"Kongsikan Luahan Kisah Anda , Kerana Masih Ada Yang Peduli" "Individually, We Are One Drop. Together, We Are An Ocean"

Latest Post

21 May 2017

Fobia Kepada Makhluk Bernama Lelaki


Terima kasih admin kalau artikel saya terpilih untuk disiarkan disini. Saya rasa apa yang saya nak luahkan ini adalah semata-mata untuk mengurangkan bebanan perasaan fobia dan trauma, kerana saya ni seorang yang sangat terlalu memikirkan masalah emosi. Saya anak bongsu daripada lima adik-beradik. Semuanya perempuan. Saya tak pasti kakak-kakak menyimpan perasaan yang sama seperti saya atau tidak. Tetapi diri saya, saya telah menanggungnya daripada saya kecil sehinggalah saya nak masuk umur 30-an, masih tak dapat letgo tekanan/stress yang saya hadapi.

Sejak kecil, saya dan kakak-kakak dibesarkan dalam sebuah keluarga yang tidak harmoni dan cukup tidak aman. Pada pandangan penglihatan saya, bapa saya seorang yang sangat bengis, baran dan garang yang tidak bertempat. Ibu saya seorang yang sangat lemah lembut , jauh berbeza dangan bapa yang berperangai seperti orang tidak bertamadun. Dari kecil, kami selalu dihidangkan dengan adegan-adegan bapa yang selalu menengking, memukul, menampar, mendera dan mengherdik ibu tanpa diketahui apa salah ibu. Kami yang semuanya perempuan, tak mampu menolong ibu. Kami hanya mampu menangis dan ibu selalu menyorokkan kami di dalam almari setiap kali bapa menyerang ibu. Ibulah tempat bapa selalu melepaskan kemarahan dia tanpa belas kasihan.

Sepanjang tempoh kami membesar, kami sangat kasihan dengan ibu kerana melihat dia yang sentiasa bersabar dan menyerah je apabila berlaku kejadian yang tidak diingini. Kadangkala kami tak faham kenapa ibu hanya berdiam diri dan tidak melaporkan kepada pihak berkuasa. Ketika kami kecil, kami tak tahu, kejadian tersebut merupakan kes keganasan rumahtangga. Sekarang sedikit demi sedikit, kami faham dan kami adik beradik sendiri memang membenci bapa teramat sangat, dan kami sendiri sudah hilang rasa hormat kepada bapa. Sampai bila-bila  pun kami membenci bapa. Dan kami pun tak tahu bila kali terakhir kami memanggil bapa dengan panggilan ayah.

Oleh kerana keganasan yang bapa sering lakukan, saya tonton setiap hari , dari saya kecil hingga dewasa, menyebabkan saya menghadapi tekanan emosi yang sangat hebat menyebabkan saya terlalu fobia dan trauma dengan insan yang bernama lelaki. Malah bermula di sekolah, saya memang tidak boleh bercampur dengan lelaki sehinggalah saya sekarang berada di alam pekerjaan. Sejak dari alam persekolahan, prestasi pendidikan saya sangat lemah. Saya tak boleh fokus kepada pelajaran kerana gangguan perasaan apabila berada di rumah. Apabila saya cuba belajar di luar rumah, saya tidak boleh fokus, kerana sentiasa risaukan ibu yang berada di rumah. Entah apalah bapa sedang lakukan kepada ibu. Apabila ada kerja berkumpulan, saya tidak dapat memberi kerjasama kepada ahli kumpulan, lebih-lebih lagi kalau ada ahli kumpulan lelaki. Saya benci lelaki.

Sekarang di alam pekerjaan saya masih tidak boleh terima kehadiran seorang lelaki dalam hidup saya. Kesannya saya masih bersendiri sehingga sekarang , tidak mempunyai rakan lelaki apatah lagi teman istimewa. Saya mempunyai masalah sosial yang sangat teruk, kerana menyimpan perasaan negatif terhadap lelaki. Saya menjadi seorang yang sangat merendah diri. Tiada keyakinan. Takut yang berlebihan. Kalau ada rakan lelaki yang ingin berkenalan, saya akan menjadi menggeletar dan menangis menyebabkan diorang panik melihat saya respons sedemikian. Sekiranya di dalam ofis berlaku situasi pertelingkahan pendapat antara rakan-rakan ofis yang menyebabkan mereka meninggikan suara di antara satu sama lain, dada dan jantung saya akan berdegup kencang dan tangan saya akan mula kejang. Saya akan lari keluar dari tempat tersebut dan mencari tempat sunyi untuk meleraikan perasaan tekanan yang saya hadapi masa itu.

Saya pernah dilanda kemurungan dan depression yang teruk yang memerlukan saya berjumpa dengan doktor dan mengambil pelbagai ubat-ubatan untuk mengawal emosi saya. Apa yang saya perasan, saya tidak boleh berada hampir berdekatan dengan lelaki, saya tidak boleh mendengar suara lelaki , lagi-lagi suara bernada tinggi macam nak bergaduh. Saya akan mula sesak nafas. Kalau bertembung dengan lelaki, saya akan memandang mereka dengan penuh kebencian. Walaupun saya sedang menonton cerita, apabila ada adegan keganasan lelaki terhadap wanita, saya akan menjerit sekuat hati sambil menutup telinga. Sampaikan rakan rumah sewa terpaksa menutup tv dengan segera untuk menghalang perkara lebih buruk berlaku. Apabila ada rakan-rakan rumah sewa atau ofis yang berkahwin, saya tak dapat memenuhi undangan kenduri perkahwinan mereka, kerana seolah-olah saya melihat rakan-rakan saya itu akan menerima nasib yang sama seperti ibu saya. Saya akan jadi takut , kasihan dan sesak dada untuk melihat mereka di hari persandingan tersebut.  

Kini, walaupun ibu dan bapa sudah di hujung usia, perangai bapa masih tidak berubah. Walaupun sekarang tidak lagi menggunakan kekuatan fizikal, tetapi bapa masih seorang yang panas baran. Pantang sikit ibu tersalah cakap, pasti diherdik dan ditengking. Kalau makanan atau air yang dihidangkan ibu tidak memenuhi selera bapa, bapa akan membaling pinggan cawan ke lantai. Ibu tak ubah seperti kuli dan hamba abdi, bukannya seperti teman sehidup semati yang sepatutnya saling menyayangi. Saya pelik, kenapa bapa boleh bersikap sedemikian, sedangkan ibu adalah isteri dia yang dia nikahi. Mungkinlah, saya tidak tahu sejarah silam mereka, sebab setiap kali saya bertanyakan kepada ibu, ibu tidak pernah mahu menceritakan kepada kami. Saya lebih sanggup tidak pulang ke rumah, duduk tinggal di rumah sewa. Tetapi saya kasihan tinggalkan ibu sorang-sorang dengan bapa yang berperangai macam singa. Saya ajak ibu untuk tinggal bersama saya, tapi ibu menolak. 

Saya pernah cadangkan pada ibu supaya bercerai dengan bapa, tapi ibu berdiam diri. Saya tak kisah pun kalau ibu dan bapa bercerai walaupun mereka dah tua. Saya ingin menjaga ibu. Saya sedar , sedalam mana tekanan yang kami hadapi, lebih dalam lagi perasaan kecewa yang ibu simpan selama ini. Biarlah orang kata, sejahat-jahat ayah tu, dia tetap ayah kita. Bagi  saya, statement ini tak sesuai langsung untuk bapa yang sentiasa memperhambakan ibu, sepatutnya dia mencurahkan kasih-sayang yang selayaknya ibu dapat. Kadang-kala saya seperti hendak membunuh diri kerana terlalu penat menyimpan tekanan perasaan ini.

Bagi lelaki-lelaki di luar sana, saya tahu, tak semuanya yang bersikap seperti bapa saya. Tetapi kalau ada yang bersikap sedemikian, tolonglah jangan diseksa perasaan, jiwa dan raga pasangan anda. Bukan sahaja boleh menghancurkan kehidupan pasangan anda, tetapi turut terkesan kepada anak-anak yang tidak berdosa. Sehebat manapun anda menunjukkan kekuasaan anda dengan mendera wanita secara fizikal dan mental, secara tak langsung anda menunjukkan sifat DAYUS, kerana melakukan keganasan dengan insan-insan yang lebih lemah daripada anda.

- Anak Bongsu Ibu-

No comments: