"Kongsikan Luahan Kisah Anda , Kerana Masih Ada Yang Peduli" "Individually, We Are One Drop. Together, We Are An Ocean"

Latest Post

6 Jun 2017

Dianiaya Rakan Sebagai Penjamin


 
SOALAN:
Saya ada membuat pinjaman peribadi secara cross guarantor dengan sebuah bank bersama seorang kawan kira-kira 13 tahun lalu. Pinjaman saya secara potongan gaji selesai dalam tempoh yang ditetapkan. Sahabat berkenaan hanya membayar tiga kali sahaja sebelum berhenti kerja dan ghaib sehingga kini.

Kes ini kemudian dibawa ke mahkamah. Saya terpaksa mengadap hakim tanpa kehadiran peminjam. Beberapa tahun lalu, pihak bank mencadangkan saya membuat pinjaman untuk menyelesaikan hutang tertunggak berkenaan ataupun memotong gaji saya setiap bulan. 

Cadangan itu tidak dapat dilaksanakan kerana bajet saya tidak mengizinkan. Saya faham, mengikut hukum syarak saya perlu bertanggungjawab untuk menyelesaikan tunggakan pinjaman tersebut yang berjumlah hampir RM10,000. 

Nama saya telah disenaraihitamkan hampir tujuh tahun hingga kini.
Baru-baru ini, saya membuat pinjaman dengan bank berkenaan sekali gus menyelesaikan hutang tertunggak tersebut. Tanggungjawab saya selesai. Nama saya dan kawan bermasalah itu kini bersih.

Mengikut adat, kawan saya itu kini berhutang dengan saya. Apa pandangan ustaz mengenai kes ini secara umum?

JAWAPAN:
Ya, secara umumnya masalah yang saudara hadapi ialah cabaran hidup, kesabaran dalam berkawan, ketabahan dalam menghadapi muflis dan sebagainya yang saya fakir pasti telah mengganggu keharmonian perjalanan kehidupan saudara. 

Namun, insiden ini pasti akan mematangkan lagi saudara dalam melalui kehidupan seharian supaya lebih berhati-hati dalam menghulurkan bantuan kepada orang lain. Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: Seorang mukmin tidak akan memasuki lubang biawak padang pasir kali kedua. (riwayat Muslim, kitab: al-Zuhd wa Raqaiq, no:5317). Dalam riwayat yang lain bermaksud: "Seorang mukmin tidak digigit ular dua kali dari satu lubang".

Maksud hadis ini Rasulullah berpesan bahawa seorang mukmin tidak akan tertipu bagi kali yang kedua. Kalau masih tertipu maksudnya orang itu tidak sempurna imannya. Dalam kaedah fiqh ada menyebut bahawa seseorang itu tidak akan mengundang suatu yang mudarat dan tidak mendedahkan diri kepada kemudaratan. Cukuplah apa yang saudara alami, jangan sampai tertipu bagi kali yang berikutnya. 

Betullah tindakan saudara membuat pinjaman untuk melangsaikan hutang tersebut. Kawan saudara yang berhutang itu harus bertanggungjawab, dalam Islam perbuatan dia haram, kerana mengkhianati persahabatan dan menghumban kawan dalam masalah dan dia melepaskan diri dari masalah tersebut. 

Perbuatan saudara melangsaikan hutang itu bermaksud saudara membayar duit kawan sebagai menunaikan tanggungjawab dan arahan kontrak akad. Saudara sanggup menjamin kawan kerana percaya bahawa dia akan melangsaikannya dan tidak akan mendatangkan masalah dan bebanan kepada saudara. Tetapi bak kata pepatah "seperti melepaskan anjing yang tersepit". 

Biarpun saudara telah melangsaikan hutang yang dituntut oleh pihak bank kepada saudara selaku penjamin, kini kawan saudara berhutang dengan saudara. Mungkin dari sudut Islam ada perbahasan dari kalangan ulama.

Namun demikian, dari sudut akhlak dia tetap salah dan berdosa. Selagi mana dia tidak meminta halal dan memohon kemaafan dia tetap bersalah.

SOALAN 2
Sekiranya beliau gagal menjelaskan hutang ini, apa tindakan yang perlu saya buat? 

JAWAPAN:
Dari sudut undang-undang saya kurang pasti, tetapi peruntukkan penjamin jelas bahawa pinjaman yang dibuat oleh kawan saudara itu adalah tanggungjawab bersama dari sudut undang-undang. 

Sekiranya saudara tahu tempat tinggalnya, saudara berjumpa dan meminta dia melangsaikan hutang dia kepada saudara. Namun ada satu lagi pilihan iaitu saudara halalkan hutang tersebut. 

SOALAN 3
Jika saya tidak menghalalkannya di dunia dan akhirat, apakah saya dikira berdosa? 

JAWAPAN:
Saudara tidak berdosa kerana telah dianiaya oleh rakan sendiri atau dizalimi. Namun sekiranya saudara ingin memaafkan atau bersikap reda atas segala yang berlaku itu adalah lebih baik. 

SOALAN 4
Adakah ini semua takdir atau ujian atau kaffarah yang ditentukan kepada saya? 

JAWAPAN:
Sesungguhnya setiap apa jua masalah yang berlaku ia adalah merupakan ujian atau dugaan yang ditimpakan oleh Allah kepada hambanya di dunia seperti mana dalam firman Allah SWT: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali". (al-Baqarah : 155). 

Apa yang berlaku dalam kehidupan kita adalah takdir daripada Allah. Dalam masalah saudara Allah uji saudara dengan harta dan kawan. 

SOALAN 5
Berdosakah saya (dahulu) memaki hamun kawan berkenaan di atas perbuatannya? 

JAWAPAN:
Sebagai seorang manusia biasa marah itu suatu yang biasa. Tiada seorang pun yang tiada perasaan marah, cuma marah ini mesti bertempat, tidak boleh sembarang marah. Kalau ditanya yang mana baik marah atau sabar? Pastilah jawapannya sabar, kerana orang yang bersabar atas dugaan lebih baik dari orang yang tidak bersabar. 

Saya faham keadaan saudara yang cukup terhimpit dalam hutang. Nasihat saya beristighfar dan mohonlah keampunan dari Allah SWT atas keterlanjuran lisan saudara. 

SOALAN 6
Berdosakah saya menceritakan masalah ini dan sikap sahabat ini kepada kawan-kawan yang lain? 

JAWAPAN:
Tidak salah saudara bercerita dengan kawan-kawan lain sebagai satu pengalaman. Ini supaya yang lain lebih berhati-hati sama ada dalam masalah menjamin atau individu yang melarikan diri dari tanggungjawab dengan mengenakan kawan yang menjamin.

Kredit : UtusanMalaysia


Hantarkan luahan kisah anda di sini ==> lamanqaseh/borang
 

No comments: