"Kongsikan Luahan Kisah Anda , Kerana Masih Ada Yang Peduli" "Individually, We Are One Drop. Together, We Are An Ocean"

Latest Post

19 May 2009

Di Paksa Kahwin Dengan Pilihan Hati Ibu

SETIAP kali Cik Kuntum keluarkan cerita mengenai kecurangan, pelbagai reaksi diterima daripada pembaca. Ada yang memberikan cadangan dan tidak kurang juga yang marah-marah. Malah, Cik Kuntum pernah dilayangkan kiriman e-mel daripada pembaca yang berada di luar negara selepas membaca cerita seorang jejaka sedikit masa dulu yang berpoligami kerana kononnya bersimpati dengan seorang gadis yang ditinggalkan teman lelakinya.
Begitu pun, dalam banyak e-mel yang dikirimkan selepas kisah Noor disiarkan minggu lalu, Cik Kuntum tertarik dengan e-mel pengirim yang hanya menamakan dirinya sebagai Linda. Begini tulisnya.
“Pada pendapat saya, jika Noor sanggup bermadu teruskan saja (majlis pernikahan), tetapi adalah wajar beliau dan tunangnya bersemuka dengan isteri tunangannya itu. Kita tidak boleh ketepikan hak isteri dan anak-anaknya, berbincanglah daripada hati ke hati.
Lelaki memang begitulah sifatnya. Berani buat, tetapi takut bertanggungjawab. Lelaki sekarang tidak faham erti poligami, mereka kahwin lain semata-mata kerana nafsu (sebenarnya pantang tengok perempuan dahi licin dan konon-konon kuat tenaga batinnya) dan duit (sama ada wanita atau keluarga itu berduit atau ada pangkat, lagi bagus kalau ada dua-duanya sekali).
Tiada lelaki di dunia ini yang dapat berlaku adil selepas berpoligami seperti dan selepas Rasulullah kita. Noor kena terimalah jika isteri tunangannya melenting, tetapi itu bukan salah dia sebab dia kena tipu dan daripada situlah nanti Noor akan tahu sifat sebenar tunang dan isteri tunangannya.
Timbangkanlah apa yang terbaik demi kebahagiaan diri sendiri. Minta nasihat ahli keluarga. Bagi saya, tiada maknanya mengahwini suami orang. Jijik rasanya berkongsi dirinya dengan orang lain, bukannya kita tahu atau nak tanya sejarah kesihatan (sakit tuan puan) mereka suami isteri. Betul tak?”
Ada benar juga persoalan yang ditimbulkan Linda. Berpoligami maknanya sanggup berkongsi hidup dengan lelaki yang diketahui mempunyai hubungan seks yang aktif dengan wanita lain. Apapun seperti kata Linda, terpulang kepada Noor untuk membuat keputusan sendiri kerana jika dia bimbang akan maruah keluarga sehingga meneruskan majlis pernikahannya tanpa memikirkan masalah yang akan timbul pada masa depan, dia mungkin silap. Pada masa ini, sebaiknya Linda perlu memikirkan dirinya dan bukan orang lain.
Minggu ini, Cik Kuntum siarkan pengakuan seorang lagi pembaca yang hanya menamakan dirinya Din. Perjalanan hidup Din hampir menyamai drama bersiri Kutub Utara Kutub Selatan yang pernah disiarkan tidak lama dulu, dan hingga kini masih menetap di bandar raya D bersama keluarganya.
“Selepas membaca cerita Noor, saya terpanggil untuk menulis kepada Cik Kuntum. Kisahnya sama seperti yang pernah saya lalui hampir lima tahun lalu. Cuma bezanya saya dipaksa berkahwin ibu sendiri dengan gadis sekampung saya, Lina, walaupun ketika itu saya sudah berkahwin dengan wanita cinta hati saya, Asmah.
Biarlah saya rahsiakan nama sebenar mereka kerana kisah sedih ini hanya melukakan banyak hati. Saya berkahwin dengan Asmah, rakan sekuliah ketika di kampus tidak lama selepas kami tamat pengajian. Keluarga saya sendiri datang bertandang untuk meminang apabila saya menyuarakan mengenai pilihan hati saya.
Ketika itu tiada bantahan daripada keluarga khususnya ibu. Tetapi siapa sangka tidak lama selepas kami berkahwin, tiba-tiba satu hari (hari bekerja) ibu meminta saya pulang segera ke kampung kerana ada kecemasan dalam keluarga. Memandangkan isteri tidak boleh mengambil cuti kecemasan, pulanglah saya sendirian menaiki kereta ke kampung.
Tiba di rumah, ibu terus meminta saya mengenakan baju Melayu dan ketika itu saya melihat adik beradik lain hanya menundukkan pandangan. Tanpa soal bicara, saya mengenakan baju Melayu yang disediakan ibu dan mengikut mereka menaiki kereta.
Puas saya bertanya kepada adik beradik lain apa yang berlaku, semuanya menggelengkan kepala enggan berkata. Perjalanan kami hanya mengambil masa kira-kira 20 minit dan kami berhenti di sebuah rumah yang saya lihat penuh dengan orang ramai.
Dalam hati terdetik, siapa yang mati. Tetapi sebaik tiba di muka pintu, kami disambut seorang lelaki berusia yang dengan ramah memeluk saya. Ketika itu darah saya tersirap apabila melihat ada pelamin dan bantal nikah yang disediakan di ruang tamu.
Saya bagaikan terpukau apabila diiringi ke ruang tengah dan apa yang saya sedar, saya sudah duduk berdepan dengan kadi daerah kami. Terkejut saya dan ketika itu saya menyedari bahawa saya menghadiri majlis pernikahan sendiri.
Saya meminta untuk berbincang dengan keluarga dan ketika ke tepi, saya terdengar bisikan tetamu lain, ‘Gemuruh agaknya’. Apabila berada di satu sudut, sebelum sempat saya membuka mulut, ibu terus berkata “Aku benarkan kahwin dengan si Asmah dulu sebab engkau yang hendak sangat. Ini menantu pilihan aku, kalau kau buat malu keluarga hari ini aku tidak mengaku anak sampai bila-bila”.
Terkejut dengan kata-kata ibu, saya terpaksa menurut kerana kami adik beradik tidak pernah membantah kata ibu bapa sejak kecil lagi. Dipendekkan cerita, saya berkahwin kali kedua hanya selepas empat bulan menikahi Asmah. Patutlah ibu bersungguh-sungguh tidak mahu membuat kenduri menyambut tetamu dulu kerana dia sudah mempunyai perancangan.
Sebaik habis majlis itu, saya terus beredar membuatkan tetamu lain terpinga-pinga dan terus memandu pulang petang itu juga menuju ke Kuala Lumpur. Saya merahsiakan apa yang berlaku kerana bimbang Asmah terluka, lebih-lebih lagi ketika itu dia sedang hamil dua bulan.
Tidak saya sangka, ibu dan bapa datang bersama Lina ke rumah saya keesokan harinya. Ketika itu terungkailah cerita sebenar, tetapi saya kagum dengan sikap Asmah yang tenang walaupun dimaki hamun ibu. Ibu memaksa saya mengambil Lina tinggal bersama kami dan bagi memastikan saya melakukan kehendaknya dia turut tinggal bersama kami.
Setiap malam dia memaksa saya masuk ke bilik bersama Lina, walaupun enggan saya terpaksa akur kerana bimbang mengganggu jiran apabila ibu menjerit-jerit seperti histeria. Sumpah, saya tidak pernah menyentuh Lina kerana cinta saya hanya kepada Asmah. Lebih menyedihkan, Asmah meminta saya menceraikan dia, tetapi saya meminta dia bertahan dan berjanji akan melakukan sesuatu.
Apabila ibu pulang ke kampung dengan ugutan penuh bermakna kepada saya, saya dengan segera berkemas meninggalkan Lina yang terpinga-pinga dan membawa Asmah ke tempat lain yang dirahsiakan daripada keluarga.
Semuanya sudah saya rancang. Saya mengambil keputusan untuk mengikut teman baik yang bekerja di luar negara dan tiga bulan selepas itu saya terbang ke bandar raya D bersama Asmah. Atas bantuan rakan peguam, saya membawa kes ke mahkamah dan menceraikan Lina. Saya tahu Lina tidak bersalah, tetapi perkahwinan kami bukan atas kerelaan saya.
Saya mendapat tahu keluarga mencari saya, tetapi biarlah saya membawa hati yang lara kerana tidak sangka ibu sanggup melukakan hati anaknya sendiri. Bukan hendak menjadi anak derhaka, tetapi jika keluarga sendiri sanggup membohongi saya, tiada apa lagi yang boleh membuatkan saya tunggu lagi.
Kini saya masih di D dan bahagia bersama Asmah serta dua cahaya mata kami.”
Panjang sebenarnya kiriman e-mel Din, tetapi terpaksa dipendekkan kerana ruang yang terhad. Cik Kuntum tidak sangka, pada zaman moden ini masih ada lagi kahwin paksa dan kisah menantu pilihan.
Tetapi, Cik Kuntum bangga dengan Din yang melakukan perkara terbaik walaupun mungkin melukakan hati keluarga termasuk ibu. Ada sesetengah lelaki yang mungkin gembira dengan apa yang berlaku jika berada pada tempat Din, tetapi Din sebaliknya.
Kepada ibu bapa hari ini, jadikan kisah Din sebagai pengajaran. Tetapi biarlah pastikan pilihan mereka itu adalah yang terbaik dan paling penting, berbincanglah sebelum melakukan sesuatu. Itu cara terbaik supaya tiada masalah yang timbul kelak. 

Kredit : IntimKu
Sumber: Berita Harian
Oleh : Cik Kuntum / cikkuntum@bharian.com.my

No comments: