"Kongsikan Luahan Kisah Anda , Kerana Masih Ada Yang Peduli" "Individually, We Are One Drop. Together, We Are An Ocean"

Latest Post

14 May 2017

Bebanan Status ANDARTU


Assalamualaikum , dan salam sejahtera semua,

Terima kasih kepada yang sudi membaca. Nama akak Nurin. Akak bahasakan diri Kak Nurin ye. Tahun ni Kak Nurin berumur 49 tahun dan bekerja di syarikat separa kerajaan. Lagi beberapa tahun je lagi Kak Nurin dah nak pencen. Seperti tajuk yang Kak Nurin tulis di atas ni, YA, Kak Nurin masih belum berkahwin, masih bujang, kata orang dah layak sangat digelar anak dara tua (ANDARTU). Bila dah dapat gelaran ini pun , dah rasa sangat-sangat tragis. Malu ? Sedih ? Kecewa ? Redha ? Semuanya ada dah tersimpan kemas dalam hati. Tapi tak bermakna Kak Nurin tak pernah mempunyai teman istimewa, tak pernah bercinta. Cinta yang tak kesampaianlah yang membawa Kak Nurin sehingga kepada keadaan sekarang.

Kak Nurin mula bekerja seawal umur 24 tahun. Masih muda. Mempunyai teman lelaki sejak dari Universiti. Kami merancang untuk bekerja dan berkahwin untuk membina keluarga. Tapi apakan daya, bila semua keperluan dah cukup untuk membina masjid, cinta kami dihalang dan tak direstui keluarga teman lelaki. Mereka dah ada calon menantu mereka sendiri. Untuk apa Kak Nurin perlu merayu lagi, kalau pihak keluarga sana dah tak suka. Hubungan kami tamat di sini sahaja, selepas bercinta selama hampir 4 tahun. 

Darah masih muda . Untuk memulihkan hati yang terluka , Kak Nurin tak ambil masa yang lama , sehinggalah Kak Nurin berjumpa pengganti yang berjaya mencuri hati Kak Nurin. Orangnya kacak, sangat dikenali. Satu ofis tetapi lain jabatan. Kami berkawan dan bercinta dan menjadi bualan rakan-rakan office kerana kami sentiasa berkepit dah macam belangkas. Mungkin bercinta hanya berlandaskan paras rupa, hubungan kami tak lama. Dia curang di depan mata Kak Nurin sendiri. Cinta dia dijaja kepada wanita-wanita lain pula. Sebelum ni kata-kata nasihat kawan baik mengatakan dia seorang 'playboy', tidak diendahkan Kak Nurin. Pada hemat Kak Nurin, mungkin dia ikhlas apabila bersama Kak Nurin, tetapi hakikatnya dia cuma nak mempermain-mainkan perasaan sahaja. Pada ketika ini, Kak Nurin dah rasa bosan dengan permainan cinta seorang lelaki. Lelaki-lelaki ini telah menghancurkan perasaan Kak Nurin. Semua lelaki adalah sama. Dan pada ketika ini Kak Nurin bencikan lelaki. Tiada siapa pun yang dapat mengubah persepsi ini sehinggalah Kak Nurin dipertemukan dengan seseorang yang karektornya lebih kurang macam ustaz muda, di satu majlis khidmat bakti syarikat Kak Nurin bekerja.

Orangnya biasa je, agak warak . Bekerja sebagai guru, mengajar di sekolah menengah. Kami sempat menjalinkan hubungan hampir selama 2 tahun, sebelum mengambil keputusan untuk ke arah yang lebih serius. Namun Kak Nurin diuji lagi, Allah lebih menyayangi dia . Terlibat dalam satu kemalangan, koma dan meninggal dunia. Sedihnya hanya Allah sahaja yang tahu. Jiwa Kak Nurin tidak tenteram mengenangkan arwah yang sangat baik. Untuk memujuk hati yang lara, Kak Nurin bersangka baik dengan Allah, mungkin arwah seorang yang baik, jadi Allah cepat mengambil dia  untuk berada disisiNya.

Sedih dan pilu untuk melupakan arwah. Tetapi hidup perlu diteruskan. Namun untuk memulakan semula hubungan cinta, memang sangat-sangat memenatkan. Semuanya perlu bermula dari 0, untuk membolehkan hubungan menjadi serasi. Jadi Kak Nurin ambil keputusan ,mahu berehat daripada bermain perasaan cinta. Kak Nurin hanya mahu fokus kepada kerjaya dan menjaga emak yang sudah tua. Kak Nurin anak bongsu dari 3 beradik, satu-satunya yang belum berkahwin. Bapa Kak Nurin dah meninggal dunia, jadi emak diletak dibawah penjagaan Kak Nurin, memandangkan kakak dan abang dah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri. 

Sebagai ibu, emak Kak Nurin sentiasa memberi kata-kata positif, kerana dia turut bersedih melihat anak bongsunya dirundung kekecewaan. Kak Nurin hanya terus berdoa. Dan mungkin Allah juga masih menyayangi Kak Nurin , DIA menghantar lagi ujianNya kepada Kak Nurin untuk menguji sejauh mana Kak Nurin mengingatiNya. Kak Nurin dikenalkan dengan anak kawan lama emak . Kami hanya berkawan dahulu, memandangkan Kak Nurin masih tak dapat lupakan arwah. Sikap dia yang sabar, tidak memaksa, dan sanggup beri ruang masa kepada Kak Nurin betul-betul membuatkan Kak Nurin jatuh hati pada dia. Kami tak bercinta lama. Emak minta kami bertunang cepat dan terus berkahwin. Kami OK, dan ikut cakap emak. Kami  dah bertunang hampir 3 bulan, dan bersetuju untuk berkahwin selepas setahun. Namun kebahagiaan yang diharapkan tidak kesampaian. Akibat kata-kata provokasi dan hasutan orang luar kepada bakal suami dan mertua, menyebabkan mereka membuat keputusan untuk memutuskan tali pertunangan kami. Alasannya, mereka tak mahu nasib malang Kak Nurin diwarisi oleh keturunan-keturunan mereka nanti.

*Cukuplah empat kali hati Kak Nurin terluka*

Kawan-kawan rumah sewa silih-berganti , bertukar-tukar yang baru, sebab ada yang dah kahwin dan berpindah. Yang tetap setia tinggal di sini Kak Nurin sorang je, sehinggalah Kak Nurin mampu membeli rumah kos rendah dan Kak Nurin berpindah keluar tinggal sendiri di rumah baru ni. Tiada lagi rakan sebilik, tiada lagi rakan rumah sewa dan tiada lagi perasaan cemburu melihat rakan-rakan silih berganti berkahwin. Kat office pula, Kak Nurin dah jadi pemerhati staff-staff lain berubah daripada status bujang kepada status kahwin. Daripada anak 1 jadi anak 2, 3 , 4 dan seterusnya. Sehingga hari ini ada officemate sebaya Kak Nurin, yang dah menunggu nak dapat menantu! Untungnya kehidupan yang telah ditetapkan kepada officemate Kak Nurin tu. Kalau dulu kami jalan bersama, makan bersama, outing bersama, sekarang masing-masing dah ada kehidupan sendiri. Dah ada tanggungjawab sendiri. Rakan-rakan sebaya dah berlalu meniti usia mereka bersama keluarga. Tinggallah Kak Nurin masih berseorangan , masih menjaga emak yang semakin uzur. Namun Kak Nurin menganggap ini hikmahnya , untuk peluang Kak Nurin mencari pahala kerana menjaga emak sehingga akhir hayatnya.

Memang berat untuk memikul status ANDARTU. Bukan tidak ingin berkahwin, malah perjalanan kisah Kak Nurin amat istimewa. Walaupun keinginan untuk berkahwin dan membina keluarga sendiri sentiasa ada di hati, namun bila sampai waktunya, jodoh Kak Nurin belum diizinkan Allah. Bohonglah kalau nak kata Kak Nurin tak sedih. Kecewa hampir kemurungan memikirkan nasib diri. Sebagai wanita yang normal, perasaan perit mengingati kisah silam sentiasa menghantui fikiran. Lagi-lagi apabila mendengar usikan dan tohmahan orang. Sehinggakan saudara-mara beritahu, nasib Kak Nurin sentiasa membawa malang dan perlu pergi berjumpa bomoh untuk buang sial. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Mudah bagi orang luar untuk berkata-kata, tetapi jawapan Kak Nurin mudah je. Untuk tahap umur dah nak masuk 50 tahun ni, Kak Nurin hanya berserah segala-galanya kepada Allah dan redha, dan dah menganggap ini sebagai satu takdir, mungkin dah tiada jodoh Kak Nurin. Tak perlu fokus dan fikir lagi untuk mencari teman hidup. Teruskan menikmati kehidupan seperti biasa, dan menerima ini sebagai satu ujianNya.

Pinta Kak Nurin dalam luahan ini, untuk mereka yang sama seperti Kak Nurin, janganlah dipandang serong terhadap kami. Walaupun kami dah redha, tetapi sebagai wanita insan yang lemah, tetap akan terguris dan tercalar hatinya apabila menjadi bualan hangat orang luar. Jiwa kami sensitif . Sedangkan title ANDARTU tu sendiri kami dah terbeban untuk memegangnya jadi janganlah dibebankan lagi dengan segala tohmahan dan umpatan yang tidak berasas. Kita tak tahu apa yang mereka dah lalui. Ada sesetengah orang mudah jodohnya, ada orang lain pula sukar untuk mendapat jodohnya. Tapi apalah kuasa kami dan siapa kami untuk menidakkan ketentuanNya. Kita doakan rakan-rakan yang sama title dengan Kak Nurin ni , mudah-mudahan dipermudahkan segala urusan di dunia dan akhirat, kerana KEBAHAGIAAN itu amatlah luas. 

Terima kasih kepada semua kerana sudi membaca luahan Kak Nurin.

=========================================================================
Sekiranya ada sebarang luahan perkara, isu, pergolakan , pengalaman, pendapat , kisah teladan dan masalah-masalah yang hendak dikongsikan di sini;
boleh SUBMIT borang online yang diberikan: Klik disini,  ISI BORANG
atau;
sila EMAIL ke lamanqaseh@gmail.com    
atau;
LIKE facebook kami : Laman Qaseh Community
Semoga perkongsian ini dapat bersama-sama dimanfaatkan dan dibantu dengan melalui perbincangan, diskusi ,idea, komen, pendapat , berforum  dan pengalaman daripada community di luar sana. Dengan dorongan dan semangat yang dikongsikan pembaca, diharap semua masalah dapat diselesaikan dengan baik.

2 comments:

Suhaila said...

Sis sangat tabah. Saya doakan sis sentiasa dirahmati Allah. Jodoh bukan sahaja di dunia, tapi mungkin jodoh sis di akhirat. Berat mata memandang, berat bahu memikul. Semoga sis terus cekal dan abaikan kata-kata negatif orang luar yg mmg takkan pernah habis.

Anonymous said...

As salam kak nurin...

Moga kak nurin terus tabah jalani hidup. Saya faham perasaan kak nurin. Orang yang alami situasi itu akan lebih faham situasi. Walau berapa kali mencuba jodoh masih belum jumpa dan perkara paling susah untuk pujuk hati sendiri untuk bersabar dengan ujiannya. Akan tetapi, saya percaya takdir Allah tidak pernah silap. Kak nurin insan terpilih untuk terima ujian ini. Toleh belakang pun bukan boleh ubah takdir. Allah pilih kak nurin untuk jaga mak. Takdir itu mungkin ladang pahala kak nurin sebab syurga bukan percuma.