"Kongsikan Luahan Kisah Anda , Kerana Masih Ada Yang Peduli" "Individually, We Are One Drop. Together, We Are An Ocean"

Latest Post

29 Apr 2017

Peritnya Seorang Penganggur


Salam admin,

Terima kasih kerana menyediakan ruangan luahan sebegini. Saya seorang pemuda kini berusia 25 tahun. Anak nombor tiga dari 4 beradik. Satu-satunya anak lelaki harapan keluarga. Saya tamat pengajian dengan segulung ijazah dari universiti tempatan 3 tahun yang lepas. Jurusan yang saya ambil adalah jurusan yang sangat terpencil, mungkin disebabkan result spm saya tak berapa bagus, maka saya dimasukkan ke dalam jurusan ini, bukan jurusan yang saya minat. Tapi saya tak kisahlah, saya ambik juga jurusan ini memandangkan ibu saya sangat teringin melihat saya masuk ke universiti. Ibu saya seorang surirumah sejak kami kecil lagi. Ibulah yang banyak menguruskan kami adik-beradik sementara ayah sibuk bekerja sebagai askar. Kakak-kakak saya ada yang dah berkahwin jadi surirumah, sorang dah bekerja dan adik yang bongsu masih belajar di kolej. Ayah saya seorang pencen askar, namun ibu dan ayah berniaga secara kecil-kecilan di pasar malam untuk menampung kehidupan mereka kerana wang pencen tak cukup. Kakak surirumah tak mampu bagi wang bulanan, kakak yang bekerja setakat RM300 sebulan dia hulurkan kerana gaji dia tak besar. Adik bongsu pula sedikit sebanyak perlukan wang tambahan selain duit pinjamam ptptn yang tak cukup tu.

Ayah pula, saya tak tahulah macam mana boleh berlaku hutang keliling pinggang. Masa ayah masih bekerja, ayah ada buat pinjaman peribadi dan juga pinjaman rumah. Belum lagi pinjaman kereta. Jadi ketiga-tiga loan ni perlu dibayar walaupun ayah dah pencen. Jadi wang pencen nak campur dengan duit yang kakak bagi tu, memang tak cukuplah nak menampung perbelanjaan rumah dan juga tambahan wang pengajian adik bongsu. Jujur hati saya sangat kesian dengan ibu ayah, patutnya bila dah masuk usia senja ni, mereka hanya berehat di rumah dan tumpukan kepada amal ibadat sahaja. Namun disebabkan tuntutan hutang yang banyak, mereka terpaksa bekerja walaupun dah tak ada daya dan kudrat.

Jadi dalam situasi begini, saya lah satu-satunya harapan diorang untuk meringankan bebanan mereka. Saya sendiri pun tak sabar nak tamatkan pengajian, sebab nak bekerja untuk tolong ibu ayah saya. Namun, saya tak tahulah kenapa saya selalu tak bernasib baik, dalam hal-hal pekerjaan ni. Sehingga sekarang, saya masih tidak mendapat sebarang pekerjaan dengan menggunakan segulung ijazah saya tu. Yang mana, saya begitu mengharapkan gaji bulanan yang sama level dengan ijazah. Harapan saya dengan gaji ijazah tu, dapatlah sedikit sebanyak tolong kedua ibu bapa saya. Saya memang berniat , sekiranya saya mendapat pekerjaan yang hebat gajinya, saya nak tolong bayar semua hutang-hutang ayah saya. Tapi sehingga kini pekerjaan yang saya angan-angankan tu tak sangkut satu pun. Dah berpuluh – puluh jawatan saya mohon dan temuduga yang saya hadir, namun tak ada yang berjaya pun. Saya tak tahulah mungkin saya tiada aura atau daya penarik kot. Saya sangat sedih dan juga terkilan.

Walaubagaimanapun, saya bukannya “penganggur terhormat”, seperti yang orang cakap – “duduk rumah goyang kaki je” . Atas rasa tanggungjawab, sambil-sambil saya memohon jawatan yang sesuai dengan ijazah saya tu, saya tak duduk berdiam diri. Saya mencuba pelbagai pekerjaan yang umum, walaupun gajinya lebih rendah. Tak apa, saya tak kisah pun, sekurang-kurangnya saya dapat sedikit wang untuk digunakan dan bagi sikit pada ibu ayah. Sepanjang 3 tahun menganggur, saya pernah bekerja di stesen minyak, pembantu restoran sebagai pembuat air, operator kilang, berniaga jual goreng pisang di tepi jalan, store keeper di shop mart, pembantu jualan di Aeon, driver lori dan banyak lagi. Semuanya kerja umum yang mana sedia maklum gajinya sebulan tak adalah banyak mana. Setakat RM1300 sebulan. Dan saya pun hanya mampu hulur kat ibu ayah dalam RM400 sahaja, lebih kurang sama jumlah macam kakak saya beri , itu pun lepas dah tolak keperluan-keperluan lain. Semua kerja-kerja di atas tu saya terpaksa bertukar-tukar untuk dapatkan gaji yang lebih tinggi. Walaupun ada perbezaan RM100 pun saya sanggup berhenti dan ambil kerja tu.

Apa pun saya bersyukur, Ibu dan ayah tak pernah beri tekanan dan memaksa saya. Mereka sangat faham situasi saya yang dah berusaha untuk dapatkan pekerjaan yang sesuai dengan ijazah saya. Mungkin belum rezeki saya . Mungkin ada hikmah di sebalik semua kesulitan. Saya bersyukur walaupun sukar untuk mendapat perkerjaan yang saya idamkan, tapi mudah mendapat pekerjaan lain walaupun lebih kecil gajinya. Cuma yang menjadi tekanan buat saya ialah mendengar segala tohmahan dan perlian orang sekeliling. Saudara-mara, jiran-jiran rumah selalu berborak dengan ibu ayah berkaitan dengan diri saya. Segala jenis umpatan saya dah dengar. Antara yang saya sangat sedih ialah bila mereka cakap pada ibu , sia-sia semua duit dan masa yang ibu ayah bagi untuk saya belajar sampai univesiti, tapi sampai sekarang tak dapat balas budi ibu bapa. Ada yang cakap, saya anak lelaki yang tak bertuah kerana susah mendapat bekerja. Ada yang cakap saya tak berusaha sungguh-sungguh cari kerja, nak enjoy je. Ada yang cakap saya cuba ambil kesempatan sebagai anak lelaki kesayangan untuk tak mahu bekerja, nak duduk rumah rileks je. Semua umpatan ni memang pedih nak dengar, tapi ibu ayah tetap tenang dan tak ambil pusing pun, sebab mereka je yang faham dan tahu susah payah saya.  Mereka sentiasa beri sokongan kepada saya tanpa berbelah-bahagi.

Saya berterima kasih pada ibu ayah kerana sentiasa memberi sokongan. Dan kalau ada pembaca –pembaca diluar sana sudi beri peluang kepada saya dengan tawaran pekerjaan yang sesuai , saya sangat-sangat berterima kasih di atas bantuan. Sebenarnya saya juga berasa malu, dan saya tak mahu dilabel sebagai anak lelaki yang gagal. Sebab tu sampai sekarang pun, saya tak ada terfikir dan tak mahu fikir pun pasal teman wanita dan berkahwin. Sedangkan keluarga sendiri saya tak mampu beri nafkah, inikan lagi nak menanggung urusan-urusan perkahwinan. Doakan saya dipermudahkan segala urusan ya!. Terima kasih.

-Peganggur budiman-


No comments: