"Kongsikan Luahan Kisah Anda , Kerana Masih Ada Yang Peduli" "Individually, We Are One Drop. Together, We Are An Ocean"

Latest Post

8 May 2017

Dilema 'Anak Emak'

Aku telah berkahwin dan mempunyai 2 orang anak. Aku tidak tahu samada aku ini “anak emak” atau tidak. Rakan-rakan sekeliling ada menggelarkan aku sebagai anak emak sebab mereka melihat dalam segenap hal aku lebih mementingkan ibu berbanding isteriku dan anak-anak. Bagi aku, ibu adalah segala -galanya, konsep yang aku pegang sejak kecil lagi adalah ibu ku syurga ku.

Apa sahaja perkara yang menggembirakan hati ibu ku, akan aku lakukan dengan segera tanpa memikiran apa kepentingan orang lain walaupun isteri sendiri dan ahli keluarga yang lain. Sekecil-kecil perkara sebagai contoh pergi ke kedai membeli barangan dapur sehingga ke sebesar-besar perkara akan saya lakukan demi menjaga dan menggembirakan hati seperti menunaikan permintaan ibu untuk melancong keluar negara walaupun saya sendiri tidak pernah merasa bercuti ke luar negara.

Aku harus bagaimana agaknya?

Ahli Psikoterapi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Azhar Md. Zain menerangkan bahawa mengikut teori yang diperkenalkan oleh Sigmund Freud secara semulajadinya, anak lelaki sememangnya lebih cenderung untuk rapat dengan ibu manakala anak perempuan pula lebih senang untuk bersama bapa.

Anak emak biasanya merujuk kepada seorang anak lelaki yang mempunyai hubungan yang sangat kuat dengan ibunya. Hubungan kuat ibu dan anak itu terbina sejak dari kecil lagi sehingga meningkat dewasa. Perwatakan dan personaliti mereka banyak dipengaruhi oleh ibu mereka. Ada di antara anak emak kekal perwatakan mereka sehingga meningkat dewasa dan mempunyai keluarga sendiri.

Perwatakan dan Keperibadian Anak Emak

Seorang anak lelaki yang digelar sebagai ‘anak emak’ kebiasaanya dilihat sebagai seorang yang sangat rapat dengan ibunya, bersifat penyayang, pengasih, berbudi bahasa, sopan santun, mengambil berat terhadap ahli keluarga, menghormati orang tua serta pandai menjaga hati ibu bapa.
Wanita melihat lelaki ‘anak emak’ ini adalah calon suami yang baik kerana berpendapat bahawa lelaki ‘anak emak’ akan menjaganya sebagai seorang isteri sebagaimana dia menjaga ibunya. Tetapi ada juga wanita berpandangan bahawa lelaki ‘anak emak’ sukar untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang suami kepada isterinya dalam memberikan kasih sayang yang adil.


Gaya Keibu–bapaan yang Mempengaruhi Perkembangan Anak Emak

1.    Ibu Aktif – Gaya keibubapaan secara tidak langsung mempengaruhi pembinaan karakter dan personaliti anak emak. Kajian Maccoby, E.E. (1992) mendapati bahawa Ibu yang terlalu dominan dalam membesarkan anak-anak akan mempengaruhi perkembangan psikologi dan emosi kanak-kanak tersebut. Begitu juga dengan sifat Ibu yang terlalu bersifat pelindung (protective) kepada anaknya juga dapat memberi kesan kepada pembentukkan peribadi serta emosi anak tersebut.
2.    Bapa Pasif – Ikatan perhubungan antara anak dan ibu terlalu kuat sehingga setiap perkara si anak lelaki akan merujuk kepada ibu berbanding ayah dalam memberikan pendapat dan menjawab persoalan yang timbul. Di dalam hal ini si ayah mungkin tidak memberikan komitmen sepenuhnya dalam mempengaruhi perkembangan anak-anak tersebut.
3. Kadang kala karakter Si ayah yang terlalu garang sehingga membuatkan anak lelaki takut untuk berdampingan dengan ayah dan lebih selesa berinteraksi bersama ibunya.

Adakah Anda Anak Emak?

Ya jika anda:
  • Berhubungan dengan ibu lebih rapat berbanding bapa
  • Lebih selesa menceritakan segala hal peribadi dengan ibu
  • Bergantung sepenuhnya kepada ibu dari segi membuat keputusan dan perancangan
  • Mempunyai emosi yang lebih sensitif jika ada isu berkaitan dengan ibu

Dilema ‘Anak Emak’

1. Dilema Tingkahlaku:Anak emak setengahnya lebih pasif dalam tingkahlaku serta perhubungan sosial. ‘Anak emak’ akan merujuk kepada ibunya untuk apa jua tindak tanduk yang mereka akan lakukan. Mereka ini agak sukar untuk berdikari.
2. Dilema Pemikiran: sukar dalam membuat keputusan dan perancangan dengan baik, ini kerana jjika sebelum ini segala perancangan dan tindakan yang diambil adalah bergantung sepenuhnya oleh pengaruh ibu.
3.    Dilema Emosi Anak Emak:Emosi ‘anak emak’ mudah tersinggung dan sensitif dengan isu-isu yang remeh. Mereka lebih peka kepada emosi ibunya berbanding isterinya sendiri. Emosi dalam menyalurkan kasih sayangnya kepada antara ibu dan isteri.

Masalah yang dihadapi Anak Emak

1. Konflik dalam perhubungan: Menurut pandangan Kaunselor Berdaftar , Tuan Hj Hushim bin Hj. Salleh berkata, karakter yang dimiliki oleh  ‘anak emak’ adalah positif seperti hubungan rapat dengan ibu, mengambil berat dan bertanggungjawab. Akan tetapi konflik mungkin timbul bagi ‘anak emak’ jika karakter itu terbawa-bawa ke alam rumahtangga.
2.   Berkongsi kasih:Ianya dapat dilihat apabila suami ‘anak emak’ tidak dapat memberikan kasih sayang yang adil antara ibu dan isterinya, segala hal urusan rumahtangga akan di kongsi bersama ibunya serta takut untuk mengambil keputusan dan tindakan sendirinya.
3. Bimbang jatuh hukum derhaka kepada ibu: patuh dan tunduk kepada ibu bapa  merupakan satu tuntutan dalam agama manakala keseimbangan kasih sayang dalam perhubungan suami isteri juga adalah sesuatu yang perlu untuk menjamin keharmonian rumah tangga.

Saranan kepada ‘Anak Emak’

1. Sedar Diri – menyedari dan mengakui bahawa anda ada memiliki perwatakan sebagai ‘anak emak’ dan menerima keadaan tersebut dengan hati yang terbuka.
2. Ubah cara hidup – lakukan perubahan keatas persepsi diri dan perwatakan ‘anak emak’ yang dibawa demi kesejahteraan emosi dan tingkahlaku.
3. Positif mental dan emosi sentiasa positif untuk melakukan perubahan agar hidup anda lebih harmoni untuk kedua-dua belah pihak terutamanya dalam perhubungan suami isteri.
4.    Memahami kepentingan antara dua pangkat ibu & isteri – ibu dan isteri masing-masing  mempunyai hak terhadap anak dan suaminya, adalah menjadi tanggungjawab anak/suami untuk berlaku adil terhadap keduanya. Perlu faham keutamaan sepertimana tuntutan agama yang menggariskan bahawa ibu perlu diberi keutamaan. Suami perlu membantu isteri faham hiraki ini dari perspektif agama.
5.   Perbincangan antara kedua belah pihak – jadikan kebiasaan untuk suami isteri berbincang akan hal rumahtangga bersama-sama dan tidak menyerahkan segala keputusan pada ibu.
6.  Belajar berdikari dan matang – cubalah untuk berdiri diatas kaki sendiri dalam membuat keputusan dan mengambil tindakan. Jangan risau dengan keputusan yang di ambil, jika salah; belajar dari kesilapan tersebut.

Rujukan:
1.  Maccoby, E.E. (1992). The Role Of Parents In The Socialization of Children: An Historical Overview. Developmental Psychology, 28, 1006-1017
2. Ustazlove (2011). Soal Jawab: Antara Ibu dan Isteri. Retrieved November 4, 2014, from http://ustazlove.com/blog/2011/10/soal-jawab-antara-ibu-dan-isteri/”>http://ustazlove.com/blog/2011/10/soal-jawab-antara-ibu-dan-isteri/
3.   Jaya, Dr.Juanda (2011, Oktober 6). Rumah Tangga: Suami Anak Emak, Lupa Hak Isteri. Retrieved November 5, 2014, from http://www.drjuanda.com/?p=572″>www.drjuanda.com/?p=572
4.    Naim, Muhammad (2013). Renungan Mukmin: Apa Pandangan Anda Mengenai Lelaki Anak Emak?. Retrieved November 6, 2014, from http://akuislam.com/blog/renungan/lelaki-anak-emak/”>http://akuislam.com/blog/renungan/lelaki-anak-emak/
5.    Narayanan, Jagatheswary (2010, May 2010).  Pesona: Melayan Suami ‘Anak Emak’. Akhbar KOSMO. Retrieved from http://www.kosmo.com.my/kosmo/

Semakan Akhir
:
6 Januari 2017
Penulis
:
Fauzie bin Musa
Akreditor
:
Ruhana binti Mahmod

Kredit : PortalMyHealth

No comments: