"Kongsikan Luahan Kisah Anda , Kerana Masih Ada Yang Peduli" "Individually, We Are One Drop. Together, We Are An Ocean"

Latest Post

30 May 2017

Coretan Keinsafan Dalam Kunjungan Bakul Ramadhan 1435H

bakul2

Alhamdulillah kerana Allah mengizinkan saya sekeluarga untuk turut serta dalam Program Bakul Ramadan anjuran ISMA Cawangan Alor Setar pada kali ini. Kami mendapat 10 nama keluarga seperti yang telah diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kubang Pasu. Pengalaman berkunjung ke rumah keluarga yang tidak bernasib baik ini menyuntik keinsafan di hati dan menambahkan rasa syukur di atas segala nikmat yang telah Allah curahkan pada kita. Saya kongsikan pengalaman menziarahi 2 keluarga di sekitar Jitra yang menyentuh perasaan saya.

Kes 1: Kasih ibu tiada taranya 

Kedatangan kami ditunggu di tepi jalan oleh seorang ibu sambil mendukung seorang anak kecil berusia 2 tahun dan diekori oleh seorang lagi berusia 3 tahun. Ibu berusia 40 tahun ini telah 2 tahun hidup sebatang kara membesarkan 6 orang anak berusia antara 2 dan 16 tahun dengan mengambil upah menjahit baju serta membantu di kantin sekolah. Suami tempat bergantung masih ditahan reman hampir 2 tahun kerana kesalahan memiliki dadah ganja.

??????????

Sepanjang 2 tahun ini beliau terpaksa memikul tanggungjawab untuk menyara dan memberi kasih sayang pada anak-anak. Wajah sayu anak-anak menggambarkan kedukaan mereka hidup dalam kesempitan. Mujurlah ada sedikit bantuan dari JKM sebanyak RM450 sebulan untuk membantu persekolahan anak-anak. Melihat kes ini menambahkan kebencian saya pada najis dadah. 

Bagaimana seorang yang terjebak dalam kes dadah menerima akibat termasuk anak-anak yang terpaksa hidup dalam derita. Semoga masyarakat tidak menghukum keluarga ini atas kesalahan ayah mereka yang masih kesnya di muka pengadilan. Semoga nasib anak-anak ini terbela dan kita semua terus menghulurkan bantuan supaya mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.


Kes 2: Kasih ayah membawa ke syurga


Ketika melihat profil keluarga yang akan diziarahi ini saya sedikit terasa kelainan kerana jarang seorang ibu meninggalkan anak-anak termasuk yang masih kecil untuk dijaga oleh seorang ayah tunggal. Ketika sampai, kami disambut oleh abang paling dewasa; seorang anak muda yang akan menduduki peperiksaan SPM. Wajahnya menampakkan kedewasaan dan sifat tanggungjawabnya. Sambil menunggu si ayah yang keluar mencari rezeki dengan mengambil upah memotong rumput, kami sempat berkenalan dengan 7 orang anak daripada keluarga ini.


Berusia 18 tahun dengan yang sulung berada di UiTM Arau dan yang paling kecil berusia 3 tahun, ketujuh-tujuh anak ini dijaga oleh si ayah setelah ibu pergi entah ke mana. Enggan menceritakan lebih lanjut tetapi jelas rasa sayu kelihatan di wajah anak-anak ketika ditanya tentang ibu mereka.

bakul1

Sebagai seorang ibu yang juga mempunyai anak kecil berusia 3 tahun, saya tidak dapat menyembunyikan rasa pilu melihat si kecil dijaga oleh abang dan kakak tanpa seorang ibu tempatnya bermanja. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana seorang ibu betah meninggalkan anak-anak yang masih kecil untuk mengubah haluan hidup dan meninggalkan mereka tanpa bertanya khabar dan berita.

Si ayahlah yang memikul tanggungjawab memasak, menguruskan rumah, menghantar anak-anak ke sekolah, menjaga si kecil berusia 3 tahun dan setelah anak pulang ke sekolah pada sebelah tengahari, si ayah keluar mencari rezeki dengan memotong rumput sambil tugas rumah diambil alih oleh anak-anak. Mesin rumput yang digunakan terpaksa dijual ketika anak sulung ingin memasuki universiti dan buat masa ini, si ayah terpaksa meminjam mesin rumput daripada seorang kawan.

Inilah kisah 2 keluarga yang saya lawati pagi tadi. Banyak lagi kisah dalam masyarakat kita yang tidak kita ketahui, kecuali kita turun ke padang dan merasai kesempitan kehidupan mereka. Saya mengambil.kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang Bakul Ramadhan. Semoga apa yang telah anda sumbangkan dapat meringankan penderitaan keluarga yang tidak bernasib baik ini.

Ini merupakan pengalaman bermakna untuk anak-anak saya supaya mereka dapat menghargai nikmat kesenangan yang Allah berikan kepada mereka dan supaya mereka menjadi generasi yang cakna ummah. Ini permasalahan dalam masyarakat kita sedangkan banyak lagi permasalahan di luar sana seperti isu Palestin dan Syria, yang perlu kepada keprihatinan daripada kita semua.

Oleh : Dr. Murizah bt Mohd Zain
Pengerusi I-Medik Kedah

Kredit : imedikkedah

No comments: