"Awak baru 10 tahun mengajar, and I think (in Education), you are too young for GC 48. Why do you think, you deserve for it?"


Mungkin sedikit provokasi daripada beliau, untuk mengharapkan jawapan terbaik daripada saya. Tersenyum saya sambil menjawab, Sebab saya nak jadi contoh dan inspire other young teachers, bahawa kalau mereka kuat berusaha dan berusaha dengan betul, insya-Allah akan ada jalan pintas juga untuk mereka.. " Dan, hari ini saya dah buktikannya!

 

Laluan Guru Cemerlang 

Sekadar makluman, saya mula dipostingkan pada tahun 2007, di SMK Luar Bandar No.1 Sibu, Sarawak. Tempoh 5 tahun pertama digunakan sebaik mungkin untuk saya menimba ilmu dan pengalaman sebagai guru baharu, bagi mengenalpasti potensi bakat dan kelebihan saya dalam bidang perguruan.

Setelah cukup syarat memohon, tahun ke-6 (2012) saya memohon sebagai Guru Cemerlang Sains, juga atas 'desakan' dan galakan tuan Pengetua Mr Tan Hock Sang bagi mencemerlangkan semua guru-guru di sekolahnya.


Meskipun asalnya saya merupakan guru Kimia (yang juga mengajar Sains), tetapi saya pilih subjek Sains sebagai subjek kepakaran bagi laluan Guru Cemerlang saya kerana:

1. masa mengajar yang lebih banyak berbanding subjek Kimia
2. lebih banyak bahan, aktiviti dan program yang saya jalankan bagi subjek Sains

Alhamdulillah rezeki saya dihalakan melalui laluan ini, maka pada tahun 2013 saya menerima surat lantikan sebagai Guru Cemerlang Sains DG44 (KUP). KUP atau Khas Untuk Penyandang itu membawa maksud, gred yang saya perolehi boleh dibawa bersama saya ke mana-mana tempat saya berkhidmat, sama seperti gred timebased.

 

Persiapan


Sepanjang tempoh 2013 hingga 2015 itu saya gunakan dengan sebaiknya bagi mengumpul lebih banyak tugasan berprofil tinggi (penyertaan peringkat negeri dan ke atas) serta program berimpak tinggi kepada akademik, terutamanya kepada anak murid saya. Jangan lupa, dokumentasi bertulis dan bergambar adalah sangat penting dalam membuktikan bahawa, saya telah menjalankan program / aktiviti tersebut.

Saya mantapkan juga kaedah mengajar dengan sentiasa membenarkan pdp saya dipantau dan juga diberi maklum balas oleh guru lain melalui sesi seperti Lesson Study dan Peer Coaching. Mesti sentiasa terbuka untuk kritikan membina. InshaAllah sangat membantu!

Penghasilan modul, inovasi, penulisan seperti Kajian Tindakan yang memberi impak kepada kemenjadian murid juga haruslah diberi perhatian. Murid yang cemerlang, datangnya juga daripada guru yang cemerlang, dan sentiasa progresif untuk belajar.

Pada tahun 2015, permohonan pertukaran saya balik ke negeri Kedah berjaya. Saya ditempatkan di sebuah sekolah yang baru saja setahun beroperasi, iaitu SMK Jerlun. Di Kedah, peluang untuk terlibat aktif menyumbang sebagai Guru Cemerlang berjalan dengan lebih rancak.

Pada masa rakan-rakan seposting tahun yang sama, berkira-kira untuk memohon DG44 secara timebased pada tahun 2015, saya pula mula berkira-kira untuk memohon DG48 secara laluan kecemerlangan.

Rezeki tak menyebelahi, kerana pada tahun tersebut, tiada iklan Guru Cemerlang yang dikeluarkan. Satu-satunya tahun tanpa iklan Guru Cemerlang. Tapi datang pula rezeki lain untuk saya menimba pengalaman sebagai Guru Pertukaran di Korea selama 3 bulan.

Tahun 2016, iaitu tahun ke-10 saya dalam perkhidmatan pendidikan, iklan yang ditunggu tiba. Kali nih, memang cukup syarat dengan tempoh perkhidmatan lebih 3 tahun dalam gred semasa, DG44. Galakan tuan Pengetua, Haji Abdul Razak Mat juga banyak menyuntik semangat saya.

Saya gunakan peluang ini dengan sebaiknya, apatah lagi sumbangan saya kini lebih banyak, hasil daripada peluang yang diberikan oleh PPD, JPN dan KPM sendiri. Peluang terbaik, yang tak sepatutnya saya persiakan.

Alhamdulillah, sekali lagi permohonan Guru Cemerlang saya bagi gred DG48 pada kali ini juga berjaya. Mendapat perkhabaran dan pelantikan pada tahun 2017 tahun ke-11 saya berkhidmat merupakan satu rahmat buat apa yang telah saya usahakan selama ini.

*Jika mengikut laluan timebased, saya hanya akan perolehi DG48 pada tahun 2023

Dan seperti yang saya katakan kepada nazir yang datang mencerap saya pada tahun lepas, niat saya adalah untuk menjadi contoh dan inspirasi kepada guru muda yang lain, bahawa tidak ada benda mustahil, jika kita berkerja dengan kuat dan berusaha dengan betul.

Alhamdulillah, Allah perkenankan.

 

Lima rahsia kejayaan

Secara jujur, saya katakan, kita ada ramai guru yang bagus. Komited dan berkomitmen tinggi pada bidang tugas mereka. Nasihat saya untuk mereka yang mungkin mahu mengikut jejak langkah saya (atau mungkin jadi lebih baik) dalam bidang perguruan:

1. Gunakan setiap RUANG DAN PELUANG untuk menimba pengalaman dan mencari kekuatan diri sebagai pendidik. Kurangkan beri alasan, tetapi proaktif mencari jalan.

2. FOKUS dengan perkara yang boleh memberi impak tinggi pada hala tuju dalam kerjaya kita sebagai pendidik. Bukannya buat semua benda, tapi tiada apa-apa untuk kemajuan diri bagi jangka masa panjang. Jangan sampai burnt out!

3. Jangan gopoh dan kalut dalam merancang PERSIAPAN anda menuju GC. Just be free and easy! Mohon GC bukannya seperti, buat hari ini, esok dah boleh mohon. Ianya perancangan dan persiapan untuk tempoh 3 tahun, sekurang-kurangnya.


4. Perlu adanya GOOD MENTOR yang boleh menghalakan anda ke jalan yang benar, dan tuntut ilmu sampai habis. Jangan separuh jalan. Buruk padahnya nanti kalau jadi anak murid yang derhaka.


5. Ingat, anda belum cukup BERJAYA jika anda tidak selesa dengan kejayaan orang lain. Bila tengok orang berjaya, jangan dengkilah senang ceritanya. Sentiasa reda, dan percaya bahawa setiap orang ada rezeki masing-masing. Kita juga!

Okey, demikian lah serba sedikit perkongsian perjalanan saya dalam dunia pendidikan. Saya juga masih belajar, dan akan terus belajar. Doakan semoga urusan saya sentiasa dipermudahkan Allah SWT. Saya doakan juga semoga anda semua juga dipermudahkan urusan olehNya. Bersama-sama kita menjadi pendidik yang lebih berjaya. InshaAllah!
 
TAHNIAH!!! DARI KAMI GPSBESTARI.COM

Kredit : gpsbestari

Hantarkan luahan kisah anda di sini ==> lamanqaseh/borang