"Kongsikan Luahan Kisah Anda , Kerana Masih Ada Yang Peduli" "Individually, We Are One Drop. Together, We Are An Ocean"

Latest Post

14 Jan 2017

Janggal Apabila Bersama Keluarga Kandung


Terima kasih admin kerana siarkan luahan saya ini. Saya anak sulong daripada 5 beradik. Daripada kecil ibu dan ayah saya tinggalkan saya dengan nenek di kampung. Kata nenek, ibu ayah terpaksa tinggalkan saya untuk mereka dapat jaga adik-adik . Mereka tak berkemampuan dan meminta bantuan nenek untuk menjaga saya, kebetulan pula saya merupakan cucu sulong. Jadi bermulah kehidupan saya membesar bersama nenek. Segala urusan sekolah semuanya diuruskan nenek. Kiranya saya menjadi cucu yang paling rapat dan manja dengan nenek.

Sehinggalah saya bersekolah menengah, ibu dan ayah menjemput saya untuk tinggal bersama mereka. Namun saya menolak dengan baik. Saya beri alasan, untuk menjaga nenek yang semakin berusia. Sedangkan sebenarnya saya berasa janggal untuk tinggal bersama mereka. Tidak ada niat pun untuk mengecilkan hati ibu dan ayah. Walaupun saya menolak ajakan ibu, mereka tetap terima. Dan kami pun sebenarnya tak adalah terputus hubungan, setiap kali ada perayaan, kenduri atau jemputan makan-makan, kami tetap akan berjumpa bertanya khabar dan sebagainya, cuma kemesraan tu kuranglah.

Kini saya dah berumur 20 tahun, saya masih tinggal bersama nenek. Saya belajar di kolej. Satu hari saya menerima berita sedih. Ibu jatuh sakit dan tidak boleh nak menguruskan diri. Ayah pula kena bekerja, nak cari nafkah untuk tampung pengajian adik-adik. Jadi nenek ada bagitahu saya , minta saya duduk dengan ibu untuk jaga ibu yang sakit. Pada mulanya saya agak keberatan, namun bila difikirkan dia ibu yang melahirkan saya, jadi saya bersetuju untuk menjaga ibu. 

Jadi saya tinggallah bersama-sama dengan ibu dan keluarga kandung saya sendiri. Untuk menjaga ibu di sini tidak menjadi masalah buat saya. Yang membuat saya janggal dan kekok berada kat sini ialah sikap adik-adik saya. Saya lihat walaupun ibu sakit, tapi diorang tak pernah nak jaga ibu, ringankan beban ibu. Sejak saya tinggal kat sini, saya perasan saya dilayan seperti bibik oleh adik-adik saya. Urusan rumah, masak, makan, basuh baju semuanya mengharapkan saya. Hal-hal penjagaan ibu seperti mandi, makan ubat semuanya diserahkan kepada saya bulat-bulat. Kadang-kala saya keletihan sehingga terpaksa ponteng kelas.

Saya kecewa dan sedih dengan sikap adik-adik saya. Ikutkan hati, saya taknak tinggal kat sini, nak balik pada nenek, tapi melihatkan ibu seperti terkontang-kanting sendirian uruskan diri sendiri, membuatkan hajat saya tu terbantut. Saya tak tahulah apa masalah adik-adik saya tu. Kami jarang berkomunikasi, sebab rasa macam pelik dan janggal. Yalah kami tak membesar bersama-sama. Urusan kehidupan kami pun sangat berbeza. Kiranya macam tak ngamlah.

Ibu ada perasan juga kerisauan saya, dan ibu ada minta maaf dengan saya sebab ibu rasa dia dah membebankan dan menyusahkan saya. Ibu ada menegur sikap adik-adik kerana kurang membantu saya ketika saya buat kerja dirumah. Namun teguran tu dipandang sepi je. Tapi apa saya boleh buat pun. Sebagai anak sulong, saya cuba yang terbaik. Walaupun saya kurang mendapat kasih sayang ibu ayah , diorang tetap tak melupakan saya. Jadi saya anggap ini satu cara untuk saya balas jasa mereka.

Pembaca dikasihi, kalau ada yang boleh bagi idea , macam mana cara saya boleh buat untuk merapatkan hubungan kami adik beradik seterusnya boleh ngam macam keluarga orang lain. Sekurang-kurangnya bila kami rapat, boleh lah saya share masalah atau apa-apa isu yang berlaku kat rumah. Takdelah saya stress sorang-sorang pikir hal-hal rumah.

-KakLong-




No comments: