"Kongsikan Luahan Kisah Anda , Kerana Masih Ada Yang Peduli" "Individually, We Are One Drop. Together, We Are An Ocean"

Latest Post

2 Jun 2017

Bersyukur Lepas Bercerai. Anak 19 orang, Tapi Anak Isteri Ke-3 Di Abaikan


''Apakah dosa dan kesalahan anak-anak sehingga ayah mereka sanggup memperlakukan mereka sedemikian rupa? Apakah cukup sekiranya dia berdoa semoga Allah murahkan rezeki untuk anak-anak sahaja. Bagaimana pula tentang kasih sayang dia sebagai ayah terhadap anak-anak?

''Kadang kala mereka bertanya ke mana dan mengapa ayah tidak balik. Apa yang harus saya katakan selain menyebut ayahnya telah mati. Jawapannya mudah, tak sakit hati dan harap-harap anak kita tak tanya lagi. Bagaimanapun saya tetap mencuba membawa tuntutan nafkah anak-anak ke mahkamah tetapi sampai sahaja surat peguam tentang tuntutan nafkah dan saman malu daripada saya, dia terus menghilangkan diri sehingga kini tidak dapat dijejaki.

''Sebagai ayah dia mesti ingat, dia mungkin boleh elak dari tuntutan nafkah di dunia, tapi tidak di akhirat. Saya ingin mengingatkan dia, di malam pertama perkahwinan kami, dia memberitahu saya bahawa dia adalah seorang lelaki dan ayah yang penyayang. ''Tetapi setelah berkahwin baru saya kenal siapa dia sampai sekarang dia tidak berjaya membuktikannya. Kalau benar dia seorang ayah yang penyayang mengapa anak-anak ini dipersia-siakan? Tidakkah dia merasai bahawa anak-anak ini sangat memerlukan dia.

''Dia boleh benci saya; tuduh saya apa sahaja tuduhan yang boleh dilahirkannya dari mulut, lidah dan hatinya, tetapi bolehkah kemarahan dan kebenciannya kepada saya dibalas kepada anak-anak. Apakah anak-anak harus menerima hukuman tersebut. ''Kalau dia kata tak mampu nak sara hidup anak-anak cakap terus terang kepada saya. Saya boleh terima dan mungkin boleh halalkan perbuatan jahatnya kepada saya selama ini, tetapi mengapa dia tak mahu langsung tengok muka anak-anaknya itu. Seolah-olah dia bencikan anak-anaknya kerana saya.

''Tetapi kalaulah dia ingin persoalkan dia tak mampu sekarang tetapi mengapa dia boleh tanggung anak-anaknya yang lain. ''Sebab itu tuan kadi telah tetapkan kalau tak mampu jangan kahwin, tetapi dia kahwin juga dengan saya dengan seribu alasan; sekarang macam mana dia nak tanggung makan minum anaknya seramai 19 orang termasuk 3 orang anak saya. ''Percayakah anda kalau saya katakan dengan isteri pertama dia ada 10 anak, isteri kedua 6 orang? Tetapi itulah kenyataan. 

Bagi saya kalau dia boleh bagi makan 16 anak yang lain macam mana dengan anak-anak saya yang masih kecil ini sebagai anak isteri ketiga yang masih memerlukan makan untuk hidup dan buku ke sekolah. ''Selepas seminggu saya menghantarkan surat saman; saya hantar pula surat melalui peguam yang menyatakan saya ingin bersemuka dengan dia. Tujuan saya biar kami berbincang dari hati ke hati. Kalau dia tidak mampu membayar saman saya, cukuplah buat masa akan datang dia memberi nafkah anak mengikut jumlah yang dia mampu tetapi datanglah dan ziarahlah mereka. 

''Saya berusaha supaya kami tidak ke mahkamah. Nak cari jalan baik, untuk dunia dan akhirat. Tetapi dia rupanya seorang pengecut. Dia cuma berani menipu perempuan, berbohong dan mereka-reka pelbagai cerita memburukkan orang lain. Tetapi bila terima surat peguam dia lari balik kampung isteri keduanya. ''Apa yang menyakitkan hati saya sebelum kami berpisah, dia tuduh saya dengan pelbagai fitnah termasuk membocorkan rahsia rumah tangga kepada keluarga dan adik-beradik saya. Tetapi sebenarnya sampai sekarang mereka tak tahu cerita sebenar dari mulut saya apa yang terjadi dalam rumah tangga kami.

''Mereka tahu banyak hal kami daripada dia sendiri yang sering mengadu hal konon saya jahat. Saya tak pernah bercerita. Dari tahun ke tahun saya memendam rasa dan saya berdoa semoga Allah menyelesaikan masalah saya dengan segera. ''Akhirnya setelah mengutuk dan mengumpat akhirnya dia ceraikan saya, saya rasa cukup lega dan tidak sedih sedikitpun bukan kerana saya selalu diketepikan, tetapi kerana saya sudah lama hidup menderita dan cukup terseksa dengan perbuatannya.

''Sebelum saya menghantarkan surat peguam, banyak kali cuba menghubunginya kerana ingin berbincang. Tapi setiap kali saya menelefon, dia tutup telefon bimbitnya. Tak bolehkah kita berbincang soal anak-anak walaupun kita bukan suami isteri lagi? ''Dia pernah datang dan tidur di rumah sahabatnya yang bersebelahan dengan rumah saya. Esoknya pagi-pagi dia keluar tanpa bertanya dan menjenguk anaknya. Itu manusiakah atau binatang?

''Sewaktu saya menghantar surat saman untuk dia, ramai kawan-kawannya memprotes. Kononnya ada jalan lain yang boleh saya selesaikan tanpa peguam; tanpa mahkamah iaitu berbincang. ''Pada saya kawannya hanya pandai cakap. Kalau mereka ikhlas nak tolong mengapa tak pernah tolong selesaikan masalah nafkah anak-anak saya, yang ketika ditinggalkan baru berusia satu setengah tahun.

''Sebenarnya mereka cuma kesian pada Smail sahaja tetapi mereka tak kesiankan nasib anak-anak yang ditinggalkan dan isteri yang terpaksa hidup menderita membesarkan anak-anak sendirian. Lebih saya kesalkan mereka tidak pernah menegur sikap Smail yang kejam tinggalkan anak-anak. Saya bukan tuntut hak saya, tapi hak dan masa depan anak-anak saya. ''Sebelum saya mengakhiri surat saya ini, ingin saya mengajukan satu soalan buat dia, apa perasaan dia terhadap anak-anak ini. Ingat! Anak-anak saya ini kesemuanya bijak-bijak belaka. Sekiranya dia enggan memberikan mereka nafkah jangan akui mereka anak setelah mereka berjaya kelak.

Kalau mereka terlibat dalam keruntuhan akhlak, tolong jangan persalahkan saya. Fikir di manakah salah anda. ''Jangan jadi seperti kisah seorang ibu tunggal yang pernah dipaparkan di ruangan DCCK ini dahulu. Setelah anak-anaknya berjaya ke universiti, suami yang tak malu datang menuntut anak-anaknya. "Ibu tunggal itu jugalah yang dipersalahkan kononnya tidak menghubungi dan memberitahu bekas suaminya di mana anak-anaknya tinggal. Walhal, ibu tunggal itu sudah putus asa berikhtiar menuntut duit nafkah anak-anak daripada bekas suaminya.

''Saya faham cuma kebanyakan lelaki tidak mahu faham sifat semula jadi mereka. Mereka akan hanya kenal anak-anak setelah mereka besar, bekerja dan berjaya dalam hidup. Kalau anak-anak jahat dan tak pandai bersekolah, maka si ibulah menjadi mangsa. ''Si ayah sering menyalahkan si ibu dengan pelbagai alasan kalau anak-anaknya gagal dalam hidup, mereka tuduh si ibu yang bodohlah menyebabkan anak-anak bodoh dan tidak berjaya dalam hidup.

''Sebaliknya kalau si anak berjaya, mereka akan mendakwa konon merekalah orang yang berjaya, yang pandai dan berkebolehan dalam mendidik anak-anak langsung melupakan tugas, jasa dan kebijaksanaan si isteri tadi dalam membesarkan anak-anak. ''Dulu semasa dia buat hal dia buat pelbagai fitnah kepada saya, dia tuduh saya ada kekasihlah dan macam-macam lagi. Tetapi yang sebenarnya dia yang buat hal sengaja mencari jalan menghancurkan hidup saya dan memalukan saya pada jiran-jiran.

''Sekarang setelah lima tahun lebih bercerai, saya masih tak berkahwin lagi, saya tak mahu hidup anak-anak terancam kerana saya dapat suami baru.''Saya sedar anak-anak tidak akan mesra dengan saya kalau saya kahwin dan mereka ada bapa tiri. Mereka masih kecil; mereka mahukan kasih sayang saya, belaian dan tunjuk ajar saya. Kalau saya kahwin lagi, tentu saya terpaksa layan suami baru, habis masa bila saya nak layan anak-anak.

''Sebab itulah kebanyakan wanita apabila mereka bercerai, mereka lebih rela jadi ibu tunggal daripada cari laki dan kahwin lagi, sebab belum tentu suami baru boleh jaga anak-anak tiri. Mereka juga ada anak-anak sendiri yang terpaksa dipelihara, lainlah kalau kahwin dengan orang bujang. ''Tetapi sekali fikir, mana nak cari lelaki bujang yang nak kahwin dengan janda beranak tiga atau empat, kecuali mereka ada masalah sendiri atau tak ada duit nak buat hantaran belanja jika kahwin. 

''Jadi untuk cari jalan mudah kahwin janda, senang dapat isteri dan tak banyak keluar duit. Di samping mengharapkan si isteri yang sudah beranak-pinak itu akan memberikan sepenuh kasih sayang dan layanan kepadanya, sebab dapat kahwin orang bujang. ''Namun mereka juga terpaksa berdepan dengan masalah kalau ibu mentua tak suka menantu janda. Pendeknya setelah memikirkan banyak hal dan masalah, ramai wanita yang sudah bergelar janda mereka tak berminat nak kahwin lagi. Sebab pertama mereka amat sayangkan anak-anak. Bukan seperti lelaki mereka sering ambil mudah dalam banyak hal.

''Sebenarnya saya juga menghadapi masalah yang sama, saya sayangkan anak-anak sebab itu sehingga lebih lima tahun menjanda saya tidak pernah terfikir hendak kahwin lagi. Bukan tak ada orang melamar, baik yang masih bujang atau suami orang. Saya fikir kedua-dua golongan ini bermasalah. ''Saya juga tidak pernah beranggapan ingin rujuk atau kembali kepadanya. Sebelum berpisah lagi hati saya sudah terlalu hancur terhadap dia. Kerana itu saya amat bersyukur akhirnya saya diceraikan. Saya rasa hidup saya bahagia, hati saya lapang; jiwa saya tenteram setelah jadi janda, walaupun terpaksa kerja keras mencari wang untuk membesarkan anak-anak.

''Saya tak mahu kahwin kerana memikirkan adakah suami baru saya nanti akan memberikan kasih sayang terhadap anak-anak saya sedangkan ayah sejati tidak sukakan anaknya. Dan setahu saya, bapa tiri lebih kejam daripada ibu tiri. ''Kini saya berazam biarlah saya didik dan besarkan anak-anak ini di samping saya sendiri mengejar kejayaan diri saya yang suatu masa dulu terhalang disebabkan perkahwinan ini.

''Dia boleh campak saya, tetapi jangan buang anak-anak sendiri. Ziarah mereka bila-bila ada waktu. Betul anak-anaknya sudah lebih sedozen, tetapi itu tidak bermakna dia bencikan anak-anak daripada isteri ketiga?'' demikian cerita Atika tentang hidupnya. Benar juga kata Atika kasih sayang seorang suami terhadap isterinya boleh diputuskan, tetapi bolehkah dia memutuskan kasihnya terhadap anak-anak?

Anak-anak adalah amanah Allah kepada ayah untuk membesar dan mendidik mereka dengan baik, begitu juga kepada ibunya dengan tugas tertentu, kegagalan anda akan dipertanggungjawabkan satu hari nanti. Balasannya bukan sahaja akan diterima semasa anda mati atau di akhirat, tetapi terpaksa dipikul sewaktu anda masih hidup lagi.

Kredit : UtusanMalaysia

Hantarkan luahan kisah anda di sini ==> lamanqaseh/borang
  

No comments: