih cemerlang dari rakan mereka yang tidak pernah masuk kelas pendidikan khas. Padahal mereka asalnya murid bermasalah pembelajaran.

Dahulu pernah aku minta seorang ibu membawa anak untuk pemeriksaan doktor. Aku kesan anak dia ada masalah pembelajaran. Tapi si ibu menafikan. Dia berkeras hendak masukkan anaknya kat aliran perdana.

Berkali-kali dipujuk, tidak diendah. Makanya anaknya tertinggal. Jauh tertinggal dibelakang berbanding rakan yang lain. Masuk darjah 3, abjad A,B,C pun masih tertukar lagi. Akhirnya dia akur. Itu pun sangat terlewat bagi aku. Anak dia dimasukkan ke kelas pendidikan khas pada tahun 4. Sayang sungguh. 

Ada murid masalah pembelajaran yang dimasukkan ke kelas pendidikan khas sejak tahun 1. Tahun 3 guru pendidikan khas hantar dia ke aliran perdana. Murid itu dah laju, murid itu dah boleh mengikuti pembelajaran bersama rakan mereka yang lain. Alangkah bagusnya tindakan ibubapa murid itu.

Hak murid itu tidak dinafi. Malah, anak dia mendapat tumpuan lebih. Dapat juga pelajari pelbagai kemahiran. Ada kurikulum khas yang digubal untuk murid bermasalah pembelajaran. Janganlah risau. Yang penting, janganlah MALU anak belajar di kelas pendidikan khas.

Jika dapati anak kita sangat slow dalam belajar, cubalah kau 'google' ciri-ciri kanak-kanak masalah pembelajaran. Aku nak tulis kat sini pun panjang sangat. Kau cari la sendiri.

Kalau banyak ciri-ciri itu ada pada anak kita, bawalah jumpa doktor untuk dapatkan surat pengesahan. Seterusnya masukkan mereka ke kelas pendidikan khas dengan gembira.

Ya, bergembiralah kalian kerana anak kalian mendapat tumpuan istimewa dari guru yang terlatih. Seorang guru hanya untuk 7 murid. Istimewa sungguh tu.

Ubah persepsi, pedulikan kata orang. Asalkan anak kita mendapat yang terbaik!
=============
* Artikel ini ditulis oleh Cikgu Fadli, penulis buku bestseller, 'Cikgu Kelas Sebelah'.
* Jangan kerana malu, anak kita buntu.


Kredit : Fb TcherCollection - TC 

Hantarkan luahan kisah anda di sini ==> lamanqaseh/borang
 

No comments: