"Kongsikan Luahan Kisah Anda , Kerana Masih Ada Yang Peduli" "Individually, We Are One Drop. Together, We Are An Ocean"

Latest Post

25 Apr 2017

Pakcik Dan Makcik Buang Nenek Yang Uzur

Terima kasih admin kerana memaparkan kisah saya. Dan saya berharap kisah saya akan menjadi tauladan kepada pembaca di luar sana juga.

Ibu saya seorang ibu tunggal, selepas kematian ayah. Ibu merupakan anak bongsu daripada 3 beradik. Ibu ada sorang abang dan sorang kakak. Kiranya mereka ini adalah pakcik dan makcik sayalah. Masing – masing dah berkahwin, ada anak dan kehidupan sendiri. Saya adalah satu-satunya anak ibu berusia 20 tahun. Sepupu-sepupu saya lebih kurang sebaya umur saya juga. Kami masih ada sorang nenek (sebelah ibu). Namun keadaan nenek tersangat uzur, yang mana memerlukan penjagaan rapi dan perhatian daripada penjaga atau anak-anak. Yang menjadi masalah besar sekarang ialah, pakcik dan makcik saya enggan untuk menjaga nenek saya yang uzur tu. Mereka bulat-bulat menyerahkan nenek kepada ibu saya untuk dijaga, tanpa ada sebarang persetujuan.

Sebelum ini mereka ada membuat perbincangan, namun diakhirnya mereka mahu ibu saya yang menjaga nenek. Alasannya sebab ibu adalah ibu tunggal dan tiada komitmen terhadap keluarga. Sedangkan mereka katanya terlalu banyak komitmen kerjaya, rumahtangga dan tidak ada masa yang cukup untuk menjaga nenek. Saya sangat kesal, bila mereka memberi alasan mcm tu sedangkan, mereka juga tahu ibu saya juga bekerja untuk mencari nafkah untuk menyara kehidupan kami berdua. Ibu berniaga sendiri, menjual nasi lemak untuk menampung perbelanjaan rumah dan juga pengajian saya yang akan tamat lagi 2 tahun. Tambahan pula , ibu juga sudah tiada kudrat akibat penyakit jantung yang dihidapinya.

Ibu tidak kisah untuk menjaga nenek, yang tidak disukainya ialah apabila makcik dan pakcik saya langsung taknak ambil tahu akan hal nenek. Hanya menjenguk setahun sekali. Pakai, makan , kesihatan nenek langsung tak tanya khabar. Nak hulurkan duit untuk ringankan beban ibu , memang jauh sekalilah. Itu yang membuatkan saya rasa sangat geram. Seolah-olah mereka dah buang terus nenek dari kehidupan mereka. Mudah sangat mereka nak melepaskan tangan, sedangkan itulah emak yang melahirkan dan menjaga mereka sejak kecil. Saya rasa sangat malu dan kecewa atas perbuatan mereka.

Saya pun bukannya mengharapkan sangat pakcik dan makcik menjaga nenek sampai bila-bila pun, cukuplah dengan bergilir-gilir menjaganya. Sekurang-kurangnya ibu saya ada juga ruang masa untuk berehat memandangkan sakit jantungnya menyebabkan ibu tak boleh terlalu terbeban membuat kerja. Kadangkala saya tak sanggup tengok ibu kepenatan, saya ponteng kelas untuk membantu ibu menjual nasi lemak dan menjaga nenek di rumah. Saya pernah usulkan pada ibu, untuk berhenti belajar supaya saya dapat bekerja dan menjaga mereka berdua, tapi ibu tak setuju. Ibu minta saya tamatkan pengajian yang masih berbaki lagi 2 tahun.

Apabila saya cuba bangkitkan perkara ini, saya dikatakan tidak menghormati orang tua dan cuba nak menuduh mereka culas akan tanggungjawab mereka, padahal itu yang sebenarnya yang sedang terjadi. Mereka seperti alpa dan lupa akan tanggungjawab sebagai anak. Mereka dah buang jauh emak mereka sendiri. Mereka seperti anak tidak mengenang budi. Mereka menuduh ibu saya yang mengajar saya untuk bersikap sedemikian, sedangkan itu adalah perasaan hati saya yang memang saya nak luahkan selama ini. Saya berterus-terang kepada mereka akan situasi ibu sekarang. Tapi apa yang saya jelaskan dipandang sebelah mata je. Kata mereka, kalau dah tak mampu nak menjaga nenek, hantar je ke rumah kebajikan atau rumah orang-orang tua. Bila mereka dah cakap macam tu, nampak sangatlah mereka memang tak nak jaga nenek.

Macam mana lagi saya nak buat, untuk sedarkan mereka di atas perbuatan mereka yang sangat memalukan dan tidak bertanggungjawab, pada masa yang sama saya masih menghormati mereka sebagai pakcik dan makcik saya. Pembaca di luar sana , mungkin ada pendapat yang boleh dikongsikan.


No comments: