"Kongsikan Luahan Kisah Anda , Kerana Masih Ada Yang Peduli" "Individually, We Are One Drop. Together, We Are An Ocean"

Latest Post

23 Apr 2017

Cemburu Dengan Adik "Kembar Tahun"


Kami dilahirkan dalam keluarga campur. Ibu berbangsa Melayu , bapa pula berbangsa Cina. Kami hanya dua beradik lelaki. Kami digelar “Kembar Tahun” kerana saya dilahirkan bulan 1, dan adik saya dilahirkan bulan 12. Pada tahun yang sama. Kiranya dalam surat lahir kami dikira umur sama. Dari tadika sehinggalah masuk ke kolej kami akan didaftarkan bersama-sama oleh ibu dan bapa. Kehidupan keluarga kami sangat bahagia, tiada masalah dan penuh kasih sayang . Ibu dan bapa memberi secukupnya kasih sayang , pelajaran dan sebagainya dengan tidak berbelah bahagi tanpa ada favouritism .

Yang menjadi masalah saya ialah tanggapan, pandangan , perlian dan usikan dari orang luar yang membuatkan saya cemburu dan sentiasa merendah diri. Saya dan adik sering bersama kemana-mana. Walaupun kami sebaya, dilahirkan agak rapat, wajah kami ada sedikit perbezaan. Saya lebih kemelayuan dan adik saya lebih kearah wajah campuran.  Jadi , kemana kami pergi, dimana kami berada, kami sentiasa menjadi topik perbualan dan perkara yang diperbandingkan dari semua aspek. Dari segi rupa , karektar, ketampanan, kepandaian , pembawakan diri dan sebagainya. Dan semua aspek yang dibualkan ini sentiasa dimenangi oleh adik saya. Saya betul betul rasa rendah diri.

Ketika di waktu sekolah dulu, kami satu kelas. Saya kerap dibandingkan dengan adik. Rakan-rakan sentiasa menyukai adik saya , kerana dia lebih pandai. Guru-guru pun lebih cenderung fokus dan lebih perhatiannya kepada adik saya. Kata mereka , adik adalah harapan sekolah untuk mendapat result yang bagus dalam SPM. Kami juga sering dibandingkan dari segi sifat dan sikap. Adik dikatakan jauh lebih peramah dan disenangi ketika didekati, sedangkan saya juga mudah untuk membantu orang dalam kesusahan. Paling saya tidak suka apabila mereka sering ulang dan mengulangi mempertikaikan sikap saya yang berbeza dengan adik.

Walaupun ibu dan bapa tak pernah membezakan kami,  bila kami pulang ke kampung sebelah ayah. Nenek, datuk, makcik, dan saudara-mara disebelah ayah sangat menyenangi adik saya. Kata mereka, adik banyak mewarisi keturunan mereka, dan adik membawa tuah dalam keturunan mereka. Saya dilayan seperti orang asing. Saya juga nampak ibu dilayan seperti tidak wujud. Namun ibu banyak bertenang dan bersabar je dengan karenah mereka, mungkin pada ibu yang penting asalkan ayah menyayangi ibu, itu pun dah cukup. Cuma , jiwa remaja saya yang sangat beremosi dan sering bergolak.

Kini kami berada di  kolej, juga perkara yang sama berlaku. Saya pernah bagitahu ibu, yang saya tak mahu lagi berada di kolej yang sama bersama adik. Selepas Spm, saya berhasrat untuk belajar berasingan. Di kolej lain. Tapi ibu tak membenarkan. Katanya kami adik-beradik harus sentiasa bersama dan membantu di antara satu sama lain. Tapi ibu tak pernah faham emosi dan perasaan yang saya hadapi. Bila saya sentiasa berdekatan dengan adik, saya akan sentiasa diketepikan dari segenap hal. Ini membuatkan saya cemburu dan sedih. Saya tidak suka tetapi tiada kuasa menghentikan orang terus membandingkan kami.

Di kolej juga , rakan-rakan wanita lebih menyukai ketampanan yang dimiliki oleh adik saya. Adik juga sering mendapat surat-surat cinta dari mereka yang ingin kenal lebih rapat. Ada yang ingin jadi teman wanita, ada yang ingin jadi adik angkat, kakak angkat. Bila kami berada dalam kumpulan perbincangan, respons mereka hanya pada adik, seolah –olah saya tidak wujud dalam kumpulan perbincangan tersebut. Seolah-olah ketampanan adik saya tu, jadi sumber inspirasi buat mereka apabila  ada kumpulan perbincangan. Saya sangat-sangat merasa rendah diri. Saya fikir kalau saya berterusan begini, ia mungkin akan memberi kesan kepada prestasi pembelajaran saya. Saya ingin sekali berada jauh daripada adik saya. Saya ingin ada kehidupan saya sendiri tanpa dipengaruhi kelibat adik saya. Cukuplah saya mengenalinya dan rapat apabila dirumah.

Bantulah saya kawan, untuk menaikkan semangat dan menghentikan perasaan cemburu dan rendah diri.

-Hafiz Liu-



No comments: