"Kongsikan Luahan Kisah Anda , Kerana Masih Ada Yang Peduli" "Individually, We Are One Drop. Together, We Are An Ocean"

Latest Post

24 Oct 2012

Ibadah Korban

INFO KORBAN

Qurban ialah menyembelih binatang ternakan berkaki empat (Al-An’am) pada hari raya Eidul Adha atau hari-hari tasyrik (11,12,13 Zulhijjah) dengan tujuan beribadat kepada Allah. Hukum ibadah qurban adalah sunat muakkad bagi yang mampu dan wajib bagi yang bernazar. Ibadah qurban bermula selepas naik matahari sekadar cukup untuk solat 2 rakaat dan khutbah pada 10 Zulhijjah dan berakhir ketika terbenam matahari 13 Zulhijjah.
Ibadah qurban dilaksanakan sempena mengingati peristiwa Nabi Ibrahim yang ingin menyembelih anaknya, Nabi Ismail kerana melaksanakan perintah Allah SWT. Walaubagaimanapun, peristiwa tersebut sekadar ujian Allah SWT kepada mereka berdua. Mereka telah berjaya dalam ujian tersebut di mana Nabi Ibrahim sangup menyembelihkan anak sendiri dan Nabi Ismail pula patuh dengan perintah ayahnya untuk disembelih. Peristiwa ini menunjukkan kepatuhan mereka kepada perintah Allah lebih daripada yang lain walupun ia melibatkan nyawa dan kasih sayang ayah dan anak. Lalu Allah telah menggantikan tempat Nabi Ismail dengan kambing (Qibasy).
Ibadah qurban juga dilakukan sebagai cara untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

 Syarat-syarat sah Ibadat Qurban.

1. Berniat qurban ketika menyembelih.
2. Sembelihan dilakukan dalam waktunya iaitu matahari naik kadar sepagalah pada 10 Zulhijjah hingga terbenam matahari 13 Zulhijjah.
3. Penyembelih orang Islam.
4. Tidak terdapat kecacatan pada binatang qurban tersebut yang boleh mengurangkan dagingnya.
5. Binatang ternakan yang halal dimakan.
6. Binatang yang hendak disembelih sudah cukup umur. Binatang yang sudah cukup umur untuk dijadikan qurban adalah seperti berikut;

Binatang Umur
a. Biri-biri 1 tahun atau lebih
b. Lembu / kerbau 2 tahun atau lebih
c. Unta 5 tahun atau lebih

Pembahagian daging qurban
a. 1/3 disedekahkan kepada fakir miskin
b. 1/3 dimasak untuk jamuan ramai
c. 1/3 orang yang berqurban

Lebih afdal sekiranya orang yang berqurban itu memakan sedikit daripada daging qurbannya. Haram diberikan daging qurban kepada orang kafir samada dalam keadaan mentah ataupun masak. Harus disedekahkan kepada orang kaya. Qurban nazar haram dimakan dagingnya oleh orang yang bernazar.

Perkara sunat ketika ibadah qurban
1. Membaca basmallah atau takbir
2. Selawat kepada Nabi
3. Menyembelih pada waktu siang
4. Memilih binatang yang gemuk dan sihat
5. Binatang hendaklah dibaringkan di atas rusuk kiri dan mengadap kiblat
6. Orang yang berqurban makan sebahagian daging qurban
7. Menggunakan alat sembelihan yang tajam

Hikmah-hikmah qurban
1. Melatih diri sanggup berkorban pada perkara kebaikan
2. Membuang sifat kedekut, bakhil dan tamak
3. Tanda kesyukuran di atas nikmat pemberian Allah
4. Meningkatkan ketaqwaan kepada Allah
5. Mengingati pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Ia boleh memupuk semangat pengorbanan terhadap diri dan masyarakat.
6. Menggembirakan fakir miskin dengan menikmati juadah daging qurban
7. Merapatkan silaturrahim di kalangan umat Islam



FEQAH KORBAN

SEJARAH ASAL USUL KORBAN
1. Korban Zaman Nabi Adam A.S (Rujuk Surah Al-Maidah : 27- 31)
2. Korban Zaman Nabi Nuh A.S
3. Korban Zaman Nabi Daud dan Sulaiman A.S
4. Korban Zaman Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail A.S
5. Korban Zaman Nabi Musa A.S
6. Korban Bangsa Yunani dan Rom
7. Korban Abdul Mutalib nenda Rasulullah S.A.W
PENGERTIAN KORBAN
Bahasa : Nama yang diberikan terhadap apa yang dikorbankan atau apa yang disembelih pada Hari Raya Adha.
Dinamakan juga sebagai ‘Udhiyyah’ yang berasal daripada perkataan ‘Dhuha’ iaitu waktu Dhuha, kira-kira antara jam 7.00 hingga 11 pagi, kerana korban disyariatkan oleh Allah SWT supaya dilaksanakan setelah selesai Solat Eidul Adha.
Ada juga yang mengatakan ianya berasal daripada perkataan Al-Udhiyyah dan Ad-Dhahiyyah yang dimaksudkan binatang sembelihan seperti unta, lembu, kambing yang disembelih pada hari Raya Korban dan hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah) dengan tujuan untuk mentaqarrubkan diri kepada Allah.
Syarak : Menyembelih haiwan yang tertentu dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah dalam waktu yang khusus (hari-hari Nahar). Ibadah ini telah disyariatkan pada Tahun Kedua Hijriyah sepertimana juga disyariatkan ibadah zakat dan Solat Dua Hari Raya (Eidul Fitri dan Eidul Adha) dan telah dipastikan syariat mengenai berdasarkan al-Quran, Sunnah dan ijma’ ulamak.
DALIL-DALIL MENGENAI KORBAN
i. DALIL AL-QURAN
Firman allah;
Maksudnya;
Sesungguhnya Kami (Allah) telah memberi engkau (ya Muhammad) akan kebajikan yang banyak. Oleh itu dirikanlah solat kerana Tuhanmu ( pada Hari Raya Haji) dan sembelihlah (binatang) korbanmu (sebagai ibadah dan mensyukuri nikmat Tuhanmu).” (Surah al-Kauthar : ayat 1-2)
Maksudnya ;
“Dan telah Kami (Allah) jadikan untuk kamu unta-unta itu sebagai syiar agama Allah. Kamu banyak memperoleh kebaikan daripadanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelihnya.” ( Al-Haj ; 36)
ii. DALIL HADIS MENGENAI KELEBIHAN KORBAN
Banyak hadis yang membicarakan mengenai ibadah korban, antaranya hadis daripada A’isyah, Rasulullah bersabda;
Maksudnya;
“Tidak ada satu amalan anak Adam di hari-hari Nahar (Hari-hari ‘Eidul Adha) yang paling Allah sukai selain daripada menumpahkan darah (sembelih), kerana ia (binatang korban) itu akan datang di hari kiamat nanti dengan tanduk dan kukunya dan bulu-bulunya (sebagai saksi ke atas ibadah korban tuannya), dan sesungguhnya darah (binatang korban itu) akan tumpah di sisi Allah di suatu tempat sebelum tumpah ke bumi, oleh itu pilihlah olehmu binatang terbaik (paling menarik) untuk dikorbankan. ” (Hadis riwayat Hakim, Ibnu Majah dan Tirmizi dan dianggap sebagai Hadis Hasan Gharib)
Para sahabat pernah bertanya Rasulullah SAW : “Ya Rasulullah apakah yang dimaksudkan dengan Udhiyyah?”
Rasulullah Saw menjawab: “ Itulah sunnah bapamu Ibrahim.”
Para sahabat bertanya lagi : “Apakah yang kita akan perolehi daripada ibadah Udhiyyah?”
Baginda menjawab : “ Tiap helai bulu (dari binatang yang dikorbankan) kamu akan mendapat satu kebaikan.” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)
“Barangsiapa yang diberikan kemudahan, sehingga memampukan dia untuk berkorban, akan tetapi dia tidak mahu berkorban, maka janganlah dia mendekati tempat solat kami (masjid) ini.” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)
(Lihat nas al-Quran Surah al-Haj : 36-37)
iii. DALIL IJMA’ ULAMAK
Para ulamak Islam telah bersepakat mengenai pensyariatan korban berdasarkan ayat dan hadis Rasulullah yang menyatakan bahawa amalan korban merupakan amalan yang paling Allah sukai di Hari-Hari ‘Eidul Adha, di mana binatang yang dikorbankan akan didatangkan di Hari kiamat sepertimana keadaan dan sifatnya ketika disembelih dan diletakkan darahnya yang telah diterima di sisi Allah, sebelum darah tersebut tumpah ke bumi. Korban juga merupakan sunnah yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS berdasarkan firman Allah;
Maksudnya;
“ Dan Kami tebus anak itu (Ismail) dengan seekor sembelihan (kibas) yang besar.” (Surah As-Soffaat : ayat 107)
HUKUM IBADAH KORBAN
Sebahagian ulama berpendapat bahawa korban itu hukumnya wajib, manakala sebahagian yang lain menganggapnya sebagai sunnah.
Alasan yang mengatakan amalan korban itu adalah wajib berdasarkan firman Allah;
Maksudnya;
Sesungguhnya Kami (Allah) telah memberi engkau (ya Muhammad) akan kebajikan yang banyak. Oleh itu sembahyanglah engkau pada Hari Raya Haji dan sembelihlah (binatang) korbanmu.” (Surah al-Kauthar : ayat 1-2)
Sabda Rasulullah SAW;
Maksudnya;
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda : “ Barangsiapa yang mempunyai kemampuan, tetapi tidak melakukan korban, maka janganlah dia menghampiri tempat solat kami.” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)
Manakala mereka yang berpandangan bahawa amalan korban adalah suatu amalan sunnah adalah berpandukan hadis Nabi SAW;
Maksudnya;
“Aku diperintah untuk melakukan korban dan korban itu adalah sunnah bagi kamu.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW menyatakan;
Maksudnya;
“ Diwajibkan ke atasku supaya berkorban dan tidak diwajibkan ke atas kamu.” (Hadis riwayat Dar al-Qutniy)
Berdasarkan hadis di atas, ibadah atau amalan korban adalah wajib ke atas diri Rasulullah SAW, akan tetapi hanya dianggap sunnah ke atas umatnya.
Terdapat sat Athar sahabat (hadis mengenai sahabat Nabi) bahawa Abu bakar dan Umar, pernah tidak melakukan ibadah korban, sehingga apabila ditanya oleh orang ramai mengenai tindakan mereka berdua itu, maka mereka berdua menyatakan bahawa mereka bertindak demikian kerana khuatir sekiranya mereka berkorban, orang ramai akan menganggapnya sebagai satu amalan wajib, sedangkan asalnya tidak diwajibkan ke atas mereka. (Hadis riwayat Al-Baihaqiy dan lain-laiannya dengan sanad yang baik)
Menurut Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi ibadah qurban ialah sunnah muakkad (sunnah yang amat dituntut) menurut kebanyakan mazhab fiqah. Dalam Mazhab Imam Abu Hanifah, amalan tersebut dianggap sebagai ibadah wajib. Wajib di sini ialah sesuatu yang lebih ringan daripada ‘fardhu’ dan lebih berta daripada sunnah. (Imam Abu Hanifah membezakan antara Fardhu dengan wajib, tidak sebagaimana imam-imam yang lain).
Hukum wajib di sini bermakna sesiapa yang meninggalkannya dianggap berdosa sekiranya mereka terdiri daripada golongan yang berkemampuan dan berkedudukan. Rasulullah pernah ditanya mengenai amalan qurban tersebut, lantas baginda menjawab;
“Itulah sunnah daripada bapa kamu, Ibrahim…” (Hadis riwayat At-Tirmizi dan Al-Hakim)
Sehubungan denga itu, ibadah korban dikira sama ada Sunnah Muakkadah atau wajib. Mazhab lain, selain Imam Abu Hanifah menghukumkan ‘makruh’ jika seseorang yang mempunyai kemampuan tetapi tidak melakukan ibadah korban.
Menurut Mazhab Imam As-Syafi’ie, hukumnya adalah ‘Sunnah muakkadah’ iaitu sebagai ibadah tambahan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika baginda masih hidup. Baginda dilaporkan pernah berkorban dengan dua ekor biri-biri yang besar bagi dirinya, keluarganya dan seluruh umatnya yang tidak sempat atau tidak mampu untuk berkorban.
Namun begitu kebanyakan ulamak berpendapat ibadah korban adalah amalan yang sunnah sahaja. Seseorang itu tidak akan dianggap berdosa besar sekalipun tidak pernah melakukan ibadah korban seumur hidupnya. Jika dia tidak berkorban, lantaran tidak berkemampuan, anggaplah bahawa nabi terlah berkorban bagi pihak umatnya.
Berpandukan kepada amalan korban yang dilakukan oleh Rasululah SAW yang menyembelih dua ekor biri-biri bagi pihak dirinya, keluarga dan umatnya, maka para ulamak berpendapat adalah memadai jika seseorang ketua dalam sesebuah keluarga seperti suami bagi isteri atau bapa bagi anak-anaknya.
Bagi yang mampu digalakkan memilih binatang ternakan yang terbaik, sihat dan gemuk. Imam Muslim meriwayatkan hadis daripada Anas bin Malik, menyatakan bahawa Rasulullah SAW menyembelih korban dengan dua ekor kibas yang terbaik dengan tangannya sendirinya dengan membaca ‘Bismillah’ dan ‘Bertakbir’ dan meletakkan kakinya di atas rusuk di sebelah tengkuk kedua-dua kibas tersebut.


HIKMAH DI SEBALIK PENSYARIATAN IBADAH KORBAN
1. Mengenang dan mencontohi pengorbanan besar yang tidak ada tolok bandingnya, yang dilakukan oleh Nabi ibrahim AS yang digelar sebagai ‘Abu al-Anbiyak’ (bapa para nabi) yang sanggup mengorbankan anaknya Ismail sebagai kemuncak dalam melaksanakan ketaatannya di atas perintah Allah SWT, namun begitu Allah menggantikannya dengan seekor kibas. Selain daripada itu sebagai mengenang dan mencontohi pengorbanan Nabi Ismail yang sanggup mengorbankan dirinya bagi mematuhi dan mentaati perintah Allah Azza wa Jalla.
2. Sebagai satu ibadah yang boleh mendekatkan seoarang hamba dengan Tuhannya, melalui bukti pengorbanan yang dilakukan. Ianya juga dianggap sebagai simbolik kesedian hamba untuk mengorbankan apa sahaja demi kerana Allah, termasuklah sanggup mengorbankan dirinya demi menegakkan agama Allah yang ytercinta. Di samping itu melatih diri kita supaya sentiasa ikhlas dalam beribadah.
3. Melatih diri agar sentiasa bersedia untuk berkorban bila-bila masa diperlukan demi menegakkan agama Allah.
4. Memulia serta mengagongkan satu syiar dari syiar-syiar agama Allah sebagai memenuhi tuntutan Allah;
Maksudnya;
“Demikianlah perintah Allah dan barangsiapa yang mengagongkan syiar-syiar agama Allah, maka (perbuatan) itu timbul dari ketaqwaan hati.”
(Surah al-Haj : ayat 32)
5. Untuk melahirkan rasa syukur di atas segala nikmat Allah yang terlalu banyak ke atas diri kita dan yang masih menghidupkan kita.
6. Sebagai penghapus kepada segala kesalahan dan dosa yang kita lakukan, sama ada melakukan kemungkaran dan maksiat atau mengabaikan suruhan Allah.
7. Untuk memberikan kegemberiaan kepada keluarga yang melakukan korban dan orang-orang lain yang mendapat bahagian daripada daging korban tersebut, di mana mereka dibenarkan untuk memakan, mensedekahkan atau menyimpan daging tersebut untuk dimakan dalam jangka masa yang lama.
8. Sentiasa mengingatkan kita, bahawa hidup ini amat memerlukan kepada pengorbanan, untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan yang hakiki dalam apa jua bidang yang kita ceburi. Tanpa pengorbanan, tiada nilainya sebarang usaha yang kita lakukan.
SYARAT KORBAN DAN BINATANG YANG DIKORBANKAN
1. Binatang yang hendak dijadikan qurban itu, hendaklah dari binatang yang tidak cacat seperti pincang, sangat kurus, sakit, terpotong telinganya, terpotong ekornya. Umur yang disarankan bagi binatang yang akan diqurbankan itu adalah seperti berikut;
i. Kambing atau domba yang telah berumur satu tahun lebih atau sudah berganti gigi
ii. Kambing biasa yang telah berumur dua tahun lebih.
iii. Unta yang telah berumur lima tahun lebih.
iv. Sapi, kerbau atau lembu yang telah berumur dua tahun lebih.
v. Sekiranya ternakan betina, pastikan ternakan tersebut tidak bunting ketika hendak dikorbankan. Bagaimanapun, korban tetap dianggap sah, jika selepas disembelih didapati haiwan ternakan itu sedang bunting.
Sabda Rasulullah SAW;
Maksudnya;
Daripada Barra’ bin ‘Azib, Rasulullah SAW bersabda;
“ Empat jenis binatang yang tidak sah dijadikan qurban, yang rosak matanya, yang sakit, yang pincang dan yang kurus dan tidak mempunyai isi.” (Hadis riwayat Muslim)
Seekor kambing hanya untuk korban satu orang diqiaskan dengan denda meninggalkan wajib haji. Akan tetapi seekor unta, lembu, kerbau boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian menurut pandangan Syafi’iyyah. Sabda Rasulullah SAW;
Daripada Jabir , beliau berkata :
“Kami telah menyembelih korban bersama dengan Rasulullah SAW, pada Tahun Hudhaibiyah, seekor unta untuk tujuh orang dan seekor lembu untuk tujuh orang.” (Hadis Riwayat Muslim)
Maksudnya;
Daripada Abbbas, kami pernah bersama-sama dengan Rasululah SAW dalam satu perjalanan, ketika itu masuk hari raya qurban, maka kami bersama-sama menyembelih seekor lembu untuk tujuh orang dan seekor unta untuk sepuluh orang.” (Hadis riwayat At-Tirmizi dan An-Nasa’i)
2. Korban dilakukan pada waktu yang telah ditetapkan.
Dalam Mazhab al-Maliki ditambah dua syarat lagi, iaitu;
1. Penyembelih mestilah terdiri dari seorang muslim, oleh yang demikian tidak sah sembelihan seorang kafir yang telah diwakilkan oleh tuan korban kepadanya. sekiranya dia ahli kitab, maka harus memakan daging sembelihannya.
2. Tidak boleh berkongsi beberapa orang dalam membayar harga binatang korban, kecuali mereka terdiri daripada kaum kerabatnya yang terdiri daripada anak-anak, adik-beradik dan anak bapa saudaranya dan termasuk juga isteri atau suami dan ke semua mereka tinggal serumah dengannya.
WAKTU MELAKUKAN QURBAN
Waktu menyembelih qurban adalah bermula daripada matahari setinggi tombak, pada hari Raya Haji sehingga terbenam matahari pada 13 bulan Zulhijjah.
Sabda Rasulullah SAW;
“Barangsiapa yang menyembelih korban sebelum solat Hari Raya Haji, sesungguhnya dia menyembelih untuk dirinya sendiri dan barangsiapa menyembelih korban sesudah solah Hari Raya dan dua khutbahnya, sesungguhnya dia telah menyempurnakan ibadahnya dan telah menepati sunnah atau aturan umat Islam.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)
Maksud ‘Solat Hari Raya Haji’ dalam hadis di atas adalah waktunya, bukannya solatnya, kerana mengerjakan solat tidak menjadi syarat kepada sembelihan korban.
Sabda Rasulullah SAW;
Maksudnya;
“Semua hari tasyrik (iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah), adalah waktu yang dibolehkan untuk menyembelih qurban.” (Hadis riwayat Ahmad)
PERKARA YANG DISUNATKAN KETIKA MENYEMBELIH KORBAN
1. Menurut Mazhab Hanafi, sunat bagi orang yang hendak berkorban mengikat binatang yang akan dikorbankannya beberapa hari sebelum hari korban, untuk menunjukkan bahawa ketika bersedia untuk melakukan ibadah yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah dan menzahirkan rasa bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya. Di samping itu juga dimakruhkan sekiranya kita menggunakannya untuk menunggang, mengambil susunya, bulunya dan sebagainya.
2. Sunat disembelih sendiri oleh mereka yang berkorban, kerana boleh mendekatkan dirinya kepada Allah.
3. Sunat dihadapkan binatang yang akan disembelih ke arah kiblat, sepertiman yang dilakukan oleh Rasulullah SAW berdasarkan hadis Anas bin Malik yang diriwayatkan oleh semua imam.
4. Sunat kepada orang yang berkorban menyaksikan binatang korbannya, sepertimana Rasulullah SAW berkata kepada Fatimah:
Maksudnya;
Daripada Imran bin Husain, Rasulullah SAW bersabda;
“Bangunlah menuju tempat binatang korbanmu dan saksikanlah, kerana ia akan menyebabkan dosamu terampun bagi setiap titisan darah yang tumpah, bagi setiap satu dosa yang pernah engkau lakukan…” (Hadis riwayat Al-Hakim, Al-Baihaqiy dan At-Tabraniy)
1. Membaca Basmalah (Bismillahirrahmani rrahim) sepertimana yang diriwayatkan oleh Jabir menyatakan bahawa kami telah menunaikan solat al-Adha bersama Rasulullah SAW, selepas selesai daripada solat tersebut, dibawa dihadapan baginda seeokor kibas, maka baginda menyembelihnya dan baginda membaca;
Maksudnya;
“ Dengan nama Allah dan Allah Maha besar, Ya Allah ini adalah (korban) dariku dan daripada mereka yang tidak mampu untuk berkorban dari kalangan umatku.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan At-Tirmizi)
2. Membaca salawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
3. Takbir (Menyebut Allahu Akbar)
4. Mendo’akan agar sembelihan tersebut diterima oleh Allah, seperti berkata “ YA Allah, ini adalah amalan yang Engkau perintahkan supaya aku kerjakan keranaMu, terimalah amalku ini)
5. Binatang yang disembelih itu hendaklah dihadapkan ke arah kiblat di atas rusuk kirinya, sekiranya binatang tersebut terdiri daripada lembu dan kambing.Sabda Nabi SAW;
Maksudnya;
Daripada Anas bahawa Rasulullah SAW telah melakukan korban dengan dua ekor kambing yang baik-baik, beliau menyembelihnya sendiri, beliau membaca bismillah dan beliau bertakbir.” (Hadis riwayat Bukhari danMuslim)
Ketika melakukan korban Rasululah membaca;
Maksudnya;
“Ya Allah terimalah kurban Muhammad, ahli kelurganya dan umatnya.” (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)
1. Memastikan bahawa binatang yang akan dikorbankan itu terdiri daripada binatang yang terbaik dari semua sudut, kerana binatang tersebut merupakan korban untuk mendapat ganjaran di akhirat.
2. Memastikan alat yang digunakan untuk menyembelih terdiri daripada alat yang tajam yang diperbuat daripada besi.
3. Menunggu sebentar selepas menyembelih sehingga binatang tersebut dipastikan benar-benar telah mati.
4. Menurut pandangan Mazhab Syafi’e, Malikiy dan sebahagian daripada Mazhab Hambali, disunatkan kepada mereka yang ingin melakukan ibadah korban, apabila masuknya hari ke sepuluh daripada bulan Zulhijjah, supaya tidak mencukur rambut dan memotong kuku sehinggalah selesai ibadah korban. Pendapat ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW;
Maksudnya;
“ Sekiranya kamu melihat anak bulan Zulhijjah dan salah seorang dari kamu mahu melakukan korban maka biarkan (jangan dipotong) rambut dan kuku-kukunya.” (Hadis diriwayatkan oleh semua Imam kecuali Bukhari)
PEMBAHAGIAN DAGING KORBAN



1. Terdapat dua pandangan

i . Jumhur Fuqahak (Mazhab Hanafi, Malikiy dan Hambali)
Menurut Mazhab Hanafi, harus memakan daging korban yang disunatkan, manakala korban nazar atau korban wajib diharamkan untuk memakannya.
Menurut Mazhab Malikiy dan Hambali pula memakan daging korban nazar dibolehkan sama seperti korban sunnah dan disunatkan supaya mencampurkan kedua-dua korban tersebut sama ada untuk dimakan, disedekahkan dan dijadikan sebagai hadiah. Namun begitu mereka menghukumkan makruh sekiranya kita memakan atau menyimpan kesemua daging tersebut melebihi tiga hari.
ii. Mengikut amalan sunnah (terutama Mazhab Hanafi dan Hambali) dalam pembahagian daging korban ialah 1/3 untuk diri dan keluarga, 1/3 untuk kaum kerabat, teman-teman, jiran tetangga walaupun mereka terdiri daripada golongan kaya, manakala 1/3 untuk golongan fakir dan miskin. Kenyataan ini berdasarkan firman Allah;
Maksudnya;
“ Maka makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahagian lain) berikanlah untuk dimakan oleh orang-orang sengsara lagi fakir.” (Surah Al-Haj : Ayat 28)
FirmanNya lagi;
Maksudnya;
Dan berilah makan kepada orang yang redha dengan apa yang ada pada dirinya (orang yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta-minta.” (Surah Al-Haj: ayat 36)
Namun begitu, sekiranya disedekahkan ke semuanya kepada orang lain, terutama fakir miskin, maka dianggap lebih baik dan sempurna. Walau bagaimanapun digalakkan kepada orang yang berkorban untuk mengambil sedikit daging korban untuk dirinya dan keluarganya sebagai ‘Tabarruk’ (mengambil bekat dari ibadah korban tersebut).
Tambahan : Menurut Mazhab daging korban juga boleh diberikan kepada orang-orang yang bukan Islam, terutama mereka yang diharapkan akan memeluk agama Islam, selepas pemberian tersebut, untuk menunjukkan kebaikan dan pengiktirafan Islam kepada mereka sebagai manusia.


BEBERAPA KESILAPAN DALAM IBADAH KORBAN
1. Ada beberapa golongan masyarakat yang melakukan kesilapan dengan melakukan ibadah korban pada malam hari raya. Amalan ini tidak menepati sunnah dan sekiranya dilakukan juga, sembelihan tersebut tidak dikira sebagai ‘Ibadah Korban’, kerana para ulamak mengaggap perbuatan tersebut sebagai ‘Makruh’.
2. Begitu juga dalam masalah pembahagian daging korban. Masih ada amalan di mana daging yang telah dikorbankan dibahagi kepada tujuh bahagian, manakala bahagian tertentu (biasanya kepala, bahagian rusuk, batang pinang) diperuntukkan atau dikhususkan kepada tukang sembelih sebagai upah. Tindakan ini sama sekali tidak dibenarkan, kerana setiap bahagian daging korban adalah sedekah dan sedekah sama sekali tidak boleh dijadikan sebagi upah. Sekiranya kita masih ingin memberikan upah kepada tukang sembelih, pihak yang berkongsi korban, boleh membayar lebih sedikit daripada harga sebenar binatang korban dan menyerahkan lebihan wang tersebut kepada tukang sembelih.
3. Melaksanakan ibadah korban dengan tujuan untuk menunjukkan kepada orang ramai akan kemampuan dirinya untuk melakukan korban, supaya dengan itu mereka akan dipandang mulia, dihormati dianggap sebagai orang yang hebat di sudut kemampuan kewangan, sedangkan dia sepatutnya insaf bahawa hanya korban yang disertakan dengan keikhlasan dan ketaqwaan sahaja yang diterima di sisi Allah. Firman Allah SWT;
Maksudnya;
“Daging-daging korban dan darahnya itu, sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, akan tetapi (keikhlasan) yang lahir dari ketaqwaan darimulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah memudahkan bagimu (binatang korban itu) untuk kamu supaya kamu mengagongkan Allah lantaran petunjukNya kepadamu dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang melakukan kebaikan.”
(Surah al-Haj : ayat 37)
4. Pembaziran daging korban. Di mana terdapat daging korban yang lambat diagih-agihkan menyebabkan daging tersebut menjadi busuk. Di samping sikap sebahagain daripada kita yang terlalu tamak menghimpunkan daging korban, tetapi akhirnya menjadi busuk dan rosak, apabila ruang peti ais rumah kita tidak mampu memuatkan semua daging korban yang kita bawa pulang.
5. Pembahagian daging korban yang hanya ditentukan kepada kumpulan-kumpulan atau puak-puak tertentu sahaja, dengan mengenepikan hak orang lain terutama yang tinggal sejiran, sekampung atau setaman dengan kita.
6. Kedatangan ke masjid, ke surau atau ke tempat sembelihan, semata-mata untuk mendapatkan bahagian dari pembahagian daging korban, namun begitu tidak mensyukuri nikmat Allah setelah memakan dan menikmati daging korban tersebut, dengan cara melaksanakan segala perintahnya dan menjauhi segala larangannya. Malah ada di antara mereka yang tidak pernah menjejakkan kaki ke suarau dan ke masjid atau bermuamalah dengan penduduk setempat.
SILA RUJUK :
1. Al-Quran dan terjemahannya
2. Al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuha : Dr. Wahbah Az-Zuhailiy
3. Fiq As-Sunnah : Syeikh Sabiq
4. Tarbiyatul Aulad : Dr. Abdullah Nasih Ulwan
5. Al-Fiqh al-Islamiy : Haji Sulaiman Rasyid
6. Tuntutan Qurban : Prof. Dr. T.M Hasbi As-Siddiqiy
7. Hukum Qurban dan Sembelihan : Kiyai Haji Abdurrahman
Disediakan oleh:
Ustaz Shahrom Abu Hassan
Penasihat Syariah Qurban Aqiqah JIM 1431H
BEBERAPA ISU MENGENAI IBADAT KORBAN
Ustaz Alias Othman
Muqaddimah.
Berbagai pendapat dikemukakan ulama mengenai hukum ibadat korban. Imam Abu Hanifah berpendapat ia wajib sekali setahun bagi penduduk kota yang bermukim. Kedua-dua murid Abu Hanifah iaitu Abu Yusuf dan Muhammad berpendapat ia hanya sunat muakkad. (al-Bada`ie wa al-Sana`ie 5:62) Ulama lain daripada Abu Hanifah berpendapat amalan korban hanya sunat muakkad sahaja, bukan wajib. Pengikut Mazhab Maliki menambah makruh meninggalkannya bagi mereka yang mampu melakukannya. (Bidayat al-Mujtahid 1:415, Mughni al-Muhtaj 4:282, al-Muhazzab 1:237, al-Mughni 8:617)
Apapun pendapat mengenai hukum ibadat ini ia merupakan satu amalan yang telah lazim dilakukan umat Islam diseluruh dunia. Berbagai hikmat dari amalan korban ini telah dihurai dan diungkapkan oleh penulis-penulis Islam dahulu dan semasa. Namun satu hakikat yang perlu diterima bahawa sejak amalan ini dilaksanakan dalam masyarakat, ia tidak memberikan impak yang jelas dalam merubah kualiti kehidupan golongan fakir miskin yang menjadi golongan sasar pengagihan daging korban. Apa yang mungkin menarik dan ada kepentingannya dibincangkan di sini ialah beberapa isu mengenai; Amalan korban dalam konteks masyarakat silang agama, memindahkan pelaksanaan korban dari satu tempat ke satu tempat lain, malah ke luar negara dan bagaimana amalan korban boleh meningkatkan status sosio ekonomi dan pendidikan golongan fakir miskin.
Tiga isu ini sangat releven dengan keadaan di Malaysia sebagai negara yang di huni oleh warga silang agama, rakyat Malaysia yang pemurah dalam menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlulan dan isu sosio ekonomi dan pendidikan golongan fakir miskin di Malaysia.
Amalan Ibadat Korban Dalam Masyarakat Silang Agama
Dalam konteks masyarakat silang agama, yang penting ialah usaha meletakkan Islam di tempat yang dapat dilihat oleh semua pihak sebagai satu sistem yang mampu memesrakan hubungan dalam kehidupan seharian. Sesuatu yang boleh menjejaskan hubungan mesra silang agama atau menimbulkan syak dan perasangka negatif terhadap Islam sebagai satu sistem mestilah dielakkan.
Melihat kepada pengamalan ibadat korban yang dilakukan di Malaysia, pendapat yang menjadi pegangan majoriti umat Islam di negara ini ialah daging korban tidak boleh diberi makan kepada orang bukan Islam. Di peringkat sebelum berlaku interaksi yang sangat rapat antara orang Islam dan bukan Islam di Malaysia, pegangan seperti ini memang tidak menimbulkan apa-apa isu, namun setelah hubungan silang agama semakin rapat dan akrab, ziarah-menziarahi silang agama semakin kerap berlaku, saling menjemput ke majlis jamuan dan kenduri kendara sudah menjadi kebiasaan, malah seorang, Islam atau bukan Islam mungkin merasakan amat sumbang dan janggal jika tidak menjemput rakan bukan Islam ke majlis yang diadakannya, terutama jiran-jiran dan rakan sekerja, pegangan seperti ini mungkin menimbulkan isu. Keadaan ini akan lebih ketara pada ibadat akikah yang pada kebiasaannya dilakukan di rumah.Yang menjadi pegangan majoriti orang Islam di Malaysia daging akikah haram diberi makan kepada orang bukan Islam. Seorang muslim akan merasa serba salah, jika tidak menjemput jiran bukan Islam di sebelah rumahnya atau tidak memberikan daging korban kepadanya memang tidak kena dan tidak manis, jika dijemput dia merasa bersalah kerana telah melanggar hukum syarak yang mengharamkan daging akikah dan korban diberi makan kepada bukan Islam. Jiran bukan Islamnya juga akan merasa tidak selesa berada di rumah dalam keadaan dia tidak dijemput. Biasanya mereka akan sengaja membuat helah untuk tidak berada di rumah pada masa majlis itu diadakan. Keadaan seperti ini sebenarnya menimbulkan satu tanggapan bahawa Islam itu tidak mesra jiran. Apakah tidak ada cara bagi umat Islam mengatasi masalah ini. Apakah tidak ada pendapat lain selain dari pendapat yang mengatakan bahawa daging korban dan akikah haram diberi makan kepada bukan Islam?.
Daging Korban dan Bukan Islam
Yang diketahui umum dan menjadi amalan orang Islam di Malaysia daging korban tidak boleh diberi makan kepada orang bukan Islam. Namun demikian merujuk kepada pendapat-pendapat yang dikemukakan ulama mazhab dalam isu ini, kita dapat mengesan berbagai-bagai pendapat dengan hujjah masing-masing. Melalui pendapat-pendapat ini umat Islam mungkin dapat menemui jalan keluar daripada isu ini.
Dalam kitab Kasyf al-Qina` 3;19 penulisnya menyatakan bahawa golongan Malikiyah berpendapat makruh memberi makan daging korban kepada orang-orang Yahudi dan Nasara. Mazhah Hanbali pula mengharuskan memberi hadiah daging korban sunat kepada orang bukan Islam, tidak harus menghadiahkan daging korban wajib kepada mereka.
Dalam al-Bajrimi 4:285 dinyatakan tidak harus memberi makan daging korban kepada bukan Islam. Dinyatakan juga bahawa dalam kitab al-Majmu` disebutkan harus memberi makan daging korban sunat kepada golongan fakir miskin ahli zimmah, tidak harus memberi mereka makan daging korban wajib.
Dalam al-Majmu` Syarh al-Muhazzab 8:404 disebutkan bahawa Ibn al-Munzir menyatakan ulamak telah sepakat (ijma`) bahawa daging korban boleh diberi makan kepada fakir miskin orang Islam, namun mereka khilaf tentang memberi makan daging korban kepada golongan fakir miskin kafir ahli zimmah. Imam Hasan al-Basri telah memberi keringanan (rukhsah) memberikan mereka memakannya. Abu Thur juga berpendapat demikian. Di sebutkan juga bahawa Iamam Malik lebih suka ia diberi makan kepada selain fakir miskin bukan Islam. Al-Lith menganggapnya makruh, namun berpendapat jiuka ia dimasak ia harus diberi makan kepada mereka beserta fakir miskin Islam.
Ibnai Qudamah dalam al-Mughni wa al-Syarh al-Kabir 2:381 dan al-Syarbini dalam al-Iqna` 2: 581 menyebutkan mazhab Maliki berpendapat makruh menghadiahkan dan memberi makan daging korban kepada orang beragama Yahudi dan Nasrani. Mazhab Hanbali, al-Hasan, Abu Thur, berpendapat harus memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam, kafir zimmi daging korban sunat, tetapi daging korban wajib, seperti korban nazar tidak harus. Hukumnya sama dengan hukum zakat dan kifarat sumpah. Mazhab Syafie pula berpendapat tidak boleh memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam daging korban sunat atau wajib.
Ibh Hazmin dari Mazhab Zahiriyah dalam kitabnya al-Muhalla 7:383 menyatakan tuan punya korban boleh memberinya makan kepada orang kaya dan orang bukan Islam atau dia menghadiahkan sedikat daripadanya.
Dari semua pendapat yang dinukilkan ini beberapa kesimpulan boleh dibuat:
1. Mazhab Syafie berpendapat haram memberi makan daging korban sunat atau wajib kepada orang bukan Islam.
2. Mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban sunat kepada orang bukan Islam dan tidak harus (haram) memberi mereka makan daging korban wajib, seperti korban yang dinazarkan, sama seperti hukum zakat.
3. Mazhab Hanbali berpendapat harus menghadiahkan daging korban sunat kepada orang bukan Islam dan haram menghadiahkan kepada mereka daging korban wajib.
4. Semua ulamak mazhab sepakat (ijma`) memberi atau memberi makan daging korban atau akikah wajib kepada orang bukan Islam adalah haram.
Ini bererti hanya ulama Mazhab Syafi`ie sahaja yang berpendapat daging korban sunat atau wajib tidak boleh (haram) diberi atau diberi makan kepada orang bukan Islam. Manakala majoriti ulama lainnya berpendapat harus memberi mereka makan daging korban sunat, tidak harus jika korban wajib.
Dalam konteks Malaysia yang rakyatnya terdiri daripada penganut pelbagai agama, pendapat majoriti ulama yang mengharuskan orang bukan Islam diberi atau diberi makan daging korban sunat lebih baik diterima pakai dalam usaha meyakinkan masyarakat bukan Islam dapat melihat bahawa Islam itu memang satu sistem yang mesra bukan Islam dan dapat memelihara kemesraan hidup silang agama. Di samping itu menerima pakai pendapat majoriti ini juga dapat memberi ketenangan kepada orang Islam sendiri, kerana mereka tidak merasa bersalah kerana melanggar hukum syarak dengan memberi atau menjemput makan daging korban atau akikah sunat. Tindakan ini diangap sebagai maslahah. Berpindah dari pendapat ulama Mazhab Syafi`ie kepada pendapat majoriti ulama atas alasan maslahat atau kekuatan hujjah bukanlah suatu keaiban, negatif atau terlarang.
Melakukan Ibadat Korban di Tempat Atau Negara Lain
Melakukan ibadat korban di tempat atau di negara lain bermaksud seseorang yang berada di satu qariah, daerah atau negeri tidak melakukan ibadat korban di tempat beliau bermukim, tetapi melakukannya di qariah, daerah atau negeri lain. Termasuk juga tidak melakukan ibadat korban di negara sendiri tetapi melakukannya di negara lain, seperti rakyat Malaysia melakukan ibadat korban di Kemboja. Ia juga boleh bermaksud ibadat korban dilakukan di tempat atau negara sendiri tetapi dagingnya dipindahkan ke tempat lain, sama ada qariah, daerah, negeri atau negara lain.
Para ulama mazhab mengemukakan pendapat, yang berbeza dalam isu ini. Dalam penulisan-penulisan mereka isu ini diberi tajuk ‘memindahkan korban ke tempat lain’. Wahbat al-Zuhaili dalam al-Fiqh al-Islami Wa Adillatu 3:633–634 merumuskan bahawa Mazhab Hanafi berpendapat, sama seperti zakat, korban makruh dipindahkan dari tempat asalnya ke tempat lain, kecuali jika pemindahan itu bertujuan untuk memberikannya kepada kaum kerabat atau mereka yang lebih memerlukan daging korban itu. Kalau dipindahkan juga ia diterima tetapi makruh. Mazhab Maliki pula berpendapat tidak harus memindahkan korban ke jarak yang melebihi jarak (masafah) yang membolehkan qasar solat, kecuali penduduk di tempat itu lebih memerlukan daging korban tersebut berbanding penduduk tempat asal yang berhak menerimanya. Dalam keadaan ini sebahagian besar daging itu hendaklah dipindahkan ke tempat mereka yang memerlukannya dan sebahagian kecilnya diagihkan di tempat asal korban itu. Ulamak Mazhab Hanbali juga sama pendapat dengan Mazhab Maliki; boleh memindahkannya ke tempat yang kurang dari jarak yang membolehkan solat qasar dan haram memindahkannya ke tempat yang melebihi jarak yang membolehkan solat qasar. Ulama Mazhab Syafi`ie mengharamkan daging korban dipindahkan ke tempat lain.
Ada beberapa perkara dapat dirumuskan dari penjelasan di atas:
1. Semua ulama mazhab, kecuali Mazhab Syafi`ie sepakat mengharuskan korban dipindahkan ke tempat lain sekiranya penduduk di tempat itu lebih memerlukan daging korban tersebut berbanding penduduk tempat asal korban itu. Cuma Mazhab Maliki berpendapat sebahagian kecil daging itu mestilah diagihkan kepada mereka yang berhak menerimanya di tempat asal korban itu.
2. Hanya ulama Mazhab Syafi`ie sahaja yang mengharamkan secara mutlak pemindahan korban dari tempat asalnya.
Untuk membuat pertimbangan dalam memilih salah satu daripada dua pendapat di atas, maqasid syariah (tujuan di sebalik hukum syarak) hendaklah diambil kira dan diberi keutamaan. Maqasid syariah di sebalik semua hukumnya adalah menjamin maslahah manusia. Maslahat manusia dapat dijamin dengan dua cara: pertama dengan menolak bencana dan kedua dengan menjana maslahat. Menurut kaedah syarak: menolak bencana didahulukan daripada menjana maslahat.
Dalam konteks pemindahan korban yang mungkin menjadi isu sekarang ialah memindahkan korban dari satu negara ke negara lain. Di Malaysia telah ada institusi yang memberikan khidmat membantu rakyat Islam Malaysia yang ingin melaksanakan ibadat korban di negara lain, seperti di Kemboja dan di negara-negara minoriti Islam yang lain. Apakah amalan ini lulus dari sudut pandangan syarak atau tidak.
Ulamak Mazhab Syafie telah tidak mengharuskannya. Ulamak mazhab lain telah mengharuskannya dengan syarat penduduk di tempat itu lebih memerlukan daging korban tersebut.
Ditinjau dari sudut maslahat dan keperluan manusia yang menjadi maqasid kepada syariat Islam pendapat ulamak selain mazhab Syafi`ie yang membolehkan korban dipindahkan ke tempat lain adalah lebih baik diterimapakai, kerana memindahkan korban ke Kemboja umpamanya, dapat memberi lebih banyak manfaat kepada penduduk Islam di sana yang jauh lebih memerlukan daging korban itu berbanding penduduk Islam di Malaysia. Memang tidak dinafikan mungkin di Malaysia juga terdapat orang Islam yang sama miskin dengan penduduk Islam Kemboja, namun secara rawak keadan penduduk Islam di Malaysia jauh lebih baik daripada penduduk Islam di Kamboja secara amnya. Dengan penilaian ini sebenarnya tidak ada sesuatu yang meragukan dari sudut hukum syarak memindahkan korban dari tempat asalnya ke tempat lain dengan berpegang kepada pendapat majoriti ulamak mazhab, kecuali Mazhab Syafi`ie. Sekali lagi dinyatakan bahawa tiada cacat atau celanya menerima pendapat mana-mana mazhab atas dasar maslahat atau kekuatan hujjah.
Menilai Semula Fungsi Ibadat Korban.
Maksudnya menilai semula fungsi ibadat korban dalam konteks kehidupan golongan fakir miskin. Selama ini faedah yang dikecapi golongan ini daripada ibadat korban hanyalah dalam bentuk memakan dagingnya. Faedah ini hanya bertahan untuk sehari dua, paling lama seminggu. Faedah ini tidak membawa sebarang perubahan kepada taraf hidup, sosio ekonomi dan pendidikan mereka. Selepas daging korban habis dimakan kehidupan mereka tetap berada ditahap yang sama. Menilai kembali fungsi ibadat korban dalam konteks ini bermaksud memikirkan semula fungsi ibadat ini. Bolehkah ia dimanfaatkan untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi dan pendidikan golongan ini. Kalau boleh bagai mana caranya?. Adakah isu berkaitan hukum fiqh yang mungkin menghalang fungsi seperti ini dilaksanakan?. Kalau ada bolehkah hukum itu dikondisikan semula supaya dapat disesuaikan dengan reality semasa sehingga ibadat ini lebih bermakna dan bererti dalam mengubah keadaan hidup golongan ini.
Satu cara yang mungkin boleh difikirkan secara serius ialah mewujudkan satu tabung biasiswa yang sumbernya dijana daripada penjualan daging korban. Konsepnya ialah; daging korban itu tidak diagihkan kepada fakir miskin dan orang ramai, tetapi dijual, kemudian wangnya dilaburkan ke dalam institusi pelaburan yang menguntungkan, seperti Tabung Haji atau lainnya. Projek seperti ini akan menjana keuntungan yang membolehkan fakir miskin diberikan bantuan pendidikan di berbagai peringkat mengikut kemampuan tabung.
Kalau diandaikan satu karyah yang mempunyai sebuah masjid dan 20 buah surau, setiap surau menyembelih tiga ekor lembu korban dan masjid pula menyembelih 20 ekor lembu, jumlah lembu yang dikorbankan di karyah itu ialah 80 ekor. Kalau daging seekor lembu korban boleh dijual dengan harga RM1500.00 ini bererti tahun pertama projek ini telah mempunyai modal pelaburan sebanyak RM120,000.00. Dengan keuntungan 4% setahun, selama lima tahun daging korban dijual dan dilaburkan projek ini telah dapat mengumpul lebih dari RM600,000.00. Dengan memberikan bantuan pendidikan bernilai RM30.00 sebulan kepada 10 orang pelajar miskin di sekolah rendah modal pelaburan projek ini tidak akan terjejas walau sedikitpun, malah akan terus meningkat. Pada tahun ke enam dan berikutnya bilangan mereka yang mendapat bantuan boleh ditambah, begitu juga jumlah bantuannya. Jika projek ini dapat diteruskan ia akan dapat menjana jutaan ringgit yang bukan hanya dapat membantu pelajar di peringkat sekolah rendah, malah menengah dan di peringkat pengajian tinggi. Ini hanya gambaran satu karyah, bayangkan jika projek ini merangkumi satu daerah atau satu negeri, malah negara.
Isu Hukum Yang Mungkin Ada Kaitan.
Isu hukum yang mungkin ada kaitan dengan penilaian semula fungsi ibadat korban bagi tujuan di atas ialah isu mengenai pengagihan, pemanfaatan, pemilikan dan penjualan daging korban.
Pengagihan.
Berdasarkan ayat 28 dan 36 surah al-Haj semua mazhab fiqh berpendapat daging korban hendaklah diberi makan kepada fakir miskin setelah dimasak atau diagihkan mentah-mentah. Mazhab Hanafi (al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu 3:631) menggalakkan daging korban dibahagikan kepada tiga bahagian, sebahagian untuk tuan punya korban, sebahagian lagi dihadiahkan kepada keluarga dan orang kaya dan bahagian yang ketiga disedekahkan kepada fakir miskin. Mazhab Maliki (ibid) hanya menyebut dibahagi tiga dengan tidak menentukan kadar setiap bahagian. Yang mungkin menjadi isu ialah bahagian tuan punya korban dan bahagian untuk keluarga dan orang kaya. Projek ini akan mengakibatkan tuan korban, kerabat dan orang kaya tidak akan mendapat bahagian mereka. Dengan itu kepentingan mereka terabai. Namun demikian usaha mengangkat taraf hidup golongan fakir miskin lebih penting berbanding kepentingan tuan korban, kerabat dan orang kaya. Lebih baik dan lebih mendatangkan faedah daging itu diberikan kesemuanya kepada mereka melalui skim bantuan yang dihasilkan oleh projek ini. Kepentingan tuan korban, keluarga dan orang kaya tidak sedikitpun akan terjejas sekiranya tidak menerima bahagian mereka. Mungkin timbul isu pengagihan daging korban sebagai satu pemangkin kepada silaturahim dalam masyarakat. Namun jika dibandingkan kepentingan mengangkat taraf kehidupan golongan fakir miskin dengan kepentingan memperirat silatulrahim melalui ibadat korban ternyata kepentingan mengangkat taraf hidup golongan miskin lebih utama. Banyak cara lain selain mengagihkan daging korban untuk mengiratkan silatulrahim. Tidak mengambil bahagian dan menyerahkannya kepada fakir miskin merupakan satu bentuk pengorbanan lain.
Pemanafatan dan pemilikan.
Penulisan ulamak mazhab menunjukkan bahawa orang kaya hanya layak memanafaatkan daging korban dengan memakannya. Mereka tidak berhak memiliknya. Oleh itu mereka tidak berhak menjualnya. Golongan fakir miskin pula berhak memilikinya. Oleh itu mereka berhak menjualnya dan menggunakan wang hasil jualan untuk kegunaan lain. Dalam Mughni sl-Muhtaj 4;290 dan al-Muhazzab 1:240 dinyatakan bahawa tuan punya korban boleh memberi makan daging korban kepada orang kaya, tidak memberi milik kepada mereka sekalipun sedikit, ia dihantarkan kepada mereka sebagai hadiah, mereka tidak berhak melakukan sebarang transaksi ke atasnya dengan menjual atau lainnya. Dalam al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu 3;634 dijelaskan bahawa orang kaya boleh memanfaatkan daging korban dengan memakannya bukan memilikinya.
Pada hakikatnya pendapat yang mengkhususkan pemilikan daging korban kepada golongan fakir miskan membantu memudahkan projek ini dilaksanakan, kerana mereka memang berhak memilikinya, cuma pengubahsuaian perlu dilakukan dengan meminta kepada mereka supaya daging itu tidak diagihkan dalam bentuk yang biasa dilakukan, tetapi ia dijual dan dilaburkan terlebih dahulu kemudian mereka akan menerimanya dalam bentuk bantuan pendidikan yang boleh menaiktaraf kehidupan mereka. Mungkin sekali lagi timbul isu hak orang kaya dalam memanafaatkan daging korban. Seperti di atas golongan ini diminta memberikan hak mereka kepada golongan fakir miskin, kerana mereka sebenarnya tidak memerlukan daging tersebut.
Penjualan daging korban.
Penulisan-penulisan ulamak mazham menjelaskan yang tidak berhak menjual daging korban, kulit, bulu dan lemaknya ialah pemilik korban itu sendiri. Dalam al-Muhalla 7: 385 Ibn Hazmin menyatakan yang berkorban tidak harus menjual sedikitpun dari binatang korbannya. Perkara yang sama disebut dalam al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu 3:632. orang kaya hanya layak memanfaatkannya dengan memakannya, mereka tidak berhak memilikinya, oleh itu mereka tidak berhak menjualnya. Golongan fakir miskin berhak menjualnya kerana mereka berhak memilikinya. Oleh itu projek menjual daging korban bagi pihak fakir miskin dan melaburkannya adalah sesuatu yang tidak bertentangan dengan mana-mana pendapat ulamak mazhab. Ia boleh dilaksanakan.
Kesedaran Masyarakat.
Umat Islam perlu difahamkan tentang tiga isu yang dikemukakan supaya mereka tidak ragu-ragu melakukannya demi kebaikan Islam, umat Islam dan kehidupan dalam masyarakat silang agama. Masyarakat perlu diberi kesedaran tentang kebaikan dan faedah projek menjual dan melaburkan daging korban dalam usaha meningkatkan mutu kehidupan golongan fakir miskin. Dalam perebutan sengit untuk mendapatkan berbagai bentuk biasiswa dan pinjaman pendidikan daripada berbagai-bagai institusi golongan fakir miskin sepatutnya memiliki sumper yang tersendiri yang khusus untuk mereka di samping sumber zakat yang telah lama wujud. Malah projek ini mungkin boleh menjadi pemangkin dan penggalak kepada masyarakat untuk melakukan ibadat korban kerana mereka dapat melihat kesan baiknya dalam masyarakat di karyah mereka sendiri.
Institusi Amanah Berwibawa.
Supaya urusan tabung ini dapat ditadbir dan diurus dengan sempurna, dapat menjana keuntungan, jauh daripada penyelewengan dan mendapat kepercayaan umum, sebuah institusi yang beramanah dan berwibawa perlu diwujudkan. Pentadbir dan pengurusnya mestilah terdiri daripada golongan yang kerkelayakan, tidak berkepentingan dan ikhlas.
Kesimpulan.
Melakukan korban di tempat lain atau memidahkan dagingnya ke tempat lain adalah dibenarkan mengikut pendapat majoriti ulamak mazhab, kecuali Mazhab Syafie. Pendapat majoriti ulamak lebih sesuai diterima pakai bagi tujuan meningkatkan manfaat ibadat korban dan membantu mereka yang sangat memerlukannya.
Hanya ulamak Mazhab Syafie yang tidak mengharuskan daging korban dan akikah sunat diberi atau diberi makan kepada orang bukan Islam. Majoriti ulamak mengharuskannya. Dalam konteks Malaysia sebagai negara yang rakyatnya terdiri dari berbilang kaum dan agama pendapat majoriti ulamak sangat sesuai diterima pakai bagi tujuan melekakkan Islam dikedudukan yang sepatutnya pada pandangan orang bukan Islam di samping dapat menghidupkan kemesraan pergaulan silang agama antara muslim dan bukan muslim.
Sangat patut dan penting dinilai semula fungsi ibadat korban supaya ia dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan taraf hidup golongan fakir miskin dengan mengagihkannya semula kepada mereka dalam bentuk bantuan pendidikan setelah melalui program menjual dan melaburkannya.
Dengan ini ibadat korban lebih membawa erti kepada masyarakat berbanding manfaat yang diperolihi dengan mengagih dan memakannya seperti yang diamalkan sekarang..
Disediakan oleh:
Ustaz Alias Othman
Penasihat Syariah
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)
Sumber petikan:
  

No comments: