"Kongsikan Luahan Kisah Anda , Kerana Masih Ada Yang Peduli" "Individually, We Are One Drop. Together, We Are An Ocean"

Latest Post

11 Jun 2017

Gara-gara Wang Hantaran Tak Cukup RM1,000, Dicerai Talak Tiga Selepas Setengah Jam Jadi Isteri


Selepas kecoh isu membabitkan sepasang bakal pengantin tidak jadi melangsungkan perkahwinan selepas didakwa berlaku salah faham ketika rundingan dipercayai membabitkan wang hantaran tidak dipenuhi pada Sabtu lalu, viral pula kisah mengenai seorang lelaki menceraikan isterinya selepas setengah jam melangsungkan pernikahan. 

Menerusi status yang dikongsi oleh seorang jurugambar yang dikenali sebagai Boii Amani Hashim, insiden didakwa berlaku selepas pihak keluarga pengantin perempuan ‘naik angin’ kerana wang hantaran yang sepatutnya berjumlah RM22,222.22 tidak dipenuhi oleh pengantin lelaki.

Kekecohan mula tercetus sejurus pengantin lelaki selesai melafaz akad. “Hantaran kahwin mak ayah perempuan ni letak, mahal gila, tapi si laki ni setuju. Aku tengok pun lelaki ini bukan calang-calang orang. “Hari akad nikah, gembira sahaja dua-dua belah pihak. Pengantin muka dah tak saba mengawan. Ye la, musim hujan masa tu. Tok kadi sampai, maka berlangsung la acara akad nikah dan selamba dengan senafas sahaja si lelaki lafazkan akad.

“Hantaran pun bertukar tangan begitu gak ngan mas kahwin. Masa lelaki tu nak baca lafas takliq, tiba-tiba saudara dari pihak perempuan bising duit hantaran tak cukup seribu,” tulis Boii Amani Hashim dalam entri di laman Facebooknya, lewat petang semalam. Menyedari wang hantaran tidak cukup RM1,000, Boii Amani berkata pengantin perempuan terus bangun dari tempat duduknya, sebelum meninggikan suara kepada suaminya.

“Tinggikan suara kat pengantin laki bertanyakan pasal ape tak cukup seribu…siap pihak pompuan perli-perli ‘dah tau tak cukup duit tapi gatal sangat nak kahwin tu kenapa?’ “Yang pengantin lelaki walaupun mata berkaca, dia senyum saja,” tambahnya. Menurut Boii Amani, pengantin lelaki sengaja berbuat demikian dengan tidak memenuhi jumlah hantaran kerana mahu menguji keikhlasan isterinya.

“Dia (pengantin lelaki) amik ‘mic’ pastu dia cakap, baru jadi isteri tak sampai setengah jam dah camni. Saje saya tak cukupkan seribu sebab nak tengok kamu macam mana. “Ni ada saya bawa wang yang tak cukup tu, (sambil buka beg yang berkepuk-kepuk duit 50 dan 100). Tak apa la…alang-alang semua ada kat sini, boleh jadi saksi saya. Saya ceraikan awak dengan talak tiga,” tulis Boii Amani yang turut menceritakan lelaki itu terus beredar daripada majlis tersebut.

Sehingga kini status tersebut dikongsi lebih 4,000 pengguna Facebook yang rata-rata mengkritik tindakan keluarga pengantin perempuan meletakkan nilai hantaran yang terlalu tinggi. Menurut Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia, mas kahwin (mahar) adalah pembayaran kahwin yang wajib dibayar di bawah hukum syarak oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakadnikahkan, sama ada berupa wang yang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa cagaran, atau berupa sesuatu yang menurut hukum syarak dapat dinilai dengan wang.

Islam menyerahkan persoalan mengenai kadar mas kahwin mengikut kemampuan seseorang serta tradisi masyarakat setempat. Sungguhpun demikian, Islam menganjurkan supaya bersederhana iaitu tidak meletakkan nilai mas kahwin terlalu tinggi dan tidak pula terlalu rendah berdasarkan kemampuan masing-masing.

Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam agar mempermudah mahar sebagaimana dalam sabda baginda yang bermaksud: “Mas kahwin yang paling baik adalah yang paling mudah.” (Riwayat Imam al-Hakim dalam al-Mustadrak).

 

               MalaysianDigest

Hantarkan luahan kisah anda di sini ==> lamanqaseh/borang   

No comments: