"Kongsikan Luahan Kisah Anda , Kerana Masih Ada Yang Peduli" "Individually, We Are One Drop. Together, We Are An Ocean"

Latest Post

13 May 2014

Jangan Abaikan kami Duhai Ibu Dan Ayah, Kami Anak Mangsa Perceraian

RUMAH TANGGA apabila menghadapi keruntuhan pasti memberi kesan kepada anak-anak terutama mereka yang masih kecil. Namun ini tidak bermakna anak-anak remaja juga terlepas daripada tekanan tersebut, malah mereka adalah golongan yang bimbang akan tersasar hala tuju jika tidak dibimbing ke jalan yang sempurna demi masa depan mereka. Tidak dinafikan ada anak mangsa perceraian berjaya dalam pendidikan mereka sehingga mendapat jawatan tinggi dan ada pula yang tercicir dan hidup terbiar. Dalam hubungan ini ibu bapa memainkan peranan menentukan masa depan anak-anak apabila perceraian berlaku agar anak-anak tidak merasa diketepikan seperti mana yang dilalui oleh Murni (bukan nama sebenar). 

Murni, 23, anak kedua daripada tiga adik beradik mempunyai seorang kakak, 25, dan adik perempuan, 14 tahun mengirim e-mel kepada saya untuk berkongsi kisah menjadi anak terbiar setelah ibu bapanya terpisah. Membaca kisah Murni saya mengeluh panjang. Maklumlah, selama ini banyak kisah memaparkan tentang pengorbanan ibu tunggal membesar dan mendidik anak mereka tanpa suami. Sayangnya kisah yang diluahkan Murni terbalik pula. Ibunya pula yang yang mengabaikan mereka setelah bergelar ibu tunggal lebih kurang lima tahun lalu. Sebabnya, dia ligat buat bisnes jualan langsung. Ibu dengan cara ibu, ayah pula lebih pentingkan isteri baru dan anak tirinya, membiarkan mereka tiga beradik terkapai-kapai sendiri.

Sebagai anak Murni tidak tahu punca perpisahan ayah dan ibunya, sekadar dimaklumkan bahawa mereka tidak sehaluan lagi. Ikuti kisah Murni seperti diceritakan dalam e-melnya kepada saya untuk dijadikan iktibar oleh pembaca. 

"Kami tiga beradik memilih untuk tinggal bersama ibu sebab ayah mengambil keputusan berkahwin lain dengan seorang janda beranak tiga setelah mereka bercerai. "Ibu tidak membantah hasrat kami, walaupun dia berkata akan keluar mencari kerja bagi menampung hidup kami. Di peringkat awal kami merasa bahagia bersama ibu. Sayangnya keadaan berubah apabila ibu mula mencebur diri di dalam satu perniagaan.

"Pada mulanya saya, kakak dan adik tidak perasan perubahan ibu. Lama kelamaan saya merasakan ada kelainan pada perangai ibu. Pakaiannya sudah berubah, dulu jika dia suka berbaju kurung sekarang tidak lagi. "Ke mana sahaja mesti pakai seluar siap dengan jaket lagi. Memang dah jadi orang bisnes sekarang, gaya dan lagak juga berubah. Tapi saya dan kakak tidak pernah tegur sebab dia ibu kami."Malangnya keadaan semakin teruk apabila ibu sering tidak pulang ke rumah. Alasannya ke luar daerah urusan bisnes. 

"Sekali dua mungkin kami boleh percaya, tetapi apabila telah menjadi kebiasaan pelik juga rasanya. "Sebagai anak kami juga tertanya-tanya, kenapa ibu berubah laku macam anak dara, tidak ingat tanggungjawab kepada kami anak-anaknya. Memang betul kami telah dewasa dan boleh jaga diri sendiri, sekurang-kurangnya ibu perlu fikir tentang keselamatan kami, juga kebajikan adik yang masih bersekolah. "Mujur kakak ada, dia banyak memberi saya dan adik semangat untuk menghadapi situasi ini supaya kami tidak tertekan dan dapat meneruskan hidup seperti biasa.

"Saya sendiri tidak tahu produk apa yang ibu buat tetapi saya tahu dia bekerja keras untuk berjaya kerana dia nak buktikan kepada ayah yang dia boleh berjaya tanpa ayah. "Ibu berjaya dalam usahanya tetapi gagal menjalankan tanggungjawab kepada kami, begitu juga dengan ayah. Anak tiri ditatang dan dilayan dengan baik, tapi kami pandang sebelah mata pun tidak. "Duit belanja ayah bagi cukup-cukup untuk kami tiga beradik. Mujur kakak sudah kerja, ada juga belanja lebih kalau terdesak. Ibu walaupun bisnes, kedekut nak keluar duit.

"Saya juga kecewa dan malu dengan ibu yang tidak tahu jaga maruahnya sebagai ibu tunggal, ke hulu ke hilir bersama lelaki. Malu juga saya apabila kawan-kawan sekolah terserempak dengan ibu lepak-lepak di kopitiam dan kafe dengan lelaki. "Saya tidak tahu sama ada ibu ada teman lelaki lain selepas bercerai dengan ayah. Kalau tanya dia akan jawab semua lelaki itu rakan bisnes… apa lagi yang kami nak kata. Mahu tak mahu, suka ke tidak, kena tutup mulut, kalau tidak teruk kena marah dengan ibu.

"Saya bercerita ini sebab tidak tahan lagi dengan perangai ibu. Pernah saya dan kakak berbincang untuk balik kampung tinggal bersama nenek sebelah ibu yang rapat dengan kami. Di sana kami ada bapa saudara dan ibu saudara yang faham masalah kami."Bila difikir balik kata kakak, biarlah kami susah sendiri di sini. Lagipun kata kakak dia sudah dewasa dan boleh menjaga saya dan adik. Kalau di kampung, belum tentu kami akan gembira. "Kami beruntung sebab rumah itu ayah berikan kepada kami, jadi tempat tinggal tidak ada masalah. 

Saya berharap sangat-sangat agar ibu berubah. Siang malam saya, kakak dan adik berdoa mudah-mudahan Allah akan membuka pintu hati ibu untuk sedar akan keterlanjuran sikapnya kepada kami. "Saya mendoakan agar hidup kami tiga beradik akan pulih seperti sedia kala. Saya ingin mengingatkan pasangan suami isteri yang menghadapi masalah rumah tangga supaya memikirkan kebajikan dan masa depan anak-anak selepas bercerai.

"Jangan syok sendiri nak kejar glamor. Jaga anak-anak, beri kasih sayang dan tunaikan tanggungjawab memberi nafkah kepada mereka. Kepada kaum bapa, jangan abaikan anak-anak selepas berkahwin lain. Jangan pilih kasih dan bezakan anak tiri dan anak kandung. "Kami bukan nak kan harta tapi kasih sayang. Itu sudah mencukupi. Jangan kerana ibu dan ayah berdendam antara satu sama lain kami jadi mangsa. Apapun keadaan kami doakan yang terbaik untuk ayah dan ibu. 

"Jika ayah dan ibu terbaca catatan ini, saya minta maaf jika ibu dan ayah terasa," demikian Murni menutup cerita. Saya juga hilang kata-kata untuk memberi komen terhadap kisah yang Murni luahkan. Namun saya yakin ia menjadi iktibar paling bermakna kepada pasangan suami isteri sebelum membuat keputusan bercerai. Anak-anak sekarang boleh melihat, mendengar dan menilai apa yang berlaku dalam kehidupan mereka. Seperti kata Murni, dia, kakak dan adiknya amat berharap ibu mereka akan berubah, begitu juga saya.

Pada masa sama, pesanan saya kepada Murni, kakak dan adiknya supaya terus melayan ibu mereka dengan sebaik-baiknya. Buruk baik, dia tetap ibu. Hormati, sayangilah dia. Nasihat saya, ajak ibu berbincang, luahkan apa yang anda bertiga rasakan. Ingatkan dia tentang saat manis semasa anda semua tinggal sebumbung. Saya pasti naluri seorang ibu akan merasainya. Mungkin dia tersasar tetapi masih ada jalan untuk membawa ibu kembali ke pangkal jalan. 

Mungkin sebagai anak, anda boleh melakukannya. Menutup catatan, sepatah kata buat renungan, kebahagiaan bukan di tangan orang lain tetapi di tangan sendiri kerana di dalam dirimu itu, ada pelita yang harus engkau nyalakan untuk menyinari alam di sekelilingmu!

Salam

Kredit : UtusanMalaysia

Hantarkan luahan kisah anda di sini ==> lamanqaseh/borang
 

No comments: