"Kongsikan Luahan Kisah Anda , Kerana Masih Ada Yang Peduli" "Individually, We Are One Drop. Together, We Are An Ocean"

Latest Post

20 Jun 2017

Isteri Malu Suami Bermulut Celupar


MULUT becok atau mulut murai selalunya dilabelkan kepada kaum Hawa kerana fitrah wanita kebanyakannya suka membebel. Ada juga yang jenis berat mulut, sepatah kita bertanya sepatah juga dijawabnya.
Kerana mulut juga badan akan binasa, maruah tergadai dan segala kebaikan musnah dalam sekelip mata. Mulut tempayan boleh ditutup tetapi mulut manusia tidak, segala rahsia akan terbongkar dan tersebarlah cerita tidak kira positif atau sebaliknya.
Itu cerita orang perempuan, bagaimana jika lelaki pula yang ada tabiat buruk seperti itu? Tentu pelik bukan?
Inilah masalah yang dipanjangkan kepada saya oleh Puan Hana (bukan nama sebenar) dengan mulut celupar suaminya, Suffian (bukan nama sebenar).
Kita ikuti kisah Hana selanjutnya.
"Saya telah 15 tahun bernikah dengan suami dan dikurniakan tiga orang anak yang masih bersekolah.
"Hubungan kami amat mesra, malah suami seorang yang penyayang.
"Di sebalik sikapnya yang penyayang itu, rupa-rupanya ada juga sikap buruknya yang amat memalukan saya. Dia suka komen, merungut dan menegur apa sahaja perkara yang tidak berkenan di hatinya.
"Apabila ke majlis, saya selalu malu dengan kawan-kawannya dan isteri mereka. Mana tidaknya, semua perkara dia komen sehinggakan tidak ada satu yang betul. Semua salah, dia sahaja yang betul.
"Kalau orang sedang asyik makan dan menonton persembahan di pentas, mulut dia tidak berhenti mengomel, entah apa yang dia komen, saya tidak tahu. Keadaan itu menjadikan rakan-rakan semeja tidak selesa dan bangun meninggalkan meja kami.
"Suami pula langsung tidak sensitif pada suasana keliling. Kalau dia tidak suka, dia terus saja cakap tanpa memikirkan sensitiviti orang keliling. Ada kalanya dia sampai memaki hamun kerana tidak puas hati dengan sesuatu yang dilihatnya.
"Itu kisah dalam majlis-majlis yang dihadiri. Di pejabat lain pula adegannya. Kebetulan sepupu saya bertugas satu bumbung dengannya. Pernah sepupu saya memaklumkan kepada saya, suami saya seorang yang celupar mulutnya.
"Kebanyakan staf tersinggung dengan kata-katanya. Ada yang merajuk dan boikot dia. Ada juga yang mengata dia di belakang sebab terlalu geram dengan perangainya.
"Bagaimanapun tidak ada sesiapa berani menegurnya, sebab jika ditegur dia akan melenting, lagipun suami berjawatan tinggi di pejabat tersebut.
"Satu ketika sepupu saya memberitahu, pernah suami saya bercerita tentang seorang staf wanita dengan menyentuh hal-hal peribadinya. Sekali dua, orang boleh bersabar dan berdiam diri, tetapi sampai bila boleh bertahan.
"Kita manusia biasa bukan robot yang boleh dikawal.
Kerana mulut celuparnya itu, suami dicop sebagai "Cik Suffi". Sebagai isteri, saya amat sedih dan malu. Tetapi saya tidak berdaya menegurnya sebab jika berbuat demikian maka akan meletus perang dunia ketiga.
"Akan tetapi sebagai isteri, tentu saya susah hati apabila orang mengata suami saya. Saya hanya mampu berdoa agar suami akan sedar dan berubah sikapnya.
"Saya amat berharap doa saya ini akan dimakbulkan Allah sebab saya sudah tidak larat lagi hendak tanggung perasaan malu ini.
"Apabila mendapat tahu staf suami memanggilnya "Cik Suffi", saya amat sedih. Kata sepupu saya apabila suami bercuti, mereka semua cukup gembira dan berkata sesama sendiri, "Cik Suffi" bercuti hari ini.
"Satu hari nak dijadikan cerita, suami terdengar sindiran tersebut dan dia terasa yang kata-kata itu ditujukan kepadanya. Tapi dia langsung tidak tunjuk malu, buat muka selamba sahaja. Seolah-olah tidak ada apa yang berlaku.
"Sebagai ketua, suami sepatutnya mengawasi situasi di pejabat, bukannya sibuk dengan hal yang remeh-temeh. Petugasnya amat hairan dengan sikapnya yang lebih suka mengambil berat hal-hal peribadi daripada tugas hakiki di pejabat.
"Jika dia terdengar sesuatu perkara peribadi seseorang yang kurang enak untuk didengar, maka itulah yang akan dibualkannya berhari-hari. Dia memang suka bercerita aib orang tetapi aib sendiri, simpan dalam peti besi!.
"Cik Suffi" akan memulakan tugasan harian dengan bertanyakan hal-hal peribadi sesiapa yang pada pandangannya kurang 'sempurna'. Ada sahaja yang akan dijadikan topik perbincangan.
"Maka bermula sesi kata mengata, hina menghina. Yang gemuk dilabel kuat makan, yang bujang terlajak akan dilabel andartu tak laku, yang bergaya lebih sikit daripada dia, akan dikatakan nak melaram. Pendek kata, ada sahaja yang tidak kena di matanya.
"Pasangan yang bercinta adalah perkara biasa, itu fitrah manusia, asalkan tidak melakukan dosa, sesiapa pun tiada hak untuk menghalang. Lain pula dengan "Cik Suffi" yang akan mengadakan skrip untuk dicanangkan.
"Pasangan tersebut tidak sepadanlah, syok sendirilah, bertepuk sebelah tangan dan ada sahaja yang tidak kena di mata dia, dan tidak berkenan di hatinya. Pendek kata komennya mengalahkan juri pertandingan!. Agaknya jika dilantik menjadi juri pasti sukar untuk mencari pemenang.
"Keselesaan "Cik Suffi" tergugat apabila dia 'diserang' oleh seseorang yang kurang senang dengan mulut celuparnya yang tidak bertempat. Berlakulah perang mulut antara mereka. Ada hikmah di sebalik apa yang terjadi. Mulai dari itu "Cik Suffi" telah bertukar menjadi dirinya yang sebenar, lelaki sejati kurang bercakap dan lebihkan bekerja.
"Kini tidak lagi terdengar ayat-ayat yang pedih cuping telinga dan suami saya, Suffian kini telah berubah sedikit demi sedikit. Dia semakin menghormati para pekerjanya dan tidak lagi merungut yang bukan-bukan serta mengaibkan orang.
"Tidak ada manusia yang sempurna, kita belajar dan memperbaiki diri daripada kesalahan. Ada ketikanya teguran itu perlu, jika dibiarkan mungkin akan wujud persekitaran yang tidak selesa.
"Sebagai isteri, saya amat bersyukur dengan perubahan suami. Ramai yang hairan apabila melihat gayanya yang serius sekarang. Itulah suami idaman saya. Saya tidak berkecil hati dengan teguran kenalannya itu, sebaliknya saya gembira dengan perubahan diri suami.
"Sekurang-kurangnya saya bangga dengan perubahan suami setelah muhasabah dari. Saya percaya dia telah mendapat pengajaran yang baik daripada apa yang telah berlaku terhadapnya. Semoga dia terus begitu untuk selamanya.
"Syukur doa saya Allah makbulkan,'' kata Hana menutup cerita.
Saya mengucapkan syabas kepada Hana kerana begitu sabar dengan kerenah suami dan kesabaran itu sudah nampak hasilnya apabila doa Hana Allah makbulkan apabila suaminya kini berubah.
Kesabaran yang sama, saya harap ada pada isteri-isteri di luar sana yang menghadapi masalah dengan suami.
Sabar, berdoa dan pada masa yang sama saling tegur menegur agar kekeliruan dapat diatasi. Saya akhiri catatan minggu ini dengan kata-kata, "Orang yang jiwanya tidak ada keindahan, tidak akan nampak keindahan di alam maya ini, sekali gus memudarkan ketenangan hidupnya."
Salam.

Kredit : UtusanMalaysia

Hantarkan luahan kisah anda di sini ==> lamanqaseh/borang

No comments: