"Kongsikan Luahan Kisah Anda , Kerana Masih Ada Yang Peduli" "Individually, We Are One Drop. Together, We Are An Ocean"

Latest Post

17 Jul 2013

Keluarga Ipar Cemburu Dan Suka Campur Urusan Keluarga



Kredit : MingguanWanita
Oleh:Dr. Noorazniza Ishak

Campur tangan keluarga dalam sebuah perhubungan selalunya makin merosakkan keadaan. Inilah yang terjadi pada seorang isteri yang disiarkan kisahnya minggu ini. Sikap keluarga suaminya yang suka masuk campur urusan rumah tangga menyebabkan mereka pernah bercerai namun kembali rujuk. Akan tetapi hal yang sama masih lagi terjadi. Semoga kisahnya dijadikan tauladan buat semua.

Saya dan suami berkahwin sejak setahun lalu. Sekali pun masih baru tetapi pelbagai masalah berlaku dalam perhubungan kami berdua. Kami pernah bercerai semasa ikatan perkahwinan baru berusia beberapa bulan. Masalah yang berlaku semuanya berpunca dari keluarga mentua yang terlalu suka masuk campur hubungan kami suami isteri. Bayangkan, kakak ipar pernah datang ke rumah dan dia meminta kami mengubah susun atur perabot di dalam rumah. Dia mengarahkan agar kami mengikut kehendaknya sedangkan susur atur itu sudah kami tetapkan suami isteri.

Bila kami membeli peralatan elektrik seperti peti ais dan TV yang agak besar, keluarga mentua akan menelefon suami dan memarahinya sedangkan menjadi hal kami untuk memilih yang terbaik. Saya jadi tertekan dengan sikap mereka dan saya suarakan kemarahan kepada suami. Saya meminta agar keluarganya tidak masuk campur atau mempertikaikan hal sebegini. Begitu juga ketika suami balik kerja, dia wajib singgah di rumah kakaknya. Jika tidak berbuat demikian, kakaknya akan menelefon bertanya. Bukan itu saja, setiap kali dia memasak makanan kesukaan suami, dia pasti minta suami singgah tidak kira siang atau pun malam. Namun yang diajak hanya suami sahaja, bukannya saya.

Begitu juga kalau jika berdepan masalah, dia akan menelefon suami tanpa mengira masa sedangkan dia sudah punya suami. Ada masanya suami baru saja balik tetapi kakaknya akan meminta suami saya datang ke rumahnya. Malah perkara kecil seperti lampu rosak telefon atau gantung bingkai gambar itu pun dia minta bantuan suami sedangkan dia ada suami. Tidak habis dengan kerenah kakak ipar, adik ipar perempuan saya juga sama. Adik ipar tidak mahu menegur saya dan hanya tersenyum bila ditanya. Puas saya mencari jawapan tetapi sebulan berkahwin, sikapnya tetap begitu.

Dia juga selalu meminta suami saya pergi ke hostelnya tempatnya bekerja dan minta suami menemaninya membeli belah. Bukan itu saja, dia kerap mengajak suami keluar makan. Namun sebelum keluar dia akan bertanya sama ada saya ikut atau tidak. Ada ketikanya saya menegur sikap suami kerana mengabaikan saya. Saya hanya suri rumah dan hanya pada suami tempat saya bercerita. Dalam hal ini, kami kerap bergaduh dan akhirnya bercerai. Suami minta rujuk kembali tetapi masalah tetap sama berulang.

Baru-baru ini kami berpindah ke sebuah negeri lain. Suami membeli TV baru dan bila adiknya tahu, dia terus menghantar SMS marah-marah. Katanya tindakan suami hanya menghabiskan duit sahaja. Saya jadi terkilan dan terkejut kerana rumah kami tiada TV selepas yang lama rosak. Tidak habis dengan sikap itu, kalau kami naik kereta, adiknya akan berebut mahu tempat duduk di depan. Kalau sekali dua tidak mengapa tetapi sudah terlalu kerap. Suami hanya melihat saja sikap adiknya tanpa mahu menegur.

Adik ipar juga seolah cemburu dengan hubungan saya dan suami. Jika suami memegang tangan saya ketika berjalan, dia akan tarik muka masam. Jika suami mahu merasa makanannya, dia akan suapkan seolah-olah mereka pasangan kekasih. Begitu juga kalau bergambar dengan suami, seolah-olah pasangan kekasih dan ia menyakitkan mata saya  melihatnya. Saya ada menegur suami tetapi suami meminta saya tidak terlalu cemburu sedangkan saya sebenarnya saya sudah muak melihat aksi mereka.

Tidak habis di situ, baru-baru ini saya ada meletakkan status di Facebook  dengan ayat romantik. Bila adik ipar dia membuat onar. Dia kembali memuat naikkan gambarnya dengan suami saya dan menulis ayat-ayat romantik, rindu dan sebagainya. Tolonglah saya Prof?  Saya tidak faham dengan apa yang terjadi dan ketika menulis ini, saya dalam pantang selepas keguguran. Suami memulaukan saya kerana saya menegur adiknya perihal TV yang kami beli.

Sudah puas saya ambil hati keluarga. Saya akui ibu dan ayah mentua baik tetapi adik-beradiknya tidak begitu. Suami juga seolah-olah berat sebelah, banyak kali saya menegur tapi tiada tindakan darinya. Saya sayangkan rumah tangga saya dan tak mahu berlaku perceraian. Untuk makluman, adik beradik suami ramai perempuan dan setahu saya, suami anak emas keluarga. Apa harus saya lakukan?

******************************************************

SARANAN OLEH PROF DR NOORAZNIZA ISHAK



Assalamualaikum WRT, Puan yang dimuliakan,



Personaliti lelaki dan perempuan dijadikan berbeza-beza mengikut beberapa faktor yang menyumbang kepada penampilan dalaman dan tingkah laku yang dipamerkan. Antara faktor yang menyumbang kepada pembentukan personaliti ini adalah persekitaran keluarga, persekitaran pendidikan, persekitaran pekerjaan , pergaulan, dan sangat sedikit berkaitan dengan aspek keturunan. Itulah keajaiban yang dicipta Allah SWT terhadap makhluk yang amat istimewa iaitu manusia. Pembentukan tingkah laku lelaki dikaitkan dengan aspek sangat sederhana, logik, fokus kepada perkara yang mudah, telus dan “direct”.



Manakala tingkah laku perempuan pula dikaitkan sebagai ingin tahu semua perkara dan ingin buat semua perkara, fokus kepada perkara yang kecil dan kompleks, kabur dan kadang-kadang beremosi. Alam perkahwinan telah menyatukan individu, keluarga dan cara hidup mereka. Penyesuaian kepada cara hidup ini kadang-kadang memerlukan masa yang lama tambahan pula jika cara hidup kedua-dua pasangan yang berkahwin sangat berbeza.


Perbezaan merangkumi cara berkomunikasi, cara menerima, cara melayan, cara menghormati, cara menghargai dan berbagai situasi yang kadang-kadang menemui jalan buntu untuk difahami dan dipraktikkan. Pasangan yang ditemukan dengan cara hidup yang berbeza mungkin boleh “survive” jika tiada campur tangan ahli keluarga, namun jika ada pengaruh dari ahli keluarga mungkin setiap individu akan lebih percaya, terpengaruh, membela ahli keluarga mereka sendiri kerana jangka masa bersama keluarga lebih lama berbanding dari usia perkahwinan.


Maka tidak hairanlah jika pasangan yang baru berkahwin boleh bercerai akibat daripada perselisihan cara hidup serta tidak mencapai harapan dan jangkaan perkahwinan yang dilakarkan. Ini yang berlaku pada perkahwinan puan yang bercerai seawal empat bulan perkahwinan dan mengalami jalan buntu sehingga kini hasil dari penglibatan keluarga dalam rumah tangga puan.


Tambahan pula adik beradik suami puan ramai perempuan berbanding lelaki maka pergantungan kepada suami puan sebagai “wira” dalam keluarga serta rasa “ memiliki” bagi adik dan kakak ipar puan terhadap suami puan telah mencorakkan situasi “ rejection kepada puan. uan juga dianggap sebagai penghalang kepada kemesraan antara keluarga mereka kerana kehadiran puan merupakan persaingan terhadap kemesraan dan perhatian suami puan kepada mereka. Oleh itu puan perlu nilai keadaan ini dengan beberapa alternatif.


Pertama, puan perlu semak semula cara penerimaan keluarga suami puan kepada orang luar termasuk kehadiran puan. Fahami dan pelajari cara- cara untuk menyesuaikan diri dengan keadaan keluarga suami puan. Perkara yang paling mudah adalah nilai diri puan dan buat penyesuaian dan perubahan. Belajar untuk menerima dan diterima oleh mereka. Kadang-kadang sikap “beralah” dan menerima dengan positif akan membantu puan dan mereka untuk berubah.


Sikap yang positif hanya boleh dipupuk jika pemikiran puan positif. Oleh itu jangan cepat berprasangka buruk terhadap apa yang mereka katakan. Selagi apa yang puan buat mendapat restu daripada suami dan hasil perbincangan bersama maka pandangan orang lain tidak begitu penting untuk difikirkan. Seterusnya semak juga personaliti dan cara puan berinteraksi dengan mereka  agar puan boleh selaraskan dan boleh diterima oleh semua.


Kedua, puan perlu berbincang dengan suami untuk membantu penerimaan keluarganya terhadap puan. Yakinlah bahawa jodoh yang telah ditentukan ini adalah pilihan Allah SWT terhadap puan dan suami, maka cari keredhaan terhadap hubungan ini. Keredhaan dalam diri puan bermula setelah puan yak n dan menerima suami serta keluarganya seadanya, bukan memikirkan tentang kelemahan mereka dan menggunakan situasi ini untuk membentuk alas an ketidakbahagiaan puan dalam berumah tangga.


Yakinlah bahawa apa yang puan harapkan tidak sama dengan rutin kehidupan mereka, oleh itu jika menunggu perubahan mereka agar mengikut jangkaan dan harapan yang puan gariskan mungkin sangat sukar untuk dicapai. Oleh itu belajar untuk redha dengan pemberian Allah ini, serta tidak fokus kepada perkara yang akan mencacatkan hubungan keluarga. Ketiga, puan perlu belajar untuk tidak mempedulikan perkara yang bukan prioriti dalam hubungan. Dengan kata lain, tidak perlu terlalu terasa hati dengan perkataan-perkataan yang dilontarkan mereka. Belajar untuk memberi perhatian kepada perkara yang perlu dan berfaedah sahaja.


Keempat, puan perlu menghormati “boundary” atau sempadan keluarga yang telah dibina dalam keluarga suami puan yang telah mereka bina sebelum kehadiran puan. Keadaan ini menjadi semakin serius kerana suami puan adalah tempat mereka berlindung. Oleh itu berusaha untuk menjadi sebahagian daripada mereka , bukan meminta mereka mengikut puan. Puan yang dihormati, melakukan apa yang kita suka adalah lebih senang daripada  melakukan apa yang orang lain suka kerana kita tidak dapat membaca apa yang orang lain suka sehingga kita betul-betuk rapat dengan mereka.


Dalam keadaan puan yang masih dalam berpantang ini biasanya sangat beremosi dan tidak stabil . Adalah lebih baik jika puan fokuskan kepada kesihatan puan dan berusaha untuk cepat sembuh. Oleh itu masalah penyesuaian sering berlaku sekiranya individu tidak mengambil inisiatif untuk mengetahui, memahami, mempelajari serta melaksanakan apa yang disukai oleh orang lain bagi membantu hubungan yang stabil dan berkesan. Semua keadaan ini hanya boleh dimulakan dengan diri puan bukan orang lain.



Ulasan yang jelas dan padat oleh Prof. Dr. Noorazniza Ishak.

No comments: