"Kongsikan Luahan Kisah Anda , Kerana Masih Ada Yang Peduli" "Individually, We Are One Drop. Together, We Are An Ocean"

Latest Post

29 May 2017

Bekas Banduan Ingin Jadi Insan Berjaya Selepas Insaf Dipenjara



Assalamualaikum semua pembaca, Di sini admin kongsikan kisah bahayanya apabila terjerat dengan najis dadah. Moga kisah yang dipaparkan oleh Encik Leong boleh dijadikan tauladan dan iktibar kepada anak-anak muda. Jangan dipersia-siakan waktu muda kalian semata-mata mengejar keseronokan yang sementara. Fikir-fikirkan orang tersayang kesan dan akibat apabila anda terjebak dengan dadah. Ingatlah , sekali anda dah mencuba dadah, memang terseksa untuk anda keluar dari belenggu dadah kecuali mereka yang benar-benar insaf dan sedar di atas kesilapan yang telah dilakukan berjaya keluar dari belenggu dadah.

-Admin-

KEPERITAN menjalani hukuman penjara selama 15 tahun menjadikan seorang bekas banduan, AD Leong, 50, insan yang berjaya dan mensyukuri kehidupan. Detik hitam dalam hidupnya bermula ketika berusia 17 tahun lagi, apabila beliau terjebak dengan dadah hasil pengaruh rakan sebaya dan juga pergaulan bebas dengan masyarakat luar. Perasaan ingin mencuba yang kuat terus mendorong Leong menjamah najis bermula dengan ganja kemudian heroin sebelum mengedar dalam kuantiti kecil.

“Saya mula mengambil dadah ketika berusia 17 tahun akibat pengaruh serta pergaulan dengan rakan-rakan. Ketika ini memang seronok sangat, kawan adalah segala-galanya sehingga saya lupa kepada keluarga. “Selepas berhenti sekolah dan bekerja sebagai pembantu kedai, keadaan menjadi tidak terkawal, saya mendapat bekalan terus daripada kawan-kawan…Namun keseronokan itu berakhir apabila saya ditangkap seterusnya dijatuhi hukuman pada 1988 dan ketika itu saya berusia 23 tahun,” katanya.
Bermula dari detik itulah kehidupan Leong yang berasal dari Marudi, Baram (Miri) berubah apabila beliau dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

Namun di sebalik kesedihan itu beliau amat bersyukur kerana hukuman gantung sampai mati yang pada mulanya dikenakan ke atasnya ditukar kepada penjara seumur hidup, 20 tahun dan 10 kali sebatan. “Pada mulanya saya dikenakan hukuman gantung sampai mati tetapi disebabkan kesilapan teknikal hukuman ditukar kepada hukuman penjara seumur hidup dan sebatan 10 kali, serentak. “Bagaimanapun saya mendapat pengampunan kerana berkelakuan baik sepanjang menjalani hukuman dan tempoh penjara dipendekkan kepada 15 tahun,” katanya.

Mengimbau kenangan semasa mula terjebak dengan dadah, Leong memberitahu kasih sayang ibu dan bapanya tidak pernah berubah sehingga beliau dijatuhi hukuman penjara tetapi kurang disenangi oleh adik-beradiknya yang lain. Malah sepanjang di penjara Leong hanya dikunjungi ibu dan bapanya menyebabkan jauh di sudut hatinya timbul kekesalan kerana rakan-rakan yang diagungkan dan dianggap penyelamat selama ini tidak pernah kunjung tiba.

“Paling saya kesal ialah, saya sentiasa mengharapkan kawan dan saudara datang menjenguk saya di penjara menghantar barangan keperluan, tetapi mereka tidak pernah muncul yang muncul hanyalah emak dan bapa. “Timbul kesal yang amat mendalam apabila saya melihat emak dan bapa menjenguk saya di penjara.. “Ada satu masa mereka lama tidak datang, saya tidak tahu mereka sakit waktu itu, tidak lama selepas itu pegawai penjara memaklumkan kepada saya ibu meninggal dunia dan ketika itu saya masih perlu menjalani hukuman penjara lapan tahun lagi,” katanya dengan nada sedih.

Leong menceritakan sepanjang menjalani hukuman di tiga penjara berasingan (Miri, Kuching dan Limbang) pengalaman pahit yang tidak akan lenyap daripada ingatannya ialah disebat 10 kali pada satu masa. Beliau memberitahu tiada kata-kata yang dapat menjelaskan kesakitan disebat 10 kali pada satu masa. “Saya diikat di satu tiang, alat perlindungan (safety) dipakaikan kecuali pada bahagian tengah punggung, kosong. Susah untuk menjelaskan dengan kata-kata rasa sakit itu. “Kalau boleh saya gambarkan ialah rasa sakitnya seperti dilanggar kereta dan seperti satu dawai yang dibakar api, sangat pedih dan pedas. Saya hampir pengsan dan perlu menjalani rawatan beberapa hari,” katanya.

Selepas keluar penjara iaitu pada 10 Mei 2003, Leong menyimpan azam untuk memulakan kehidupan baharu namun ia tidak semudah disangkakan kerana kehadirannya dalam masyarakat sukar diterima disebabkan beliau seorang bekas banduan. Bagaimanapun beliau kembali bersemangat setelah mendapat dorongan serta motivasi daripada salah seorang ahli Lembaga Pelawat Penjara yang kini merupakan Pengarah Pendidikan Sarawak, Serina Sauni. “Beliau (Serina Sauni) yang banyak memberi kata-kata semangat sehingga saya menjadi insan diterima masyarakat sekarang.

“Beliau sering menggalakkan saya keluar dan terus menjadi orang yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat,” ceritanya. Tiga bulan selepas meninggalkan penjara Leong memulakan kehidupannya sebagai bekas banduan dengan bekerja di sebuah kilang dan di situ juga beliau menimba ilmu perniagaan pada masa sama mempraktik segala yang dipelajari di penjara. Sembilan bulan bekerja di kilang berkenaan sebagai pembantu dapur, beliau akhirnya mengambil keputusan membuka perniagaan sendiri dengan menjadi pembekal makanan kepada pekerja kilang tersebut.

Leong seterusnya mendapat keyakinan untuk mengembangkan perniagaannya dengan lebih memfokus kepada menyediakan perkhidmatan pengurusan dan servis dalam pelbagai bidang antaranya dobi, landskap dan katering. Dari situlah lahirnya Berkat Channel Sdn Bhd yang beroperasi di Samalaju, Bintulu. Selain itu Leong menjadi pakar motivasi sambilan dengan memberi ceramah di sekolah-sekolah dan juga di institusi pengajian tinggi atas jemputan. Lazimnya jemputan akan diberikan secara rasmi menerusi syarikat bertauliah tempat beliau bernaung iaitu Motivation & Consultancy General Services Company.

“Di bawah syarikat inilah kami bekas-bekas banduan khususnya di negeri ini memberi perkhidmatan kepada masyarakat dengan berpegang kepada visi ‘Membina peluang, mengubah hidup dan mengurangkan jenayah’,” katanya. Kehidupan Leong kini lengkap setelah beliau bertemu jodoh dengan gadis pilihannya yang juga seorang pendidik dan pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata. “Masyarakat juga sudah mula menerimanya dan secara peribadi saya rasa kerana saya sudah insaf dan membuktikan bahawa manusia boleh berubah.

“Saya amat percaya kalau seseorang itu mempunyai keinginan kuat untuk berhenti mengambil dadah mereka boleh melakukannya dalam sekelip mata. Petuanya ialah dia (penagih) harus menjauhkan diri dari rakan-rakan yang masih menagih dadah,” katanya. Selain itu, kata Leong, untuk benar-benar berubah dan bebas dari belenggu dadah seseorang itu harus mempunyai pegangan agama. Leong memberitahu beliau hanya mengenali agama semasa di penjara. Di situ beliau mendalami agama Kristian dan menjadikannya pedoman hidup, ia terbukti berjaya menjadikannya  insan sebenar.

“Kalau untuk anak muda, saya sering memberitahu kepada mereka jika saya diberi satu peluang kembali ke usia muda atau diberi peluang untuk satu hajat, jawapan saya ialah saya mahu menjadi remaja semula. “Saya tahu apa yang boleh saya pilih dan sudah tentu saya tidak akan pilih jalan yang sudah saya lalui, saya tidak akan mengambil dadah, dengar nasihat ibu bapa dan berusaha menjadi pelajar cemerlang,” katanya.

Kredit : theborneopost

No comments: