"Kongsikan Luahan Kisah Anda , Kerana Masih Ada Yang Peduli" "Individually, We Are One Drop. Together, We Are An Ocean"

Latest Post

26 May 2017

Di Lamar Lelaki Lembut


Terima kasih Admin Laman Qaseh, kerana sudi siarkan kisah saya. Tujuan saya adalah untuk memohon pendapat pembaca-pembaca sekalian kerana saya pun sedang keliru dengan keputusan yang saya nak ambil sekarang ni.

Saya Suri, umur 25 tahun bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat swasta. Dulu masa saya belajar di IPT, saya mempunyai seorang kawan baik. Dia seorang lelaki lembut. Tapi taklah sampai nak bertukar jadi perempuan (a.k.a pondan). Nama dia Haziq. Kami sebenarnya ber-enam kumpulan best friends termasuklah Haziq. Haziq sorang je lelaki dalam group kami. Kami memang sangat rapat sehinggalah sekarang kami tak pernah terputus hubungan. Masih berhubung dan keluar bersama-sama,  jalan-jalan ke shopping mall, main boling, tengok wayang dan lepak-lepak kat kedai makan.

Dalam kami ber-lima yang gegirl ni, Haziq lebih rapat dengan saya. Saya pun tak tahu kenapa, mungkin dia selesa bila berdamping dengan saya. Saya pernah bertanyakan Haziq, kenapa dia tak bercampur gaul dengan geng-geng lelaki. Haziq bagitahu dia lebih suka berada dalam group perempuan, sebab budak-budak lelaki ni suka mengusik dan layanan terhadap dia agak kasar. Mungkin Haziq tak biasa kot. Biasalah kan lelaki memang agak kasar sikit. Tapi saya OK je dia nak join group kami. Saya layan Haziq sama macam dengan kawan-kawan saya yang lain juga. Haziq ni seorang yang lemah-lembut, soft spoken. Pergaulan , percakapan, gelak ketawa dan gaya berjalan tak ubah seperti perempuan. Cuma yang bagusnya dia masih memakai pakaian lelaki. Raut wajah dia boleh dikategorikan handsome juga.  Tentang naluri dia saya kurang pasti.

Kini kami semua masing-masing sudah mempunyai kerjaya dan bekerja di syarikat berlainan. Sejak bekerja ni, saya lihat Haziq cuba berusaha perlahan-lahan berubah nak jadi ‘keras’. Percakapan dan gayanya seboleh-bolehnya cuba untuk jadi lebih gentleman. Mungkin pengaruh persekitaran di tempat kerja dia yang mempunyai lebih ramai staff lelaki. Kami rakan-rakan memberi sokongan sepenuhnya dan tak berbelah bahagi kepada Haziq.

Selepas beberapa tahun kami berkawan , suatu hari, Haziq datang berjumpa saya untuk menyampaikan hasrat hati dia. Dia hendak melamar saya untuk menjadi teman wanita dia. Saya akui masa tu saya tiada teman istimewa lagi. Saya agak terkejut juga kerana saya tak pernah terfikir pun yang Haziq akan pergi sejauh tu. Saya terdetik juga, adakah Haziq masih mempunyai naluri untuk bercinta dengan seorang perempuan. Selama kami berkawan, dia tak pernah tunjuk pun ciri-ciri dia berminat ke arah bab-bab cinta ni. Jadi bila dia melamar saya, adakah tujuannya ikhlas atau ada tujuan lain. Betul ke hati dan perasaan dia nak melamar saya.

Saya buntu memikirkan apakah yang perlu saya lakukan. Apa perlu saya respon kepada Haziq. Perasaan dalam hati saya ni pelbagai. Ada rasa sayang, kasihan dan pada masa yang sama suka pun ada juga. Tapi mungkin sebab kami dah terlalu rapat kot, jadi perasaan tu mula berputik di hati Haziq. Untuk ke tahap mempunyai perasaan cinta tu, saya masih kurang pasti dan keliru. Kalau saya menolak lamaran Haziq, risau hati dia terluka sebab macam Haziq ni, hati dia sensitif dan cepat sentap juga. Saya rasa kasihan pula. Taknaklah nanti kalau saya tolak lamaran dia, hubungan kami sebagai rakan baik terjejas. Kalau saya terima lamaran dia pula, atas sebab apa saya perlu terima. Betul ke saya sayang dia lebih daripada seorang rakan. Bagaimana penerimaan keluarga saya nanti. 

Mungkin keluarga dia boleh terima saya, tapi bagi keluarga saya, mungkin agak sukar untuk mereka menerima kehadiran Haziq dalam keluarga. Entah lah. Pening saya memikirkannya. Tak tidur malam dibuatnya. Ini dah macam ditelan mati mak, diluah mati bapak. Saya tanya pendapat rakan-rakan baik saya, mereka cuma kata "Ikutlah naluri, Tepuk Dada Tanya Selera" . Buat istikharah. Saya sendiri pun dalam usaha untuk membina keyakinan dalam hati. Saya rasa confuse. Kalau ada pembaca yang pernah berpasangan dengan lelaki lembut, boleh korang share pendapat korang tak?

Terima kasih
Suri


No comments: